.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 14 September 2009

Ucapan Sulung Pengerusi NAS



الحمد الله رب العالمين وبه نستعين وصلاة وسلام على نبينا محمد صلى الله عليه وسلام وعلى آله وصحبه أجمعين ، قال رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري وحلل عقدة من لسان يفكه قولي ، فإن أصدق الحديث كتاب الله وخير الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلام وشر الأمور محدثتها وكل محدثة بضعة وكل بضعة ضلالة وكل ضلالة فى النار ، أو كما قال ، أما بعد..

Firman Allah S.W.T yang bermaksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah At-Taubah : Ayat 71)

Yang mulia saudara pengerusi majlis, yang diraikan YBrs Timb. Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Zakaria @ Mahmood bin Daud selaku perasmi majlis pelancaran kelab mahasiswa Jabatan Al-Syariah, Nadi Al-Syariah (NAS), juga YBrs Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar, Dr. Hilalludin bin Abdullah, YBrs Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Yaacob bin Yusoff, Ketua Jabatan Al-Syariah, Ustaz Hamidi bin Abdul Ghani, ketua-ketua jabatan, Penyelaras kelab mahasiswa Jabatan Al-Syariah, Nadi Al-Syariah, Ustaz Zulqarnain Hassan, pensyarah-pensyarah Jabatan Al-Syariah KIAS, barisan sahabat pimpinan yang baru sahaja menerima amanah, mahasiswa dan mahasiswi, muslimin dan muslimat, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah SWT.

Untuk pertamanya,saya menyeru kepada diri saya dan diri hadirin hadirat sekalian untuk bersama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dan memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur kita kepada Allah SWT kerana masih lagi memberikan kepada kita kesempatan untuk bersama-sama meneruskan kehidupan kita sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi-Nya dan juga masih lagi mengizinkan kita dengan kehendakNya untuk mendiami perkampungan Ramadhan yang penuh barakah walaupun kini kita semakin menghampiri penghujungnya.

Pada hari ini, ketika saat dan waktu ini, tercatatlah sudah suatu sejarah yang cukup bermakna sekali bagi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan seluruh isinya dengan pelancaran kelab mahasiswa Jabatan Al-Syariah, Nadi Al-Syariah (NAS) yang menjadi salah satu wasilah kepada mahasiswa dan mahasiswi Jabatan Al-Syariah di KIAS bagi melibatkan diri dalam dunia berpersatuan atau kepimpinan sebagai suatu penerusan dan batu ujian yang perlu dilalui untuk mempersiapkan diri mahasiswa dan mahasiswi dalam mendepani arus dunia kepimpinan yang kian mencabar seterusnya sebagai mata rantai penyambung gerak kerja dakwah Rasulullah SAW.

Khalifah Saidina Umar al-Khatab yang cukup terkenal dengan ketegasannya pernah dalam ucapan sulungnya setelah dilantik menjadi khalifah berkata : Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.

Ungkapan hikmah khalifah agung ini seharusnya kita teliti bersama betapa jawatan adalah suatu amanah yang begitu besar dan berat sekali. Tiada apa yang membanggakan seseorang pemimpin itu melainkan hanyalah akan dipersoalkan kelak akan kepimpinan-Nya di hadapan Rabbul Izati sebagaimana hadith yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan akan kepimpinan kamu….”


Hadirin dan hadirat sekalian,

Kata-kata Khalifah Saidina Umar al-Khatab yang saya ketengahkan di awal ucapan sebentar tadi juga turut menjelaskan kepada akan peri pentingnya ketelusan dan kejujuran dalam kepimpinan. Malahan turut juga ditekankan bahwa betapa besarnya peranan seorang ahli terhadap sesebuah kepimpinan mahupun organisasi.

Khalifah Saidina Umar al-Khatab juga pernah menukilkan kepada kita akan pentingannya kesatuan dalam mendokong Islam sebagaimana katanya di dalam Manhaj Daurah Tadbiriyah yang berbunyi:

“Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan,dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan,”

Nyatalah di sini bahawa sokongan mahupun dokongan jemaah atau kelompok manusia menjadi tonggak kepada Islam, pun begitu jemaah hendaklah dibentuk melalui kepimpinan atau dengan kata lainnya iaitu melalui pembentukkan sebuah organisasi dan seterusnya kemuncak bagi penjanaan sesebuah organisasi adalah ketaatan kepada pemimpin. Keempat-empat elemen ini amatlah berkait dan memainkan peranan penting dalam memastikan objektif penubuhan Nadi Al-Syariah (NAS) yang telah digariskan tercapai.

Penubuhan Nadi al-Syariah ini seharusnya dijadikan peluang untuk mahasiswa dan mahasiswi jabatan ini bagi menjadikannya sebagai platform ke arah melicinkan gerak kerja akademik di samping membuka ruang kepada penganjuran pelbagai program baik di peringkat jabatan mahupun masyarakat umumnya.

Mahasiswa dan mahasiswi sekalian,

Sebenarnya tiada apa yang mustahil dalam kita merealisasikannya dengan kesatuan kemampuan yang kita punyai. Ketahuilah wahai para pemuda pemudi Islam, bahawa dalam sejarah kebangkitan bangsa-bangsa, pemuda pemudi selalu memiliki peranan yang besar dan strategik, kerana untuk menuju kebangkitan bangsa diperlukan daya kekuatan berupa keyakinan yang kuat, ketulusan, semangat yang jujur, kesungguhan dalam kerja dan pengorbanan.

Dalam hal ini pemuda - pemudilah yang berpotensi untuk itu, kerana pemuda adalah simbol hati yang masih jernih sehingga memiliki keyakinan dan iman yang kuat, kejujuran yang memungkinkan untuk memiliki ketulusan dan keikhlasan dalam beramal, serta semangat yang menggebu yang memungkinkan untuk beramal dengan sungguh-sungguh dan penuh dengan pengorbanan.

Justeru itu, saya menyeru kepada mahasiswa dan mahasiswi sekalian, marilah sama-sama kita mendokong Nadi al-Syariah ini dalam merealisasikan penubuhannya dengan kita mencurahkan setiap sudut kemampuan yang dianugerahkan kepada kita untuk dihamparkan dan dimanafaatkan bagi memantapkan Nadi al-Syariah seterusnya demi agama Allah SWT yang tercinta.

Sebelum saya melabuhkan kalam, saya sebagaimana yang telah ditaklifkan sebagai Pengerusi Nadi al-Syariah dengan rasa rendah diri dan kerdilnya untuk memikul tanggungjawab ini, mewakili seluruh Jawatankuasa Nadi Al-Syariah merafakkan ucapan penghargaan kepada pihak Jabatan al-Syariah di atas kepercayaan dengan amanah yang diberikan ini.

Sekian, akhir kalam. Saya sudahi dengan lafaz

وبالله التوفيق والهداية واسلام عليكم ورحمة وبركاته




Pengerusi

Nadi Al-Syariah (NAS)
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template