.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Sabtu, 17 April 2010

Menelaah Cinta
















“Jom gi Rantau Panjang….” Ringkas ajakan Zulkifli atau lebih mesra dengan panggilan Abe Long..

“Em….Rantau Panjang?” Soalannya berbalas soalanku..

“Saufik… ayah dia meninggal…” Abe Long menerangkan tujuan ajakannya..

Setelah difahamkan bahawa jenazah akan disembahyangkan selepas asar nanti yang kira-kira setengah jam sahaja lagi, bingkas kukemaskan beberapa tugasan di lap top..

Aku membonceng motosikal Abe Long bersama diiringi sebuah lagi motosikal sahabatnya barangkali penuntut di Pondok Moden.. Sebuah kereta yang sarat dengan 5 orang sahabat yang lain diketuai oleh Akh Khairul Anam, Presiden PMKIAS pantas dipacu petang itu..

Di sana, kami dihimpunkan juga beberapa orang sahabat yang turut hadir..

Ke Kamar Lahad

Dengan sedikit tergesa-gesa aku cuba mengejar ke kamar `pengantin’ itu… Menyaksikan dia diturunkan oleh anak-anaknya… kurapatkan diri ke bibir tebing itu.. Menatap dan meneliti `Raja Sehari’ yang malam pertamanya bakal ditemani Mungkar dan Nakir…

Tatkala itu, hati ini bermonolog sendirian…

“Inilah Hari Yang Pasti yang telah engkau janjikan setelah Kau khitbahnya puluhan tahun dahulu… Cinta-Mu pada hamba teramatlah pasti Hari Yang Pasti itu.. Sedangkan cinta makhluk sesama mahkluk belum pasti akan menemui Hari Yang Pasti seperti mereka harapakan... Agungnya cinta-Mu Ilahi....”

Kupayungi hatiku secebis muhasabah..

“Bagaimana pula Hari Yang Pasti yang Kau janjikan padaku? Entah bila akad itu akan menjamahku… Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan.. Jika diturutkan cinta, ingin sahaja aku meminta pada-Mu agar dipercepatkan ‘pernikahan’ ini sekalipun aku tahu ianya tidak akan dilewatkan atau diawalkan sesaat daripada yang telah ditetapkan… Tapi aku juga diselebungi ketakutan andai ‘malam pertama’ku jauh lebih ngeri daripada keindahan yang diharapkan.. Bimbang jika kamarku itu bukannya taman-taman syurga, sebaliknya lubang-lubang ke neraka-Mu… Jika ‘malam pertama’ku terlalu azab untukku, bagaimana mungkin kuharungi alam baru kelak yang pasti lebih dahsyat lagi…” monologku lagi…

Ketika menukilkan kalam ini.. Teringatku pada satu soalan yang pernah ditujukan kepadaku.. “Kalau isteri kamu meninggal awal, kamu kahwin lain tak..?”

Tiba-tiba terbayangkan.. Andai ditakdirkan isteriku dipanggil Ilahi lebih awal daripadaku.. Mahu sahaja diri ini menguruskan jenazah sendirian seawal membisikkan kalimah syahadah ke anak telinganya sehinggalah saat membaringkan jasadnya di liang lahad… Tidak ingin hati ini membenarkan tangan-tangan lain membantu.. Namun, entah apa upayaku ketika itu.. Mudah-mudah aku kan diberi kekuatan oleh-Nya.. Masih ingat lagi bagaimana arwah Tok Wan yang dipakaikan serban ketika disemadikan.. Ingin sekali rasanya ku alaskan wajahnya dengan sepotong purdah.. Sebagai saksi betapa muslimahku ini telah berusaha memelihara fitnahnya di dunia…. Ingin juga rasanya hati ini membisikan padanya saat dilonggarkan ikatan kain kafan yang melilit jasadnya dengan kalam “Abang akan menuruti jejakmu sayang.... Tunggu abang di syurga…”

Namun, jauh sekali di lubuk hati untuk kupinta pemergian seseorang..

Bersama Ust Tuan Safuan

Perjalanan pulang dengan menumpang motosikal Rofaizal petang itu terhenti di sebuah restoran bersama 8 orang lagi sahabat yang lain mengubat perut ini yang bunyi sudah tidak keruan dek hanya menjamah sedikit roti sahaja pagi tadi…

Abe Long yang merupakan orang tempatan di situ berkeputusan untuk bermalam di rumahnya, pulang aku bersama sahabat-sahabat yang semuanya seniorku…

Mujurlah tidak begitu kekok dek pernah bergaul dengan mereka semua terutamanya rakan mantan pimpinan yang lalu… Begitu mesra petang itu.. Jauh disudut hati ini membisikan rindu pada pahit jerih bersama kalian dahulu..

Masjid yang masyhur dengan panggilan “Masjid Beijing” menjadi pilihan kami untuk kami tunaikan kewajipan senja itu…

Tak terduga, kelam itu menyaksikan pertemuan kami dengan salah seorang pensyarah yang disegani, Ust Tuan Safuan.. Hebatnya orangnya kalau bab belajar.. Abangnya Tuan Sarifudin begitu masyhur di bumi Serambi Makkah ini, penerima anugerah Tokoh Ulama’ Muda Kelantan 2009.

Ajakan Ust Tuan Safuan untuk ke rumahnya itu tidak mampu kami tolak..

Seketika bersama Ust Tuan Safuan sementara mananti Isyak malam itu menjanjikan beberapa mutiara hikmah dan pesanan yang cukup bermakna..

Turut dikongsikannya, bagaimana ditamatkan hafazan sebuah Al-Quran dalam tempoh 8 bulan… Hebat sekali.. Hatta pernah 1 juzuk dihafalnya dalam masa 4 hari sahaja… Apalah jika hendak dibandingkan diriku ini yang pernah singgah beberapa tahun di institusi tahfiz di MTQTM sebelum ke SMAI dan KIAS… tiada apa yang mustahil jika kesungguhan yang maksima menjadi bekalan..

Menurut pandangannya, sikap memanjakan para pelajar atau diri sendiri akan melengah-lengah atau membantutkan proses penyediaan seorang Al-Hafiz… Rotan seharusnya ibarat makanan atau menjadi asakan untuk para huffaz…

Sayangnya masyarakat kini tidak rela merasakan sakit untuk mendapatkan manisnya… Jika ada yang tidak berkenan, mereka akan saman dan lain2..

“Kalau orang ada kitab pun takdok ilmu, macam mana la orang yang takdok kitab nak ada ilmu…” Simpul Ust Tuan Safuan ketika bebicara tentang sikap mahasiswa di bidang pengajian Islam…

Rata-rata mahasiswa hanya mendapatkan ringkasan kitab untuk ditelaah, bahkan ketika hampir peperiksaan yang ditatap adalah sukatan daripada beberpa muka surat sahaja daripada ringkasan itu.. Sedangkan kitabnya lansung tidak pernah disentuh apatah untuk dimiliki…

Terkedu seketika aku menyemak diri sendiri…

“Pelajar Usul (Usuluddin), kitab ulum hadith pun takdok, pelajar Syariah pun sama.. kitab Usul Fiqh pun takdok… Pahtu orang Tanya, mula tercari ustaz-ustaz…”.

Aduh!! Bicara itu begitu pedih untuk diterima, namun itulah realiti yang perlu dikoreksi kembali…

Ianya harus ditelan terima walaupun hatiku pernah menyalahkan system pendidikan yang bermatlamatkan peperiksaan, sijil dan pecahan cabang ilmu (kepada Usuluddin, Syariah, Dakwah dll.. apatah lagi ilmu-ilmu lain seperti sains, matematik dll yang semakin dijauhkan) membejatkan pertumbuhan generasi ilmuan….

Isyak itu kami berjemaah di rumahnya, menunaikan ajakannya makan malam seusai Isyak…

Tom Yam, budu, ulama dan lain-lain mengigatkan diri pada masakan mak di kampong.. Enak sungguh masakan ala kampung.. Sepanjang itu juga hati ini begitu tehibur menyaksikan keletah Maryam, si comel yang hampir 3 tahun usianya dan sesekali melayan kerenahnya, satu-satunya anak Ust Tuan Safuan yang ada… Jauh sudut hati ini merenung dalam ke wajah anak kecil itu yang baru kehilangan adiknya… Adiknya dijemput Ilahi setelah seminggu dikhitbahkan… Sekali lagi hatiku diasak pelbagai perasaan.. Sukar sekali untuk diterjemahkan…

Akhirnya kami mengundur diri kira-kira lewat jam 10 malam… Kembara hari ini begitu bermakna sekali untuk diri ini…

Sejak petang itu hinggalah malamnya bahkan tika saat ini, aku masih berusaha menelaah cinta agung yang pasti itu.. Cinta pada Mu ya Ilahi…

*Catatan perjalanan pada 14 April 2010 bersamaan 2 Jamadil Awal 1431H

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template