.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Ahad, 30 Ogos 2009

KCB: Transformasi Dunia Perfileman




FILEM Ketika Cinta Bertasbih (KCB) yang diadaptasi daripada novel karya Habiburrahman Syirazi dengan tajuk yang sama menjadi tumpuan sebelum filem ini ditayangkan 11 Jun lalu.

Habiburrahman sebelum ini terkenal dengan filem adapatasi novelnya, Ayat-Ayat Cinta. Bagaimanapun, filem kedua daripada novelnya ini mendapat tumpuan lebih meluas kerana uji bakat untuk memilih pelakon filem ini dilakukan tiga bulan setengah melalui siri realiti televisyen yang berlangsung di sembilan bandar raya Indonesia.

Final uji bakat itu disiar secara langsung pada 14 September tahun lalu dan setiap peserta diwajibkan mampu mengaji al-Quran dengan baik dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan harian.

Promosi filem diarah Chairul Umam ini turut menyebabkan penonton teruja kerana ia diuar-uar sebagai sebuah filem mega dan yang pertama dihasilkan sepenuhnya di Mesir.

Dengan bajet RM14 juta, KCB adalah filem termahal pernah dihasilkan Indonesia. Ia ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara, memecahkan rekod filem arahan Riri Riza, Laskar Pelangi yang ditayangkan di 115 pawagam pada 2008.

Filem lanjutan, KCB 2 kini dijadual ditayangkan pada 17 September, beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 20 September.

KCB mengisahkan masalah mencari cinta sejati dengan cara Islam. Dalam filem ini, sentuhan fizikal antara lelaki dan perempuan dilarang sama sekali. Watak utama, Khairul Azzam dilakonkan M Cholidi Asadil Alam, seorang pelajar Universiti al-Azhar di Kaherah.

Khairul berasal daripada sebuah keluarga sederhana terpaksa bekerja untuk menyara ibu dan adik-adik perempuannya di Yogyakarta. Beliau juga adalah seorang aktivis dan mengamalkan Islam dalam hidupnya dan kegigihannya itu memikat Eliana yang dilakonkan Alice Sofie Norin, anak duta Indonesia.

Khairul bagaimanapun menolak cinta Eliana dan memilih Anna Althafunnisa yang belum pernah dikenalinya. Watak Anna dilakonkan oleh Oki Setiana Dewi. Anna akhirnya bersetuju mengahwini Khairul tapi dengan syarat beliau berjanji tidak akan berpoligami dan menguatkan hujahnya dengan hadis Rasulullah.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini adalah Meyda Sefira dan Andi Arsyil Rahman Putra.

Filem ini bagaimanapun turut menimbulkan persoalan mengenai kaitan antara nilai ajaran Islam dan industri perfileman, Seperti filem lain sebelum ini, Ayat-Ayat Cinta, Kun Fayakun, Mengaku Rasul dan Syahadat Cinta, KCB dihasilkan hasil gabungan antara idealisme dan nilai komersil.

Akibatnya, sesetengah pengkritik menganggap tindakan itu menyebabkan terhasilnya filem yang tidak bermutu tinggi. Namun ada juga pengkritik, seperti ahli sejarah filem, Salim Said yang menganggapnya sebagai ilustrasi generasi lama yang cuba mengumpul keuntungan dengan menghasilkan filem bermutu yang memberi manafaat kepada masyarakat.

Rumusan pengarah filem, Deddy Mizwar mungkin memberi jalan tengah untuk semua. Baginya, tidak semestinya suami dan isteri dalam filem berpelukan untuk tontonan umum. Dalam siri televisyen popular arahannya, Para Pencari Tuhan, seorang pelakon lelaki membuktikan cintanya dengan bersedia menyucikan diri dengan air mata isterinya untuk andai Islam membenarkannya.

"Pengarah boleh mengetengahkan cara yang lebih artistik dan tidak menyalahi hukum Islam," katanya.

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template