InsyaAllah. Untuk kali ini, penulis akan menukilkan salah satu bab yang begitu penting daripada Falak Syarei iaitu Penentuan Arah Kiblat. Andai diikutkan turutan pengajian penulis, seharusnya penulis menggarapkan sekurang-kurangnya 3 bab terlebih dahulu iaitu Pengenalan Falak Syarie / Astronomi (yang mana telah penulis titipkan secara ringkas sebelum ini, namun ianya terlalu sedikit. Masih terdapat beberapa topik yang tidak diketengahkan sebagai pengetahuan asas yang perlu difahami bagi pengenalan Falak Syarei-topik yang tidak disentuh ialah Perihal Bumi, dan Bulan), bab Takwim dan bab Transformasi Tarikh yang masing-masing lansung belum diketengahkan lagi. Tidak dinafikan kesemua bab ini begitu penting untuk diketengahkan kepada masyarakat, penulis beranggapan Penentuan Arah Kiblat adalah perlu diutamakan terlebih dahulu dalam memenuhi keperluan semasa yang begitu mendesak. Sekujur kemaafan penulis rebahkan terlebih dahulu atas kelewatan penulis menunaikan tanggungjawab sebagai orang yang menuntut dalam bidang ini, namun lewat menyahut seruan baginda Rasulullah S.A.W agar menyampaikan ilmu walau satu ayat. Apa pun, ini hanyalah sekadar perkongsian atas cebisan ilmu yang dikurniakan-Nya kepada hamba-Nya yang lemah ini.
Sebelum penulis terus kepada bab ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengajak para pembaca menghadiakan al-Fatihah buat Tuan Guru Haji Abdul Ghani Salleh A.M.N yang merupakan guru kepada guru penulis (Abu Qasim @ Ust Mohd Nor) atas penyebaran ilmu ini yang pastinya banyak membantu dan memastikan agar ilmu ini tidak terputus begitu sahaja.
Sejarah Ringkas
Dalam peristiwa yang dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam firman-Nya daripada ayat 144 surah al-Baqarah bermaksud: "Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering menenegadah ke langit, maka akan Kami pelingka engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidilharam. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu, bahawa (pemindahan kiblat) itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan."
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang pemindahan arah kiblat daripada Baitul Maqdis kepada Makkah sebgaimana yang telah dimaklumi umum. Peristiwa yang bersejarah ini telah berlaku pada 15 Rejab tahun ke-2 hijrah bersamaan 12 Januari 624 Masihi pada hari khamis iaitu ketika Nabi S.A.W sedang mengimami solat zohor. Dalam peristiwa ini, dua rakaat awal solat tersebut menghadap ke Baitul al-Maqdis sementara dua rakaat berikutnya baginda telah mengubah arah kiblatnya ke Makkah.
Hukum Menghadap Kiblat
Secara ringkasnya, telah berlaku khilaf di antara ulama'-ulama' mazhab samada wajib atau tidak menghadap kiblat bagi mereka yang jauh jaraknya. Mengikut qaul yang muktamad dalam mazhab Syafei, wajib qasad membetuli `ain ka'bah. Mazhab Hanafi dan Maliki pula kurang bersetuju dalam mewajibkannya bagi mereka yang jauh kerana ianya terlalu kecil dan sangat mustahil bagi penduduk seluruh dunia dapat menghadapnya secara tepat. Pendapat ini juga diterima pakai oleh sabahagian ulama' mazhab Syafei seperti Imam al-Ghazali. Sepakat kata yang telah dicapai oleh Ijma' Ulama' ialah wajib menghadap 'ain Ka'bah bagi mereka yang berada hampir dengan ka'bah.
Antara dalil yang menjelaskan perintah-Nya menghadap kiblat boleh dirujuk:
1. Surah Al-Baqarah : 142
2. Surah Al-Baqarah : 144
3. Surah Al-Baqarah : 149-150
Situasi Menghadap Kiblat
1. Jika berada berhampiran Ka'bah atau di dalam Masjidil Haram, maka tidak sah solatnya jika tidak menghadap Ka'bah secara langsung. Beliau mestilahlah yakin dalam keadaan ini samada dengan melihatnya, menyentuhnya atau seumpamanya. Penentuan arah kiblat ini dinamakan 'Qiblat yakin'.
2. Bagi mereka yang di luar Masjidil Haram tetapi masih lagi di Tanah Suci, maka memadailah dengan beliau bersolat menghadapkan tubuhnya ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Ka'bah itu secara dzanni melalui perkhabaran penduduk di tempat itu yang adil dan dipercayai. Beliau perlu menggunakan arah yang ditunjukkan kepadanya dan tidak boleh berijtihad sendiri. Arah kiblat yang ditentukan dalam situasi ini dinamakan 'Qiblat Dzanni'.
3. Bagi mereka yang berada luar daripada Tanah Suci, maka beliau hendaklah berijtihad dengan menggunakan beberapa kaedah penentuan arah kiblat yang terdapat dalam ilmu Falak.
4. Bagi seseorang yang tidak mempunyai kemahiran berijtihad, maka beliau hendaklah mengikut (bertaklid) orang yang berijtihad.
Tersalah Ijtihad
Bagi masalah kiblat terdahulu setelah menyedari kedudukan kiblat sebelum ini adalah tidak tepat, tiada lain yang dapat dikatakan melainkan dengan kita mengharapakan keredhaan dan keampunan-Nya atas kelemahan kita ini. Apa pun, InsyaAllah kita setidak-tidaknya memperoleh satu pahala berijtihad berasaskan sebuah hadith Nabi S.A.W daripada Amru bin al-As yang mafhumnya:
“Apabila hakim (menghukum berdasarkan) ijtihad dan (ternyata) benar,
maka baginya dua ganjaran (pahala). Dan apabila hakim berijtihad dan
(ternayata) salah, maka baginya satu ganjaran.(pahala)”.[1]
Kaedah Penentuan Arah Kiblat
Secara kasarnya, kaedah penentuan arah kiblat boleh dibahagikan kepada 3 kategori atau bahagian iaitu:
1. Kaedah Petunjuk Alam
2. Kaedah Tradisional
3. Kaedah Moden
Kaedah-kaedah ini akan diperincikan pula kepada beberapa bahagian atau bentuk penentuannya dan akan dinukilkan di dalam artikel akan datang. InsyaAllah.
Kesimpulan
Realitinya, adalah sesuatu yang agak mustahil bagi manusia di seluruh dunia terutamanya yang berada jauh dengan Ka’bah untuk memastikan arah kiblat mereka betul-betul menepati jasad Ka’abah. Ini juga adalah bukti kedhaifan manusia dan juga kehebatan serta kekuasaan-Nya yang perlu kita insafi. Apa pun jua, berdasarkan kaedah berpandukan Qiblat Dzanni dan dibantu hadith tentang berijtihad telah menzahirkan betapa Dia tidak membebankan hamba-Nya dan mudah-mudahan ianya menjadi ibadat yang diterima-Nya.
[1] Muslim,kitab: al-Aqdiyah, Bab: Bayan Ajr al-Hakim, Bil.3240. Al-Bukhari, kitab : al-I`tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah. Bil. 6805. Abu Daud, kitab: al-Aqdiyah, Bil. 3103.