Artikel asal: "Be ye helpers of Allah"
Seseorang itu, apabila membaca Qurán mesti berhenti untuk berfikir apabila tiba ke ayat terakhir surah al-Saff, satu ayat yang mengandungi seruan suci:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong Allah” [Surah al-Saff: 14]
Ini adalah pelawaan yang jelas ditujukan secara khusus kepada orang-orang yang beriman dalam masyarakat Muslim untuk membezakan diri mereka dengan menolong Allah – dengan menolong Agama-Nya, Undang-undang-Nya, dan orang-orang-Nya. Seruan tersebut memanggil mereka untuk melakukan usaha ini sebagai yang tertinggi mengatasi kepentingan individu-individu, organisasi, keluarga, Negara dan golongan.
Ayat tersebut kemudiannya menyatakan sabdaan Nabi ‘Isa alaihissalam (a.s.) kepada pengikutnya:
“Siapa akan menjadi penolong-penolongku untuk Allah?”
Pertanyaan ini di jawab oleh pengikut baginda:
“Kamilah penolong-penolong Allah.”
Perlu diperhatikan bahawa kenyataan Nabi ‘Isa a.s. – “Siapa akan menjadi penolong-penolongku untuk Allah?” – berbeza dalam penggunaan perkataan dengan perintah pada permulaan ayat - “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong Allah”. Nabi ‘Isa a.s. merujuk kembali pertolongan kepada dirinya, tidak untuk kepentingannya sendiri, kerana baginda memanggil mereka kepada Allah. Kedua-dua kenyataan tersebut jelas berbeza. Pemilihan kata oleh Nabi ‘Isa sesuai untuk Bani Israil, atau beberapa orang di antara mereka yang menjadi pengikut-pengikutnya dan mereka yang berazam untuk membantu baginda. Sungguhpun demikian, sebahagian dari mereka ragu-ragu.
Boleh dikatakan juga bahawa penggunaan perkataan yang khusus ini bersesuaian dengan sifat tugas Nabi ‘Isa a.s. dengan manusia pada masa itu. Kehadiran rasul di antara mereka adalah salah satu jaminin terbaik bahawa mereka akan kekal di dalam kebenaran dan tidak berulang kepada melakukan kesilapan. Apabila pengikut-pengikut baginda menyahut dengan “Kamilah penolong-penolong Allah”, ia seolah-olah mereka menunjukkan kesetiaan dan ketaatan pertolongan mereka jauh lebih mutlak dan tidak berganjak dari apa yang mereka mampu laksanakan. Dan Allah lebih mengetahui.
Sementara itu, kenyataan: “Jadilah kamu penolong-penolong Allah” adalah ditujukan kepada umat Muslim yang kewujudannya berdasarkan kepada ketaatan yang jitu kepada Jalan Allah semata-mata, samada Rasulullah SAW berada bersama mereka ataupun tidak. Ini adalah kerana mereka adalah umat terakhir, masyarakat terakhir yang tiada had masa ditetapkan terhadap mereka. Kerana itulah Allah berfirman:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? [Surah Ali ‘Imran: 144]
Seruan Nabi Muhammad SAW tidak ditujukan kepada bangsa-bangsa atau umat tertentu, namun untuk seluruh manusia. Atas sebab ini, iman dan jihad (perjuangan untuk Iman) akan berterusan sehingga Kiamat. Rasulullah bersabda: “Tiada hijrah yang wajib setelah pembukaan Mekah, namun terdapat jihad dan niat yang ikhlas”* [Bukhari dan Muslim]
Baginda bersabda: “Kebaikan terikat pada jambul-jambul kuda sehingga Hari Kebangkitan: di dalam bayaran ganti rugi dan hasil rampasan perang.”*
Juga: “Akan sentiasa ada segolongan umatku yang berada di dalam kebenaran, sehingga ke Hari Kiamat.” Terdapat banyak hadith dengan maksud yang sama.*
Atas sebab ini, umat Muslim diperintahkan untuk memberikan pertolongan mereka kepada Allah, tidak untuk yang lain, dengan pemahaman sesungguhnya dengan menolong Rasulullah SAW adalah menolong Allah, seperti juga menolong orang-orang yang beriman. Pertolongan ini kekal menjadi tanggungjawab Muslim selagimana masih adanya siang dan malam di Bumi ini, samada mereka lemah atau kuat, kaya atau miskin, sedikit atau banyak. Sungguhpun demikian, Allah tidak membebankan hambanya lebih dari apa yang mereka mampu tanggung.
Di dalam ini adalah satu mesej kepada orang-orang yang taat bahawa pertolongan yang mereka berikan untuk Allah dan kerja yang mereka lakukan memanggil manusia kepada Islam tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana individu tertentu. Mereka perlu mengekalkan perspektif yang sesuai terhadap orang lain, tidak membesar-besarkan kepentingan mereka ataupun memandang mereka dengan kebencian. Mereka perlu melindungi mesej yang mereka panggil kepadanya dan masyarakat mereka daripada kesesatan ahli kitab yang mengagungkan paderi-paderi dan rahib-rahib seterusnya melanggar ajaran Allah. Umat Muslim perlu setia kepada ajaran Allah yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah dan bukannya mengikuti jalan-jalan orang itu dan ini.
Setiap orang mempunyai imam-imam dan orang-orang pentingnya, namun imam-imam tersebut hanya layak dengan gelaran tingginya bergantung kepada kesetiaan mereka kepada method yang sesuai dan menjelaskan secara jujur ajaran Allah dan RasulNya. Jika mereka tidak mampu untuk mencapai tahap tersebut, mereka perlu diganti dengan yang lain. Ini tidak dapat berlaku kecuali hanya jika umat Muslim sentiasa memberi perhatian, aktif dan berwaspada. Ia mesti bukan satu umat yang mendirikan Iman dan kepercayaan berdasarkan tradisi bangsa, ikutan yang membuta tuli, dan nafsu. Iman dan kepercayaan harus didirikan atas asas Ilmu, bukti, dan teks-teks suci. Umat Muslim bukannya segorombolan kambing dipandu tanpa sedar tanpa mengetahui apa-apa melainkan kepercayaan yang buta terhadap ketuanya.
Ini adalah umat yang telah dipanggil untuk menolong Allah semata-mata. Pertolongan dan bantuan yang diberikan kepada orang lain adalah dengan syarat mereka juga adalah penolong-penolong Allah. Bila orang-orang tersebut mempunyai kekurangan di dalam menjadi penolong-penolong Allah, maka tidak sesuai untuk mengikuti dan mencontohi mereka.
Di manakah boleh kita temui panduan jelas ini di dalam umat Muslim sekarang? Kebanyakan orang, para pelajar ilmu, dan organisasi Islam menggerakkan diri mereka secara buta dan tanpa soal periksa di belakang personaliti-personaliti berbeza seperti Ulama, pekerja-pekerja Islam dan pemimpin politik.
Apabila Allah memberikan idea pertolongan dan bantuan, Dia memberikan maksudnya dengan berfirman:
“dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40]
Setiap individu, organisasi, atau puak mendakwa menjadi penolong kepada jalan Allah dan menegaskan bahawa mereka tidak didorong untuk mengekalkan kuasa, ketamakan, atau kuasa politik. Ini sebabnya Allah memperincikan di dalam ayat ini siapa yang benar-benar menolong Allah. Adakah mereka yang membuat dakwaan?
Jauh dari itu; penolong-penolong Allah adalah apa yang Allah firmankan di dalam ayat selepas ayat di atas:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” [Surah al-Hajj:41]
Kita boleh melihat bahawa Allah memberikan mereka beberapa ciri yang hanya akan kelihatan di masa depan apabila Dia berkata “ ... jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi ...” Berapa ramai orang-orang yang mendakwa mungkir kepada janji-janji mereka dan mendedikasikan diri mereka untuk mengejar kesenangan duniawi?
Ramai orang yang hanyut dengan mimpi-mimpi indah dan menggambarkan masa depan yang idealisitik tanpa kecacatan. Aduhai, apabila masa depan itu sampai kepada mereka dan mereka dapati bahawa ia bukanlah utopia yang mereka harapkan, prinsip-prinsip dan hati mula berubah dan ketamakan mengambil tempat. Perkara mula retak dan tuduh-menuduh mula berlaku.
Ayat tersebut tidak mengaitkan pertolongan Allah dengan mereka yang berjanji mendirikan solat dan membayar zakat namun kepada mereka yang Allah tahu akan benar-benar melakukannya di masa hadapan juga menyuruh berbuat kebaikan dan melarang melakukan kejahatan apabila mereka diberikan kekuasaan memerintah di atas muka bumi.
Terperangkap dengan tarikan personaliti-personaliti dan melupakan prinsip-prinsip atau tidak mengendahkannya kerana individu-individu atau kumpulan-kumpulan adalah jalan yang berbahaya dan curang dan jalan yang sering diambil di dalam sejarah orang-orang yang memanggil kepada Allah dan di dalam sejarah umat.
Tiada yang setanding dan setara dengan al-Quran di dalam mengembalikan manusia kepada keseimbangan dan mengekalkan prinsip-prinsip yang mana kewujudan mereka berasal dari situ. Seruan “Jadilah kamu penolong-penolong Allah” yang menemani aktiviti-aktiviti Jihad dan kerja-kerja Islam menjadi peringatan bahawa ketaatan kepada Allah, RasulNya, dan agamanya mesti datang dahulu sebelum ketaatan kepada manusia, kumpulan-kumpulan, atau organisasi-organisasi. Jadi, adakah semua orang akan mengambil endah?
* Saya tidak dapat mencari terjemahan hadith-hadith tersebut di dalam bahasa Malayu, jadi saya terjemah direct dari bahasa Inggeris menurut kefahaman saya. Sila berikan pembetulan sekiranya perlu -penterjemah-
Penterjemah: Perswis http://perswis.blogdrive.com
sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=613.0
0 ulasan:
Catat Ulasan