.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Ahad, 30 Ogos 2009

Parti pemerintah Jepun tumbang


TOKYO: Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencatat sejarah apabila mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum semalam, menyingkirkan parti Demokratik Jepun (LDP) yang sudah memerintah selama hampir 54 tahun.


DPJ dijangka memenangi lebih 300 kerusi daripada 480 kerusi dewan rendah Parlimen yang dipertandingkan, menurut tinjauan undi oleh semua stesen televisyen utama negara itu.

Kekalahan LDP itu membuka laluan bagi Ketua DPJ, Yukio Hatoyama untuk menggantikan Taro Aso sebagai Perdana Menteri dan membentuk Kabinet baru dalam beberapa minggu lagi.

Kekalahan yang dijangka itu mencerminkan kehampaan pengundi terhadap keadaan ekonomi terburuk sejak Perang Dunia Kedua dan kehilangan keyakinan terhadap LDP untuk menangani masalah berkenaan.

DPJ yang mencanangkan dasar populis, menjanjikan bantuan untuk petani dan keluarga yang mempunyai anak, selain menjanjikan gaji minimum yang lebih tinggi.

Parti itu juga berjanji akan mengamalkan dasar yang lebih bebas dari Amerika Syarikat dan memupuk hubungan yang lebih rapat dengan negara Asia.

Syarikat penyiaran kebangsaan, NHK mengunjurkan DPJ bakal memenangi 300 kerusi, manakala LDP kira-kira 100 kerusi. Keputusan rasmi dijangka diumumkan hari ini.

TV Asahi pula berkata DPJ akan memenangi 315 kerusi.

Setiausaha agung LDP, Hiroyuki Hosoda berkata beliau dan dua lagi pegawai kanan parti akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Aso yang memegang jawatan presiden parti itu. Aso pula berkata beliau akan melepaskan jawatan sebagai presiden LDP.

Menjelang penutupan pengundian jam 8 malam waktu tempatan semalam, pegawai pilihan raya berkata jumlah keluar mengundi adalah tinggi, mencerminkan minat awam yang mendalam dalam menentukan keputusan pilihan raya itu.

DPJ hanya memerlukan majoriti 241 kerusi dalam dewan rendah untuk menubuhkan kerajaan, tetapi Hatoyama berkata beliau akan menubuhkan kerajaan campuran dengan parti kecil.

Kebanyakan pengundi berkata walaupun DPJ belum pernah diuji sebagai parti pemerintah, negara itu perlu perubahan.

"Kami tidak tahu sama ada DPJ boleh membawa perubahan tetapi kami mahu memberi peluang kepada mereka," kata Junko Shinoda, 59, seorang kakitangan kerajaan.

LDP memerintah Jepun sejak penubuhannya pada 1955, kecuali tempoh 10 bulan pada 1993-94. - AP


sumber: http://www.bharian.com.my/Monday/BeritaUtama/20090831002316/Article/index_html

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template