.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 31 Ogos 2009

Sehari Bersama Imam al-Ghazali


Hari itu, aku berjumpa al-Ghazali. Janggutnya panjang, renungan matanya tajam, badannya kurus, pipinya cengkung, kelibatnya agung sekali. Orang yang khalis, matanya tajam penuh bercahaya dek menjaga daripada melihat perkara yang mungkar, alangkah, jauhnya jika dibandingkan dengan aku. Badannya yang kurus dan pipinya yang cengkung tanda seorang yang suka berpuasa dan mendambakan diri sepenuhnya kepada dunia keilmuan. Siapa tidak kenal beliau, tulisannya merata di dunia ini.

“Semua orang mengenali tuan. Tulisan tuan yang sudah lama,namun masih relevan danmasih ditatap sehingga sekarang. Kata-kata tuan sungguh berisi dan bermakna, apa rahsianya?” aku bertanya sekadar inginkan kepastian.

Beliau kulihat menundukkan kepala, beristighfar seketika, tanda merendah diri dan tawadahu’ seorang alim yang wara’. Alim itu tanda orang yang menguasai ilmu dalam kepala dan ingatannya. Faqih itu tanda orang hikmah yan memahami secara isi dalam, bukan sahaja kulit luar. Wara’ itu tanda orang yang menjauhi perkara syubhat apa lagi perkara haram. Zuhud itu tanda orang yang memalingkan keinginannya daripada keduniaan yang mencengkam. Tawadhu’ itu tanda orang yang sentiasa sedar dirinya hanya dari air mani yang hina, tidak lebih dari itu. Abid itu tanda orang yang selera dan ghairah beribadat serta sentiasa tenggelam dalam kerinduan bercinta dengan Tuhan Yang Maha Pengasih. Mukhlis itu tandaornag yang mengejar akhirat sehingga terlupa dunia. Semua itu ada pada a-Ghazali, yang membuatkan seluruh dunia jatuh segan dengan peribadi beliau.

“Aku mengenali Allah sebagai Tuhanku, lalu aku mengembara dalam mencari rahsia hidup yang sebenar, sehingga aku mengerti, bahawa dunia ini hanyalah fatamorgana,” balasnya sedikit sedangkan air matanya kelihatan mengalis membasahi pipinya.

Alangkah, apakah aku mengenali Allah? Persoalan itu kian membuatkan nafas aku termengah-mengah, aku terduduk. Apakah aku mengenali Allah sebagaimana al-Ghazali mengenali zat-Nya yang Maha Quddus? Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai pemberi pahala dan dosa, bukannya Tuhan yang harus kucinta? Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai Tuhan yang memiliki syurga dan neraka sedangkan aku terlupa Allah sebagai Tuhan yang harus kurindu sepanjang masa?

“Dan barangsiapa mengharapkan pertemuan yang baik dengan Tuhannya kelak, maka hendaklah ia beramal soleh dan jangan ia mensyirikkan-Nya dengan segala sesuatu” (Al-Kahfi)

“Apakah tanda orang yang tawadhu’ itu tuan?” aku bertanya lagi ingin mendapatkan kepastian.

“Wahai anak muda, tidakkah engkau memerhatikan kalam Ibn ‘Ataillah? Tanamlah kewujudan dirimu dalam bumi yang terpencil, maka sesungguhnya sesuatu yang tidak ditanam, maka tidak sempurna natijahnya”, al-Ghazali sekali membuatkan aku terkedu. Menanam kewujudan diri, agar tidak gila mencari kemasyhuran, tidak gila ingin mendapat harta dan pangkat, tidak gila namanya disebut-sebut. Ya,barangsiapa mengejar dunia, dunia akan mendatanginya sedangkan akhirat menjauhkan diri. Barangsiapa mengejar akhirat, maka akhirat dan dunia, kedua-duanya akan berlari mendapatkannya.

“Bagaimana pula dengan orang yang khauf?”. Al-Ghazali sekali lagi menundukkan kepala, lalu ia menangis teresak-esak. Tangisannya semakin lama semakin membingit, semakin banyak air mata yang tumpak dan bahunya terangkat-angkat menahan sebak. Aku panik dibuatnya, tetapi inilah realiti orang yang soleh, sentiasa takut dengan janji-janji azab dari Allah. Mereka mengerti Allah Maha Pengampun,tetapi mereka juga sangat memahami bahawa seksaan Tuhan amatlah perit tidak tertanggung.
“Anakku, Ibn Mas’ud menyebut, orang mukmin melihat dirinya yang berdosa seperti ia berada di bawah bukit, takut bukit itu akanmenimpa dirinya. Sedangkan orang munafiq melihat dosanya seperti lalat yang singgah di hidung”. Aku tergamam mendengarnya. Aku semakin takut, kerana aku sedar dosaku bertimbun banyaknya. Dosaku jika dibandingkan dengan al-Ghazali, ibarat lautan dengan setetes air. Neraka itu semakin menghampiriku, sedangkan bau syurga semakin menipis.

Al-Ghazali itu benar-benar orang yang berilmu dan bijaksana, alim serta soleh. Ia tidak perlu berbicara untuk mendidik orang,kerana cukuplah peribadinya mendidik dan mengasuh orang agar tunduk kepada ajaran agama. Nurul Ilmi,cahaya ilmu itu perlu kepada ‘Ainul Yaqin, iaitu keyakinan yang turut berpaksikan ‘Ainul Basirah. Apabila ‘Ainul Basirah diasah dari semasa ke semasa, takhalli daripada perbuatan yang menjauhkan diri daripada Allah, tahalli dengan amal mahmudah disusuli dengan tajalli, maka akan lahirlah Haqqul Yaqin ataupun ‘Ainul Haqqi.

Allah berkata kepada Daud, “Hai Daud, kenalilah Aku dan kenal pulalah dirimu”. Maka Daud bermunajat, kata baginda, “Wahai Tuhanku, aku kenal Engkau dengan sifat keesaan-Mu, kekuatan yang Maha Agung dan hidup yang kekal terus-menerus yang tidak ada batasnya, dan aku kenal diriku dengan kedhaifannya, kelemahannya dan tidak kekal”.

Seseorang bertanyakan Abu Bakar, “Dengan apa engkau mengenali Tuhanmu?”. Abu Bakar menjawab, “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku, dan jika bukan kerana Tuha, nescaya aku tidak mengenali Tuhanku”.

Yang hanya meletakkan Allah di hati namanya fana’. Allah berfirman di dalam Surah Al-Rahman, “Segala sesuatu akan binasa. Dan kekallah Tuhan yang memiliki ketinggian dan kemuliaan”. Rintih munajat turut mendendangkan, Hasbi Rabbi jallaLlah, ma fi qalbi ghairuLlah.

Yang membulatkan ingatan dan perasaan kepada Allah namanya Baqa’. Yang mabuk dalam cinta kepada Allah namanya Sakr. Apakah engkau tidak memerhatikan seseorang ang mabuk bercinta dengan kekasihnya, tidurnya tidak tenang, perilakunya gelisah, apabila mendengar sesuatu yang buruk menimpa kekasihnya, ia akan menjadi sangat resah?

Itu baru percintaan dengan makhluk,sedangkan al-Ghazali tenggelam dalam percintaan dengan Khaliq yang kaya dengan erti cinta. Ia sering dikejar rasa resah kerana teringatkan dosanya yang senipisdebu sedangkan kita tidak tergugah langsung dengan dosa kita yang membukit. Al-Ghazali sering diburu rasa rindu dengan syurga Allah sehingga membuatkkannya tidak tenang jika masanya tidak terisi dengan amal ibadat dan zikir yang berpanjangan.

Syair ada menyebut, dan aku dapat merasakan syair itu ada kaitan yang sangat erat dengan peribadi dan akhlak al-Ghazali,

“Aku tidak ingin pakai baju selain Engkau memakaikan kepadaku,
Aku tidak menerima dunia jika selain Engkau yang memberikannya”

Oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4553.0

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template