.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Selasa, 27 Ogos 2013

Menyingkap Permasalahan Khilaf Pandangan Ulama Dalam Isu Rampasan Kuasa Mesir 3 Julai 2013

1 ulasan

Pandangan para ulama  mengenai isu rampasan kuasa 3 Julai

1- Pandangan ulama yang menyokong pelan tentera

Syeikhul Azhar, Syeikh Dr.Ahmad Thayyib[1] telah mengeluarkanqarar(ketetapan) bahawa Al-Azhar sebagai institusi agama terbesar dan bersejarah di Mesir menyokong pelan peralihan kuasa kerajaan Mesir yang dilaksanakan oleh angkatan tentera Mesir pada 3 Julai 2013. Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi semua perkara kerana perjalanan umat dan masa depan negara bukannya milik individu dan kehormatan jiwa manusia ialah perkara yang tidak boleh dilanggar. Beliau menjelaskan bahawa peristiwa keganasan, pembunuhan serta pertumpahan darah yang telah berlaku di negara ini adalah perkara yang ditolak dan tidak layak bagi sejarah tamadun rakyat Mesir.

Syeikh Ahmad Thayyib menambah lagi bahawa demonstrasi aman dibenarkan oleh syarak dan perlembagaan selagi mana bebas daripada segala bentuk keganasan, pertumpahan darah serta seruan terhadapnya dengan apa juga cara sekalipun. Beliau juga menyeru rakyat Mesir daripada pihak penyokong dan pembangkang supaya berjaga-jaga dengan bahaya terjerumus ke dalam kancah perang saudara yang telah menunjukkan tanda-tandanya. Beliau memberi amaran tentang kesan buruk yang tidak selayaknya bagi sejarah Mesir dan perpaduan rakyat. Beliau menyokong pelan mengadakan pilihan raya awal bagi menyelesaikan masalah politik terkini di Mesir. Beliau menyatakan bahawa pilihan raya yang bakal diadakan dijamin ketulusan perjalanannya oleh hakim-hakim, angkatan tentera dan polis Mesir.


2- Pandangan ulama yang menentang rampasan kuasa dan pelan tentera

a- Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi tidak menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera Mesir. Sebelum rampasan kuasa berlaku beliau telah menyeru rakyat Mesir supaya bersatu padu. Beliau berkata jika Presiden Mursi melakukan sesuatu perkara yang ternyata ianya adalah maksiat kepada rakyat dan negara maka jangan mentaatinya akan tetapi jika beliau masih lagi seorang presiden yang menjalankan hak rakyat dan negara serta membawa ke arah kebaikan maka wajib untuk rakyat Mesir mentaatinya.

Selepas peristiwa pembunuhan di Rabaah Al-Adawiyah pada 27 Julai 2013, beliau dengan lantangnya mengkritik kerajaan sementara di bawah pimpinan Presiden sementara Adly Mansour dan Naib Presiden Muhammad Al-Baradaie. Beliau dengan lantang mengutuk pembantaian di Rabaah Al-Adawiyah yang meragut nyawa kurang lebih 5000 pro-demokrasi termasuk wanita dan kanak-kanak. Beliau mengkritik Menteri Pertahanan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi kerana membunuh rakyat Mesir serta menggantung Perlembagaan Mesir 2012 dan mahu menggantikannya.

Selain itu, beliau menyeru kepada Syeikh Al-Azhar, Haiah Kibar Ulama[2] dan Majmak Buhus Islamiah[3] untuk kembali ke jalan kebenaran dan bersama rakyat Mesir dalam isu ini. Beliau juga menyeru seluruh rakyat Mesir dari semua wilayah untuk datang ke medan Rabaah Al-Adawiyah tanpa rasa takut kerana Allah bersama mereka. Beliau menyatakan ganjaran orang syahid di jalan Allah sangat besar dan termaktub di dalam Al-Quran.

Beliau mengritik media Mesir seperti saluran radio, televisyen dan akhbar yang masih berdiam diri dan menutup mata terhadap kerosakan negara dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Mesir. Beliau menyatakan apakah media tidak nampak bahawa rakyat Mesir yang menyokong penggulingan Presiden Mursi hanya di Medan Tahrir sedangkan penyokong Presiden Mursi atau Syar'iyyah berada di 35 medan himpunan seluruh wilayah Mesir.

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU) dan seluruh dunia untuk bertindak terhadap isu Mesir. Beliau juga menyeru umat Islam di Indonesia, Malaysia, Algeria dan negara Islam yang lain untuk menyokong kebenaran. Beliau menyeru umat Arab dan kerajaan-kerajaan Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE)[4], Bahrain dan Kuwait kembali kepada jalan kebenaran dalam isu ini. Akhirnya, beliau menegaskan bahawa Allah pasti akan memenangkan Presiden Mursi dan memenangkan kebenaran mengatasi kebatilan.

b- Dr.Muhammad Imarah

Dr.Muhammad Imarah[5] salah seorang ahli Haiah Kibar Ulama memberikan pandangannya dalam isu ini. Beliau menyatakan bahawa angkatan tentera Mesir adalah punca kepada krisis yang berlaku di Mesir pada masa kini yang merupakan krisis terbesar di Mesir pada era moden. Angkatan tentera sepatutnya tidak melibatkan diri dalam politik negara dan kerajaan. Beliau membandingkan Mesir dengan negara lain seperti China, India dan Korea[6]. Negara-negara ini menurutnya telah berjaya membangunkan masyarakat mereka dari segi keilmuan dan kemajuan pembangunan akan tetapi Mesir semakin mundur dan terkebelakang apabila negara ini telah menjadi “negara polis” yang merosakkan keinginan rakyatnya sendiri.

Beliau menyatakan bahawa rakyat telah memberikan pentauliahan kuasa kepada Presiden Mursi secara sah. Perlembagaan Mesir yang baru dikeluarkan tahun lalu juga telah disokong oleh 63% suara rakyat melalui referendum (proses pungutan suara) di mana Perlembagaan Mesir telah menjadi perlembagaan yang mendapat suara majoriti rakyat tertinggi di dunia dan lebih tinggi dari Perlembagaan Itali yang mendapat sokongan 61% rakyatnya. Beliau menggesa supaya hak syari'yyah[7] dan demokrasi dipulihkan semula. Beliau menyatakan rasa terkejutnya apabila kelompok liberal boleh bersama tentera dan pihak gereja Mesir di dalam isu ini. Beliau berdoa supaya Allah menyatukan rakyat Mesir di atas kalimah persamaan dan peyatuan.

c- Muktamar Ulama di Istanbul, Turki[8]

Pada 10 Julai 2013 bersamaan 1 Ramadan 1434 yang lalu, para ulama sedunia telah berhimpun dalam sebuah muktamar di Istanbul, Turki. Saluran Al-Jazeera telah menyiarkan muktamar ini. Para ulama telah mengeluarkan ijtihad berkenaan perkara berkaitan isu rampasan kuasa oleh tentera Mesir pada 3 Julai yang lalu. Perkara yang dibincangkan ialah :

1) Pembekuan Perlembagaan Mesir untuk sementara waktu.

2) Penggulingan Presiden Mursi.

3) Pelantikan Ketua Mahkamah Agung sebagai pemimpin untuk memimpin tempoh peralihan.

Para ulama mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai penyokong syar'iyyah ketika waktu Subuh di masjid berdekatan bangunan Pengawal Republik (Hars Al-Jumhuri). Maka ulama telah menyepakati beberapa perkara iaitu :

1) Kepimpinan Presiden Mursi adalah kepimpinan yang masih lagi sah dan wajib bagi seluruh rakyat Mesir untuk mendengar dan mentaati serta menolongnya. Perkara ini sesuai dengan batasan yang telah oleh syarak dalam bab kepimpinan.

2) Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah menetapkan bahawa haram hukumnya untuk memberontak terhadap pemimpin Islam dengan merebut kuasa dan menjatuhkannya dengan cara rampasan kuasa atau kudeta kecuali jika jelas kekufuran yang nyata padanya.

3) Setiap penganut agama di Mesir khususnya Islam wajib mengembalikan Presiden Mursi ke posisi kepimpinan negara dan menolak kezaliman yang berlaku.

       Di dalam hadis Qudsi menyatakan “Wahai hamba-hambaku, aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriku dan aku telah jadikan kezaliman haram bagi kamu semua. Maka janganlah kamu semua berlaku zalim.”

Imam Al-Mawardi rahimahullah juga menyatakan : “Ketika seorang pemimpin sudah ditetapkan sebagai pemimpin maka wajib bagi seluruh umat untuk menyelamatkannya kerana mereka memiliki kewajipan untuk membantunya.”

Di atas perkara tersebut maka perkara yang dilakukan oleh pihak tentera bersama dengan parti-parti sekular, Islam[9] dan tokoh-tokoh agama, sebahagian kelompok Kristian serta kelompok lain merupakan perkara kerosakan. Kerosakan dibimbangi akan terus merebak ke seluruh negara sehingga tahap berlakunya perang saudara.

Oleh itu, para perwakilan dari persatuan ulama Islam sedunia telah mengeluarkan dua ketetapan iaitu :

Pertama: Kewajipan syarie bagi pihak tentera untuk mengembalikan kuasa kepada pihak yang berhak ke atasnya dan menutup pintu kerosakan terhadap rakyat Mesir. Pemberontakan terhadap Presiden Mesir akan menyebabkan kehancuran kecuali Allah mahukan perkara lain terjadi. Maka kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berada dalam keburukan.

Kedua: Wajib secara syarie bagi seluruh ulama Mesir terutamanya ulama Al-Azhar untuk melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan iaitu menyampaikan hal kebenaran terhadap manusia. Haram menjatuhkan pemimpin Islam yang dipilih secara sah dan wajib mengembalikan semula syariat. Kewajipan bagi semua pihak untuk mendengar dan mentaatinya. Allah berfirman :

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri (ulama dan pemerintah) di antara kamu….”

Hendaklah mereka menyatukan kalimah, menyatukan barisan serta menjaga darah rakyat Mesir. Pada akhirnya, ulama sedunia telah memberikan nasihat kepada sebahagian bangsa Arab yang menyokong rampasan kuasa terhadap Presiden pilihan rakyat. Islam yang dianuti sepatutnya menjadikan mereka membantu kepemimpinan Islam dan kesempatan untuk memperbaiki perkara tersebut masih terbuka bagi membantu golongan yang menentang kezaliman dan mengembalikan Presiden ke posisinya. Para ulama juga mendoakan supaya Allah menjaga Mesir dari sebarang fitnah yang berlaku dan menjaga darah rakyat Mesir.

Antara persatuan ulama yang hadir di muktamar ini ialah:

1- Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia
2- Ikatan Ulama Muslimin
3- Ikatan Ulama Syariah Negara Teluk
4- Majlis Dakwah Dan Kebajikan Sedunia
5- Kesatuan Ulama Afrika
6- Ikatan Muslimin Eropah
7- Majlis Tertinggi Dakwah Islam Indonesia
8- Kesatuan Pendakwah Antarabangsa
9- Majlis Syura Ulama Mesir
10- Ikatan Ulama Ahlus Sunnah
11- Pertubuhan Pendokong Kebenaran Dan Kesejahteraan
12- Pertubuhan Ulama Yaman
13- Ikatan Ulama Syam
14- Ikatan Syariah Ulama Dan Pendakwah Sudan
15- Pertubuhan Ulama Sudan
16- Ikatan Pendakwah Kuwait

Selain itu, para ulama dan perwakilan gerakan Islam seluruh dunia telah berhimpun di Istanbul, Turki pada 14 Julai 2013 bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Mursi.[10]

3- Pandangan lain

Darul Ifta` Al-Misriah[11] telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 3 Julai 2013 lalu dengan memberikan kepercayaan kepada angkatan tentera Mesir dan menyeru semua pihak untuk memikul tanggungjawab negara pada ketika ini. Darul Ifta` juga menegaskan bahawa seluruh rakyat wajib untuk menjaga perpaduan pada masa kini. Semua orang perlu memastikan nyawa seluruh rakyat dapat dijaga. Semua pihak juga mesti menjayakan kehidupan bermasyarakat yang sebenar, keadilan sosial, kebebasan tanggungjawab, demokrasi terpimpin dan kesejahteraan negara.

Darul Ifta` menghargai usaha angkatan tentera untuk mempertahankan Mesir. Tentera telah menyeru rakyat Mesir untuk bergerak menuju keamanan dan menjaga darah rakyat. Darul Ifta` memberikan kepercayaan kepada tentera bagi merealisasikan “pelan peralihan kuasa” yang baru demi menjaga keamanan negara dan nyawa rakyat. Selain itu, Darul Ifta` juga menyeru semua pihak untuk mengelakkan kepentingan peribadi dan politik kepartian yang sempit. Semua perkara ini adalah untuk mencapai kepentingan tertinggi dan terutama untuk negara.

Darul Ifta` Mesir  telah mengeluarkan kenyataan lain berbentuk peringatan dan nasihat kepada  rakyat Mesir yang sedang mengalami pertembungan pemikiran dan kepartian. Perkara yang mesti diambil perhatian oleh semua pihak ialah:

1) Darul Ifta` Mesir menegaskan bahawa demonstrasi secara aman dibenarkan bahkan ianya menunjukkan kematangan dan sifat keterbukaan rakyat. Demonstrasi ini dibenarkan dengan syarat ianya diadakan secara aman  dan tidak merosakkan harta awam dan persendirian.

2) Darul Ifta` menyeru semua pihak supaya mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan kepartian yang sempit.

3) Menolak sebarang bentuk pertumpahan darah dan menekankan kehormatan jiwa manusia.

4) Walaupun Darul Ifta` mengakui kebenaran untuk berdemonstrasi tetapi seluruh rakyat perlu memahami bahawa negara ini tidak maju melainkan dengan kerjasama dan usaha gigih semua pihak.

5) Darul Ifta` menyokong pendirian Al-Azhar yang menentang keganasan dan mencari titik perpaduan parti-parti politik. Al-Azhar akan terus menjadi benteng dan rujukan bagi seluruh rakyat pada waktu krisis berlaku.

6) Media massa perlu bersifat amanah dalam menyampaikan  sesuatu berita pada masa ini. Media massa perlu  menyelediki perkara yang ingin disampaikan dengan mendalam. Sesungguhnya setiap perkataan yang dikeluarkan akan dihisab oleh Allah.


Revolusi 2011[12]

Pada Revolusi 2011 yang lalu, Syeikh Ahmad Thayyib mengeluarkan kenyataan bahawa haram bagi rakyat Mesir menyertai demonstrasi bagi menggulingkan pemerintahan Presiden Husni Mubarak. Beliau menyifatkan demonstran yang mengadakan revolusi sebagai menentang negara, kerajaan dan rakyat. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi pula menyokong revolusi rakyat Mesir pada 2011.


Penjelasan khilaf ulama dalam isu ini

Khilaf di kalangan ulama sememangnya perkara yang telah berlaku sejak zaman yang lampau. Ulama banyak berbeza pandangan terutamanya dalam permasalahan perkara cabang atau furu`. Oleh sebab itu, muncullah pelbagai mazhab di dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi, kita perlu memahami bahawa para ulama berkhilaf di dalam perkara yang tidak mempunyai nas atau dalil yang jelas di dalam Al-Quran dan sunnah. Perkara yang utama dan sudah jelas hukumnya seperti hukum pengharaman arak, judi, pensyariatan solat, kewajipan membayar zakat, perlaksanaan hukum hudud serta qisas dan sebagainya merupakan perkara yang telah dinyatakan oleh Allah mengenai kewajipan melaksanakannya dan tiada khilaf dibenarkan dalam perkara tersebut.

Adapun perkara ijtihad berkaitan perkara dunia yang tiada nas atau dalil maka dibolehkan berijtihad dengannya. Perkara ini termaktub di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W berkaitan proses perkahwinanan atau kacukan antara pokok[13].

“Daripada Talhah R.A meriwayatkan: Aku telah berjalan bersama Rasulullah S.A.W lalu bertemu dengan orang yang berada di atas pokok tamar. Maka aku berkata : Apakah yang kamu sedang lakukan?Lalu mereka menjawab: Kami sedang mengahwinkannya dengan meletakkan putik pada benang sari supaya segera berbuah. Maka Rasulullah S.A.W berkata: Aku menyangka perkara tersebut tidak diperlukan. Lalu aku berkata: Kemudian mereka diberitahu tentang sabda Rasulullah S.A.W lalu mereka meninggalkan perkara tersebut. Selang beberapa hari kemudian Rasulullah S.A.W diberitahu bahawa pokok tamar tersebut tidak berbuah. Maka Rasulullah S.A.W berkata: Jika perkara tersebut (perkahwinan pokok) memberi manfaaat kepada kamu maka lakukannya. Sesungguhnya aku hanya mengeluarkan pendapat peribadi dengan sangkaan (dzhan) maka jangan mengambil sesuatu yang bersifat sangkaan daripadaku. Akan tetapi apabila diberitahu kepada kamu daripada Allah tentang sesuatu perkara maka ambillah perkara tersebut. Maka sesungguhnya aku tidak sekali-kali melakukan pendustaan terhadap Allah Azza wa Jalla[14].”

Hadis ini menunjukkan kepada kita beberapa perkara iaitu :

1- Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa tiada pilihan bagi manusia untuk memilih sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu hokum atau perkara yang telah termatub dalam wahyu. Manusia wajib melakukan perkara yang disuruh Allah.

2- Ijtihad Rasulullah S.A.W berlaku pada perkara yang bersifat duniawi sahaja. Ijtihad hanya berlaku jika perkara tersebut bersifat sangkaan (dzhan) sahaja.

3- Sesungguhnya para sahabat Radiyallahu Anhum sememangnya mengetahui secara mendalam  perkara berkenaan “perkahwinan pokok tamar”. Walaupun begitu, mereka tetap tidak menyangkal Rasulullah S.A.W pada mulanya bahkan mereka mengikuti pandangan baginda. Perkara ini menunjukkan betapa beradabnya mereka dengan baginda serta ketinggian makam kenabian Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W juga membenarkan para sahabat untuk berijtihad pada sesetengah perkara dan mewasiatkan beberapa jalan yang perlu diikuti dalam perkara ijtihad tersebut[15].

“Rasulullah S.A.W ingin mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman lalu baginda bertanya: Bagaimanakah cara kamu menghukum jika dibentangkan kepadamu sesuatu perkara? Beliau menjawab: Aku akan menghukum perkara tersebut dengan kitab Allah. Baginda berkata: Maka jika tidak ada penyelesaiannya pada kitab Allah? Beliau menjawab: Dengan sunnah Rasullah S.A.W. Rasulullah bersabda: Maka jika perkara tersebut tidak ada pada sunnah Rasulullah S.A.W dan kitab Allah? Beliau menjawab: Aku akan berijtihad dengan pandanganku dan tidak akan menguranginya. Maka Rasulullah S.A.W telah menepuk dadanya lalu bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah untuk melakukan apa yang membuatkan Rasulullah reda[16].”

Hadis ini menerangkan kepada kita beberapa perkara iaitu:

1- Menerangkan manhaj ijtihad yang diredhai Rasulullah S.A.W.

2- Hadis ini sebagai dalil untuk membuang sifat jumud dan keperluan untuk berijtihad ketika ketiadaan hukum dalam Al-Quran dan Sunnah.

3- Hadis ini menerangkan tentang perihal timbulnya permasalahan berbeza-beza dan tidak serupa. Syarak telah mewakilkan kepada mujtahid untuk berijtihad dengan pandangannya.

4- Rasulullah S.A.W tidak memberikan peringatan kepada Muaz tentang kesalahan pada ijtihad atau kesempitan pada batas-batas ijtihad. Boleh berijtihad selagimana tidak melampaui batasan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai isu rampasan kuasa 3 Julai di Mesir merupakan salah satu perkara yang telah terjadi. Perbezaan pendapat atau ijtihad dapat dilihat berlaku dalam kalangan ulama Mesir terutamanya. Bagaimana kita mengatasi dan meneliti kepelbagaian pandangan para ulama?

Inilah masalah utama yang berlaku pada sepanjang zaman. Kadangkala ulama saling berlapang dada dengan perbezaan pendapat akan tetapi masyarakat yang berada di luar kelompok ulama seperti orang awam, pelajar, media massa dan sebagainya seringberbalah dan kadangkala menghina pandangan ulama yang berbeza dengan pandangan yang dipegangnya.

Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah kedudukan ulama di sisi Islam . Al-Quran telah merakamkan ketinggian martabat ulama[17] :

“Allah menyatakan bahawasanya tiada tuhan melainkan-Nya yang menegakkan keadilan.Para malaikat dan orang-orang berilmu (juga menyatakan perkara demikian). Tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah Ali Imran: 18

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara para hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Surah Fatir: 28

Kedua-dua ayat ini menjelaskan kedudukan ulama yang tinggi di sisi Allah. Selain itu, Allah juga menyeru kita supaya memuliakan ulama.

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu….”

Surah An-Nisa`: 59

Perkataan “ulil amri” di dalam ayat ini bermaksud ahli-ahli fiqh dan agama ataupun ulama. Ini adalah pandangan Abdullah bin Abbas dan juga para tabiin seperti Mujahid , Atha`, Hasan Al-Basri dan Abu Al-Aliah. Selain itu, golongan salafussoleh juga berpandangan memuliakan ulama merupakan sebahagian daripada sunnah.

Imam Ibnu Taimiyyah juga memberi pandangan bahawa wajib bagi umat Islam untuk mengikuti orang mukmin selepas mengikuti Allah dan Rasulullah S.A.W terutamanya golongan ulama kerana mereka merupakan pewaris para anbiya`. Allah telah menjadikan kedudukan para ulama seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk ketika kegelapan malam di lautan dan daratan[18].


Ijtihad yang benar dan salah

Jika ulama telah meneliti dan mengkaji dengan bersungguh-sungguh sambil menggunakan kaedah yang sahih di dalam berijtihad maka baginya tetap ada pahala sama ada ijtihadnya benar atau salah.

“Daripada Amru bin Al-Ash sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Jika seseorang pemerintah ingin mengeluarkan hukum maka dia berijtihad kemudian jika ijtihadnya benar maka baginya dua pahala. Jika dia mengeluarkan hukum dan berijtihad kemudian ternyata ijtihadnya salah maka baginya satu pahala[19].”

Hadis ini telah menunjukkan kepada kita bahawa berijtihad ialah satu ibadah sama ada hasilnya benar atau salah dengan syarat telah menggunakan kaedah yang betul.

Akan tetapi, amaran daripada Rasulullah S.A.W jika berijtihad dengan sambil lewa.

“Daripada Ubaidillah bin Abi Jaafar berkata : Rasulullah S.A.W telah bersabda : Siapa yang paling tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa merekalah yang paling cepat menuju ke neraka[20].”


Pendirian Islam mengenai penghinaan terhadap ulama

                Islam telah mengharamkan untuk menghina ulama dengan sesuka hati. Imam Syafie Rahimahullah menyatakan bahawa jika bukan ulama yang menjadi wali-wali Allah maka tiadalah wali yang lain di sisi Allah. Saidina Abdullah bin Abbas juga berpandangan bahawa barangsiapa yang menyakiti seorang faqih maka dia telah menyakiti Rasulullah S.A.W dan barangsiapa yang menyakiti Rasulullah S.A.W maka dia telah menyakiti Allah[21].

Menghina ulama akan menatijahkan kemurkaan Allah Taala dan akan menyebabkan hilangnya sifat kepercayaan masyarakat terhadap Islam kerana golongan ulama merupakan golongan yang memberi petunjuk kepada masyarakat tentang Islam. Oleh itu, kita perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam perkara ini.


Menilai kebenaran di sebalik perbezaan pandangan dan ijtihad

Perkara paling utama yang ingin dicapai ialah kebenaran di sebalik ijtihad yang telah dikeluarkan oleh para ulama yang saling berbeza pandangan berkenaan sesuatu perkara. Ijmak ulama merupakan sumber paling utama dalam menilai pandangan yang paling benar pada masa kini. Pada masa kini, kita boleh melihat para ulama berijtihad dalam menentukan fatwa paling benar atau rajih mengikut keadaan semasa dan bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan sunnah.

 Oleh itu, banyak muktamar yang telah diadakan untuk membincangkan isu-isu penting yang perlu diselesaikan. Contohnya, Majmak Fiqh Antarabangsa yang pernah bersidang di Malaysia pada 2007 untuk menyelesaikan masalah berkaitan penggunaan ubat bagi pesakit lelah atau inhaler sama ada ianya membatalkan puasa atau tidak.

Ulama berkhilaf pada masalah ini dan pada mulanya hampir kebanyakannya berijtihad untuk memutuskan ianya membatalkan puasa kerana mendapati gas inhaler tersebut mempunyai serbuk yang boleh sampai ke rongga perut. Akan tetapi, para ulama bersidang semula dan mendapatkan hasil kajian yang lebih terperinci daripada pakar perubatan. Akhirnya, ulama bersepakat bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana kajian mendapati serbuk gas tersebut hanya sampai ke paru-paru dan ulama juga membenarkannya kerana penggunaan ubat untuk tujuan menjaga nyawa adalah perkara yang diberi keutamaan.

Perkara yang berlaku di Syria juga menarik perhatian kita untuk dibahaskan. Fakta menunjukkan hampir 95% ulama Syria menyokong revolusi rakyat Syria menggulingkan pemerintahan Presiden Basyar Al-Assad. Akan tetapi ada juga sebilangan kecil ulama Syria yang tidak menyokong revolusi. Akan tetapi, perbezaan pendapat ulama mengenai Revolusi Syria tidak dibahas panjang. Rakyat Syria menilai pandangan yang menjurus kepada kebenaran dan perkara yang berlaku di Syria adalah pertembungan di antara yang hak dan batil. Menjatuhkan kerajaan Basyar Al-Assad lebih diutamakan oleh rakyat Syria berbanding perbahasan mengenai khilaf ulama Syria.

Hakikat yang ingin dicapai oleh kita ialah kebenaran dalam perbezaan pandangan terutamanya yang melibatkan pertembungan yang penting seperti hal ehwal kenegaraan. Oleh itu, Syeikh Muhammad Abduh[22] di dalam Tafsir Al-Manarpernah memberi pandangan berkenaan masalah ini[23]. Pertembungan sesama umat Islam bukanlah perkara baru dan telah berlaku sejak zaman beliau. Beliau menyatakan bahawa dalam kebanyakan pandangan ulama terdapatnya petunjuk dan cahaya. Jika umat Islam mengikut jalan tersebut pastinya dapat mengeluarkan diri daripada kesempitan khilaf dan perbalahan kepada medan penyatuan dan permuafakatan.

Adapun sebab terus berlaku khilaf dan pertembungan pemerintah ialah tersebarnya kejahilan dan ketaksuban golongan berkedudukan dalam kalangan ulama kepada mazhab atau aliran yang diikuti mereka. Dengan terang lagi nyata mereka menghidupkan, memuliakan serta mendokong para umara` (pemimpin) dan penguasa-penguasa untuk menundukkan seluruh umat. Mereka juga memutuskan jalan kebebasan pemikiran dan pemahaman umat. Oleh kerana mereka telah membantu pemerintahan kuku besi lalu mereka telah mengukuhkan  kedudukan golongan yang cintakan kerosakan dan kesesatan.

Justeru, ulama perlu mencapai penyatuan pandangan bagi memastikan pemerintah tidak berlaku zalim dan mengikuti jalan kebenaran. Pemerintah mesti mengikuti pandangan ulama kerana jika golongan yang khas (ulama) bersatu nescaya orang awam akan mengikutinya. Ini adalah satu-satunya wasilah bagi menghalang pemerintahan kuku besi.

Maka agama menyeru untuk menghindari perbalahan dan pertembungan serta berpegang dengan agenda kesatuan. Allah telah berfirman:

“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”.

Surah Ali Imran: 103

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan…”

Surah Al-Anfal: 46

Nabi S.A.W telah bersabda: “Janganlah kamu kembali kafir sesudah (kewafatanku). Sebahagian kamu akan memenggal leher sebahagian yang lain”

Menurut Syeikh Muhammad Abduh lagi[24]: “Sesungguhnya kita telah berpecah dan bertembung kerana kita telah membelakangkan nas-nas ini. Kita juga telah memerangi satu sama lain dengan nama agama kerana kita berada dalam aliran dan mazhab yang berbeza. Setiap kumpulan taksub dengan fahaman mereka dan seluruh kelompok Muslimin melampaui batas bagi mempertahankan kelompoknya dengan mendakwa mereka adalah penolong agama sambil mengkhianatinya dengan memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Golongan Sunni memerangi Syiah, Syiah memerangi Ibadiyah, khalaf memerangi pengikut salaf dan sebagainya.”

Seluruh umat Islam bergaduh sehingga jauh dari jalan kebenaran dan mengikut langkah-langkah syaitan seakan-akan mereka tidak membaca firman Allah Taala:

“…Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu”

Surah Al-Baqarah : 168

Langkah-langkah syaitan ialah setiap perkara yang bercanggah dengan jalan kebenaran, kebaikan dan maslahah.

Jika berlaku perselisihan maka kita perlulah untuk mengembalikan diri kepada penghakiman Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Taala :

Surah An-Nisa` : 59

Sesungguhnya kebenaran itu hanyalah satu. Maka, wajib bagi kita untuk mencarinya dengan keikhlasan, tanpa berat sebelah dan perdebatan sehinggalah kita berjaya mencapai kebenaran dan menutup pintu syaitan. Wajib bagi kita  mengkaji dan meneliti kebenaran dengan syarat ianya bukanlah bertujuan untuk memusuhi orang yang menentangnya. Oleh itu, sebaiknya kita cuba untuk mencari jalan ke arah penyatuan ijtihad sebaik mungkin.


Kesimpulan

1) Pertembungan ulama mengenai isu rampasan kuasa di Mesir bukanlah isu utama yang sepatutnya dibahaskan pada masa kini. Perkara yang perlu diberi keutamaan pada masa kini ialah pertembungan antara Islam dengan sekularisme di Mesir. Sepatutnya kita perlu memberi keutamaan pada pertembungan ini kerana ianya merupakan pertembungan antara kebenaran dan kebatilan.

2) Para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Hasan Syafie dan para ulama yang menghadiri muktamar ulama sedunia di Istanbul tidak melemparkan penghinaan terhadap ulama yang berijtihad menyokong tentera akan tetapi menyeru mereka kepada kebenaran. Setakat ini masih belum ada lagi pandangan ulama yang menghina ulama lain dalam isu ini.

3) Kebenaran yang hakiki merupakan perkara utama yang perlu dicari dalam setiap pandangan ulama. Menilai dan meneliti setiap pandangan dan hujah ulama adalah perkara yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim dan bukannya menghina pandangan ulama walaupun tidak bersetuju dengan pandangan mereka.

4) Seorang muslim perlu menjaga dirinya daripada melemparkan penghinaan terhadap muslim yang lain tanpa mengira golongan. Golongan ulama bukanlah golongan yang boleh dihina dengan sewenang-wenangnya begitu juga dengan muslim yang lain.






[1] Syeikh Dr.Ahmad Thayyib dilahirkan di wilayah Qana, Mesir dan mempunyai salasilah keluarga sehingga ke Saidina Hasan bin Ali bin Abi Talib. Beliau telah mendapat ijazah dalam bidang Aqidah Dan Falsafah Islamiyah di Universiti Al-Azhar pada 1969, mendapat Sarjana (M.A) pada 1971 dan Phd pada 1977. Pernah menjadi pensyarah di Fakulti Pengajian Islam dan Arab di Qana, Dekan Fakulti Pengajian Islam di Aswan, Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti Islam Antarabangsa, Pakistan. Beliau pernah menjadi mufti Republik Arab Mesir, Rektor Universiti Al-Azhar serta ahli Majmak Buhus Islamiah. Beliau telah dilantik sebagai Syeikhul Azhar pada 2010.

[2]   Haiah Kibar Ulama ialah himpunan ulama Mesir. Ketuanya ialah Syeikhul Azhar. Presiden Jamal Abdul Nasser telah memansuhkannya dan menggantikannya dengan menubuhkan Majmak Buhus Al-Islamiah. Haiah Kibar Ulama telah ditubuhkan semula selepas Revolusi 2011.

[3] Majmak Buhus Islamiah ialah badan tertinggi ulama dalam bidang penyelidikan Islam di bawah Al-Azhar. Ianya berfungsi untuk memperbaharui kajian ilmiah dan meluaskan pengkajian ilmu di semua bidang. Badan ini tidak dipengaruhi oleh ketaksuban politik dan mazhab. Badan ini juga berfungsi untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat seperti masalah berkaitan mazhab atau aqidah.

[4] Kerajaan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu merupakan antara negara yang menyokong kuat gerakan menjatuhkan Presiden Mursi dan Ikhwan Muslimun.

[5] Dr.Muhammad Imarah merupakan salah seorang ahli Haiah Kibar Ulama. Beliau banyak menulis buku dan penulisannya banyak terdapat di dalam majalah bulanan Al-Azhar. Beliau banyak mengupas isu semasa umat Islam dari sudut ilmiah seperti isu politik dan sebagainya.

[6] Republik Rakyat China dan India telah menjadi negara membangun dari segi ekonomi setelah sebelumnya mengalami kemunduran. Korea Selatan pernah mengalami krisis politik sekitar era 1980-an setelah tentera merampas kuasa akan tetapi kini telah menjadi sebuah negara maju di dunia. Mereka juga berjaya bangkit setelah mengalami kemusnahan teruk dalam Perang Korea pada 1950-1953 yang mengorbankan tiga juta nyawa.

[7] Syar'iyyah ialah dokongan kepada Presiden Mursi sebagai presiden yang sah.

[8] Turki ialah sebuah negara yang bebas. Gerakan Islam serta ulama mudah bergerak di Turki dan Eropah berbanding di negara Islam yang lain. Turki telah menjadi kekuatan Islam yang terbaru setelah kemenangan Parti Keadilan Dan Pembangunan (AKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan pada 3 November 2002.

[9] Parti Nour sebuah parti berfahaman Salafi telah menyokong pelan “road map” atau pelan peralihan kuasa tentera Mesir setelah krisis 3 Julai 2013 berlaku. Dr.Muhammad Imarah dalam temubual dengan Al-Jazeera pada 8 Ogos 2013 menyifatkan Parti Nour tersalah langkah dan membuat kesalahan besar. Parti Nour ialah parti Islam kedua terbesar di Mesir selepas Parti Kebebasan Dan Keadilan (FJP). Parti ini merupakan sayap politik kepada pertubuhan Dakwah Salafiyah.

[10] Perwakilan gerakan Islam seluruh dunia berkumpul di Turki bagi menyokong kepimpinan Presiden Mursi. Wakil Malaysia ialah Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang.

[11] Darul Ifta` Al-Misriah ialah Jabatan Fatwa Mesir.

[12] Revolusi 2011 juga dikenali Revolusi 25 Januari. Ulama juga berkhilaf di dalam masalah tersebut seperti isu rampasan kuasa 3 Julai 2013.

[13] Lihat : Ustaz Dr Ahmad Buud, Al-Ijtihad Baina Haqaiq At-Tarikh Wa Mutathollibat Al-Waqie`, Dar As-Salam, 2005, m.s 22

[14] Sahih Muslim, Kitab Al-fadail

[15] Ibid, m.s 23

[16] Sunan Abi Daud, Kitab Al-Aqdhiah

[17] Lihat : Dr.Talaat Muhammad Afifi, Al-Ulama Baina At-Tauqir Wa At-Tathowwul, Dar As- Salam, 2002, m.s 13

[18] Ibid, m.s 27

[19] Op. cit, Ustaz Dr.Ahmad Buud, m.s 24

[20] Ibid, m.s 25

[21] Op. cit, Dr.Talaat Muhammad Afifi, m.s 47-48

[22] Syeikh Muhammad Abduh dilahirkan pada 1849 di Buhairah, Mesir. Beliau belajar di Madrasah Ahmadi dan kemudiannya Universiti Al-Azhar. Antaranya guru-gurunya ialah Syeikh Darwish Khudr, Syeikh Hassan Tawil dan Syeikh Jamaluddin Al-Afghani. Beliau ialah seorang tokoh reformis atau tajdid Islam pada zamannya. Beliau berani mengemukakan ideanya walaupun mendapat rintangan. Ideanya telah membawa perubahan kepada Al-Azhar dan sistem mahkamah Mesir. Beliau terlibat dalam Revolusi Urabi yang ingin menggulingkan British di Mesir. Beliau dibuang negara pada 1882. Beliau pernah menjadi Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, anggota Majlis Pengurusan Al-Azhar dan Mufti Mesir pada 1899-1905. Beliau banyak memberi idea dalam mereformasikan pendidikan. Penulisannya cukup berpengaruh ke serata dunia Islam. Tanah Melayu juga terkesan dengan pemikiran beliau ketika itu. Sebuah dewan di kampus Universiti Al-Azhar Kaherah dinamakan sempena namanya.

[23] Lihat : Dr.Abdul Jalil Isa, sisipan Majalah Al-Azhar Keluaran Ramadan 1434H: Ma La Yajuzu Fihi Al-Khilaf Baina Al-Muslimin, Majmak Buhus Al-Islamiah, m.s 84

[24] Ibid, m.s 85


Rujukan :

1) Al-Ijtihad Baina Haqaiq At-Tarikh Wa Mutathollibat Al-Waqie`, Ustaz Dr.Ahmad Buud, Dar As-Salam, 2005.

2) Al-Ulama Baina At-Tauqir Wa At-Tathowwul, Dr.Talaat Muhammad Afifi, Dar As- Salam, 2002.

3) Sisipan Majalah Al-Azhar Keluaran Ramadan 1434H: Ma La Yajuzu Fihi Al-Khilaf Baina Al-Muslimin, Dr.Abdul Jalil Isa, Majmak Buhus Al-Islamiah, Julai/Ogos 2013.

4) Terjemahan Sunan Tis`ah berbahasa Indonesia.

5) Kamus Miftah Arab-Melayu-Inggeris

6) dar al-ifta.org



9) www.alazhar-assyarif.gov.eg

10) Facebook Al-Azhar

11) Facebook R.N.N.




Disediakan oleh:
Barisan Felo MANHAL 
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013


"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Dipetik daripada www.manhal.pmram.orgwww.manhal.pmram.org

Sabtu, 23 Februari 2013

Jubah Terkini!

0 ulasan








HANYA RM150 SAHAJA
 JUALAN PENGHABISAN STOK
BERMINAT SMS @ CALL
019-444 3478
FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template