.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Mahasiswa ingin jumpa PM isu mansuh ISA


Sebuah gabungan pertubuhan mahasiswa berharap dapat bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib bagi menyampaikan tuntutan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berusaha menghubungi Pejabat Perdana Menteri minggu depan bagi mengatur pertemuan tersebut, kata pengerusinya Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau, juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), serta wakil beberapa organisasi pelajar juga menuntut tahanan-tahanan bawah akta kontroversi itu dibebaskan atau dibicarakan jika wujud pertuduhan terhadap mereka.

Shazni Munir, yang ditahan polis bulan lepas bagi siasatan contengan “bini puaka”, berkata satu pertemuan dengan perdana menteri lalu Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah dirancang tahun lalu melalui Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Namun pertemuan tersebut gagal diadakan kerana ia turut melibatkan SMM yang disifatkan kerajaan sebagai pertubuhan tidak berdaftar, tambahnya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Najib, sewaktu menyampaikan ucapan sulungnya sejurus selepas menerima pelantikan sebagai perdana menteri keenam awal April lalu, berjanji untuk “menyemak semula” akta tersebut yang sering dikecam oleh aktivis NGO dan parti pembangkang.

Tidak sabar dengan janji itu, gabungan NGO hak asasi manusia dan Pakatan Rakyat awal bulan ini menganjurkan demonstrasi besar melibatkan 20,000 penyokong mendesak ia dimansuhkan.

Shazni Munir menambah, SMM juga sedang menimbang cadangan supaya diwujudkan satu tinjauan lebih menyeluruh di kalangan para pelajar berhubung isu semakan atau pemansuhan ISA.

PMIUM, katanya lagi, pernah mengutip pandangan umum pelajar Akademi Pengajian Islam (API) mengenai isu tersebut bagi mengukur kesediaan pelajar untuk menyertai demonstrasi anti-ISA baru-baru ini.

“Lebih 80% daripada mahasiswa ini positif untuk berdemo. Mereka juga mahu undang-undang ISA dimansuhkan,” katanya.

Jumlah sampel tinjauan itu bagaimanapun tidak dinyatakan.

Dapatan tinjauan ini akan diserahkan kepada perdana menteri dalam pertemuan itu nanti, jelasnya.

Daripada maklumat yang dikumpul SMM, tambah Shazni Munir, kira-kira 1,000 orang mahasiswa menyertai demonstrasi tersebut.

Daripada 589 orang yang ditahan dalam demonstrasi tersebut, 27 daripada mereka terdiri para pelajar, termasuk 20 orang bawah 17 tahun.-Malaysiakini

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template