.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Khamis, 27 Ogos 2009

Cengkerang Boleh Ganti Tulang Manusia?!


Cengkerang kerang kini bukan lagi bahan terbuang malah ia boleh dimanfaatkan sebagai bahan pengganti tulang.

Ia dibuktikan oleh Jabatan Sains Praklinikal Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah berjaya menghasilkan bahan pengganti tulang daripada cengkerang kerang iaitu perencah bioseramik 3-D berliang yang pertama seumpamanya di dunia.

Ketua jabatan itu Profesor Madya Dr Md Zuki Abu Bakar berkata produk itu berfungsi untuk mengganti dan membaikpulih kecacatan tulang haiwan dan manusia akibat kemalangan atau penyakit seperti kanser serta boleh diaplikasikan dalam pembedahan kosmetik.

"Ia tidak toksik, boleh mereput semula jadi (biodegradable) dan boleh diacu dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut keperluan pesakit," katanya dalam sidang media di Serdang hari ini.

Beliau berkata kajian yang dijalankan sejak 2007 itu menggunakan cengkerang kerang sebagai bahan utama di samping bahan-bahan lain seperti gelatin dan air.

Dr Md Zuki menerangkan bahawa formula itu perlu disemai dan dieram dengan sel osteoblas yang didapati daripada sum sum tulang pesakit dan dicambah dalam makmal kultur tisu, sebelum ditanam ke dalam tulang yang ingin dibaikpulih.

"Berdasarkan eksperimen yang dijalankan terhadap tulang arnab, perencah ini berupaya membentuk tulang dengan cepat iaitu dalam masa tiga minggu sahaja.

"Ini suatu pencapaian yang membanggakan kerana berbanding kajian-kajian yang dijalankan sebelum ini dengan menggunakan bahan lain, seperti batu karang, masa yang diambil ialah dua hingga empat bulan," katanya.

Dr Md Zuki turut yakin bahawa perencah tersebut berpotensi untuk dipasarkan dalam industri perubatan kerana ia menggunakan bahan yang murah iaitu cengkerang kerang.

"Mengikut kajian kami, bagi rawatan tulang berukuran lima hingga enam sentimeter, harga bahan hanya RM 40 hingga RM 60 sahaja tidak termasuk kos pembedahan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata produk itu perlu menjalani ujian pra-klinikal iaitu diuji terhadap manusia.

"Kita masih belum dapat jalankan ujian klinikal kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi, jadi saya berharap ada pihak industri yang berminat untuk melabur dalam kajian ini," katanya.

Dr Md Zuki berkata produk itu telah dipatenkan di Malaysia dan kini dalam proses mendapatkan paten di peringkat antarabangsa. BERNAMA

sumber:http://www.malaysiakini.com/news/111527

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template