.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Khamis, 19 November 2009

Laporan Jawatankuasa Ad Hoc Siasatan Tragedi Kuala Dipang



Laporan Tragedi Kuala Dipang


Latar Belakang Program Kem 1Malaysia

Kem 1Malaysia dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan mewujudkan perpaduan dikalangan murid-murid sekolah rendah. Program ini ditujukan kepada murid-murid darjah 6. Murid-murid daripada pelbagai kaum ditempatkan di dalam satu kem. Ia bertujuan mengujudkan intergrasi dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang diatur seperti ‘team building’ acara kebudayaan, permainan, pemasakan dan sebagainya.

Kem 1Malaysia ini adalah hasil usaha Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, program ini adalah bertujuan untuk menerapkan 8 nilai 1Malaysia kepada murid-murid yang mengambil bahagian dalam kem tersebut. Kenyataan beliau jelas membuktikan bahawa program ini mempunyai matlamat politik yang diselitkan dalam agenda pendidikan. Dalam kata lain, Kem 1Malaysia ini sebenarnya adalah ‘politically motivated’ dengan tujuan mempengaruhi kanak-kanak sekolah rendah dari awal-awal lagi.

Tragedi jambatan (titi gantung) di Kuala Dipang runtuh pada hari Isnin, 26 Oktober 2009. Kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 10.30 malam. Titi ini dibina di atas Sungai Kampar di Kuala Dipang. Ia dibina untuk kegunaan Pusat Ko-Kolurikulan bagi tujuan latihan dan perkhemahan yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran.

Pada 28 Oktober 2009, Seramai 298 orang murid telah mengambil bahagian dalam ‘Kem 1Malaysia’ yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini dianjurkan di semua daerah di seluruh Malaysia pada masa yang berlainan.

Pada mulanya program di Kuala Dipang hendak dilaksanakan pada bulan ogos 2009. Tetapi ianya ditunda kerana H1N1. PPD Kinta Selatan adalah antara daerah yang terakhir menganjurkan Kem 1Malaysia ini di Perak. Ini merupakan projek anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Peruntukan juga disediakan oleh kerajaan pusat.

Pada asasnya, program ini ditujukan kepada 300 orang murid sekolah rendah iaitu 100 (Melayu), 100 (Cina) dan 100 (India). Di Daerah Kinta Selatan terdapat 65 sekolah rendah. Daripada jumlah itu 64 sekolah telah mengambil bahagian dalam Kem 1Malaysia, iaitu 34 Sekolah Kebangsaan, 22 Sekolah Cina dan 9 Sekolah Tamil.

Program Kem 1Malaysia ini dikendalikan di tapak yang diselia oleh PPD Kinta Selatan. Pihak JPS memberi kebenaran kepada PPD Kinta Selatan untuk mengunakan tapak tersebut bagi aktiviti-aktiviti ko-kurikulam dan latihan lasak. Daripada hasil siasatan didapati bahawa, Pusat Ko-Kurikulam, Jabatan Pelajaran Perak yang bertanggungjawab dalam membina jambatan tersebut.

Peristiwa Kejadian Jambatan Runtuh

Murid-murid ini telah melaporkan diri pada waktu tengahari di Kem 1Malaysia. Program ini diaturkan untuk 4 hari 3 malam.

Pada hari pertama, iaitu lebih kurang jam 2.15 petang hingga 4.30 petang ialah sesi pendaftaran dan taklimat dibuat untuk murid-murid yang mengambil bahagian. Pada waktu malam program ‘pecah bendungan’ telah dijalankan. Lebih kurang jam 10.00 malam, pelajar-pelajar diminta untuk mengambil makanan yang disediakan (supper) di seberang sungai. Murid-murid telah menyeberang sungai dari tapak perkhemahan menaiki jambatan tersebut yang baru siap dibina lebih kurang dua minggu . Beberapa orang murid tidak membawa pinggan dan cawan. Oleh itu, mereka terpaksa pergi kembali ke khemah masing-masing untuk mendapatkannya. Mereka juga menaiki jambatan yang sama pada waktu itu. Maka wujudnya kesesakan dan ‘two way traffic’ di jambatan tersebut yang mengakibatkan jumlah murid-murid yang terlalu ramai menggunakan jambatan pada masa yang sama. Ada kedengaran bunyi simen konkrit pecah sedikit demi sedikit sehingga tiba-tiba mengakibatkan jambatan itu runtuh secara mendadak pada ketika itu. Kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai berteriak meminta pertolongan daripada kawan-kawan yang lain. Beberapa murid yang lain bertaut dan bergayut di dawai jambatan berkenaan bagi menyelamatkan diri dari arus deras.

Pada masa itu, semua guru-guru sedang menghadiri taklimat di padang sekolah SK Kuala Dipang. Hanya beberapa orang guru (tidak lebih daripada 5 orang) ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak pada masa itu. Apabila jambatan runtuh, semua guru-guru telah bergegas ke tempat kejadian. Insiden itu juga diperhatikan oleh murid-murid yang lain. Situasi menjadi kucar-kacir dan kelam-kabut kerana beberapa orang murid didapati telah jatuh ke dalam sungai. Bilangan sebenar yang jatuh ke dalam sungai tidak dapat dipastikan. Dianggarkan 20 hingga 30 orang murid telah jatuh ke dalam sungai pada masa itu. Beberapa orang murid telah berjaya untuk menyelamatkan diri.

Lapan orang murid diselamatkan oleh 2 orang anggota pengawal keselamatan sekolah yang turun ke dalam sungai untuk memberi bantuan. Jawatankuasa juga difahamkan bahawa beberapa orang guru juga turut membantu menyelamatkan kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai.

Pada hari biasa, sungai itu dikatakan cetek dan alirannya tidak deras. Tetapi pada hari itu, oleh kerana hujan yang lebat, maka paras air sungai telah meningkat dan alirannya juga amat deras.

Selepas itu, anggota-anggota keselamatan Polis, Bomba dan kesihatan telah tiba ke tempat kejadian untuk memberi bantuan. Ibubapa kanak-kanak telah dihubungi oleh pihak penganjur untuk memberitahu kejadian tersebut. Tempat kejadian dipenuhi dengan orang ramai termasuk anggota keluarga murid-murid. Usaha-usaha mencari mangsa dijalankan oleh pihak berkuasa. Pada malam itu dikatakan seramai 22 orang murid telah hilang. Walau bagaimanapun, kepastian telah dibuat pada hari berikutnya bahawa hanya 3 murid yang telah menjadi mangsa.

Tragedi ini telah menelan nyawa 3 orang kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka ini ialah seperti berikut :

1) V.Divyashree (12)

2) N.Dina Deve (11)

3) M Devatharshini (11)

V.Divyashree

Umur – 12 tahun

Nama Bapa – K.Vasudevan

Nama Ibu – R.Kanakam

Merupakan anak sulung.

Mempunyai dua orang adik perempuan

Rumah di Gopeng.

Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tamil (SRJK) Gopeng.

Merupakan seorang murid yang aktif yang pernah mendapat pingat dalam kuiz dan aktiviti-aktiviti yang lain.

Merupakan seorang pelajar cemerlang yang mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Mayatnya dijumpai di Tronoh Mines pada jam 10.30 pagi, 29/11/2009 oleh anggota RELA.

N.Dina Deve

Umur – 11 tahun

Nama Bapa – T.Nathan (45)

Nama Ibu – S.Mogana

Mempunyai seorang abang berumur 17 tahun dan seorang adik lelaki berumur 9 tahun.

Rumah di Mambang Diawan

Bersekolah di SJK Tamil Mambang Diawan

Merupakan seorang yang aktif dan suka mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sukan dan ko-kurikulum.

Murid cemerlang yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Mayatnya dijumpai lebih kurang 1.5 km daripada tempat kejadian pada jam 9.00 pagi, 27 Oktober 2009 oleh anggota Unit Amal PAS.

Dikebumikan di tanah perkuburan Hindu di Kampar.

M. Devatharsini

Umur – 11 tahun

Nama bapa – K.Mageswaran

Nama Ibu - Nagarathna

Merupakan anak yang keempat dalam keluaga itu.

Merupakan satu-satunya anak perempuan.

Mempunyai 4 orang adik beradik yang lain yang berumur 17 tahun, 15 tahun, 12 tahun dan 4 tahun.

Merupakan seorang murid cemerlang dan bercita-cita untuk menjadi seorang doctor.

Mayatnya dijumpai di Tanjung Tualang lebih kurang jam 11.30 malam pada 28 Oktober 2009 oleh anggota RELA.

T. Nathan (45)

Beliau adalah ayah kepada N. Dina Deve.

Beliau amat terkejut dan tidak boleh menerima hakikat tentang berita kematian anaknya. Beliau tidak makan apa-apa setelah mayat anaknya dijumpai. Akhirnya ini mengakibatkan beliau tidak sedar diri dan mendapat rawatan menambah beberapa botol air di rumahnya di Mambang Diawan.

Beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadian berlaku.

K.Mageswaran (46)

Beliau adalah ayah kepada M.Devatharsini.

Merupakan seorang yang menghadapi masalah kesihatan iaitu sakit jantung dan kencing manis.

Menurutnya, kali terakhir beliau melihat anaknya ialah ketika dia melambai tangan mengucapkan selamat tinggal di hadapan rumahnya dengan menaiki basikal untuk pergi ke Kem 1Malaysia. Katanya lagi, basikal anaknya itu ditinggalkan di sekolah sebelum dia dibawa ke Kem 1Malaysia oleh pihak penganjur. Anaknya merupakan kawan karib kepada seorang mangsa yang lain, Dina Deve sejak kecil lagi.

Beliau telah dihubungi oleh kawannya lebih kurang jam 12.00 malam untuk memberitahu kejadian jambatan runtuh dan terus bergegas ke tempat kejadian. Apabila sampai di situ, beliau nampak pihak bomba, polis dan ambulans sudah pun berada di tempat kajadian. Beliau rasa amat kecewa kerana pihak penganjur tidak menghubungi keluaganya dengan serta merta apabila kejadian berlaku. Dia mengesahkan mendapat maklumat daripada pihak ketiga dan bukannya daripada penganjur. Beliau juga mengaku bahawa dia tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai program dan tapak Kem 1Malaysia. Beliau juga tidak menandatangani apa-apa surat kebenaran.

Anaknya hanya diminta untuk menghadiri program Kem 1Malaysia pada hari tersebut. Ini adalah kerana pihak sekolah tidak mencukupi bilangan murid darjah 6 untuk menghadiri program tersebut.

Dalam siasatan awam, beliau ada menegaskan bahawa khemah-khemah telah dibuka sebaik sahaja kejadian itu berlaku. Pada pagi esoknya, tidak lagi nampak khemah-khemah yang dipasang di seberang sungai ditempat tapak perkhemahan.

Anaknya yang lain bernama Sarveswaran (12) juga mengambil bahagian dalam Kem 1Malaysia di Kuala Dipang. Sarveswaran telah memerhatikan semua insiden yang berlaku di tempat kejadian. Sarveswaran memberitahu bahawa pada mulanya terdapat kawalan untuk menaiki jambatan tersebut. Murid-murid dibenarkan menaiki jambatan secara bergilir-gilir. Kemudian tidak ada sebarang kawalan sewaktu kejadian itu berlaku. Menurut Sarveswaran lagi, semua guru-guru bermesyuarat ketika kejadian itu berlaku. Hanya beberapa orang guru berada di luar untuk menjaga kanak-kanak.

Nagarathna (41)

Beliau adalah ibu kepada M.Devatharshini.

Mengaku tidak menandatangani apa-apa borang memberi kebenaran kepada anaknya mengambil bahagian dalam Kem 1Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa kedua-dua ibubapa langsung tidak mengetahui tentang adanya sungai di tempat Kem 1Malaysia.

Beliau tidak akan bersetuju untuk menghantar anaknya jika beliau mengetahui wujudnya bahaya sungai di tempat kejadian itu.

Beliau menjangkakan bahawa program ini diadakan di bangunan sekolah tanpa sebarang bahaya.

Beliau tidak diberitahu oleh pihak penganjur mengenai tempat Kem 1Malaysia diadakan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilangsungkan.

Beliau mengadu bahawa tapak perkhemahan dalam keadaan gelap dan tidak ada ‘spotlight’ di tempat kejadian.

K.Vasudevan (43)

Beliau adalah ayah kepada V.Divyashree

Beliau dan isterinya hanya melihat anaknya pada hari kedua Deepavali kerana mereka bekerja di Kuala Kumpur.

Merupakan seorang juruteknik .

Beliau merancang untuk membawa keluarganya pindah ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

R.Kanakam (41)

Beliau adalah ibu kepada V.Divyashree.

Beliau tidak puas hati dengan layanan diterima daripada pihak penganjur apabila mereka menghubunginya untuk memberitahu kejadian.

Pada masa kejadian itu, kedua-dua mereka berada di Kuala Lumpur.

Mendapat panggilan telefon pada jam 1.30 pagi (27 Oktober 2009). Mereka berdua bergegas ke tempat kejadian dan sampai ke situ pada jam 3.30 pagi.

Mereka tidak diberitahu bahawa anaknya telah jatuh ke dalam sungai.

Beliau tidak bersetuju dengan pihak penganjur yang meminta ibubapa menandatangani borang mengikuti program ‘disclaimer’ dan lari daripada tanggungjawab.

Tujuan Jawatankuasa Ad Hoc Siasatan Tragedi Kuala Dipang

Laporan yang dibuat mestilah oleh pihak yang neutral tanpa penglibatan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan secara langsung atau pun tidak langung dalam projek ini.

Laporan yang lengkap mesti dibuat dengan segera dan secara mendalam dengan mengambil kira semua perkara-perkara yang berkaitan dengan tragedi ini.

Tragedi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia telah meragut 3 nyawa kanak-kanak. Ia perlu disiasat secara terperinci untuk mengetahui punca keruntuhan yang sebenar. Dengan itu, pihak-pihak yang terlibat dalam pembinaan jambatan tersebut boleh dibawa ke muka pengadilan.

Laporan siasatan mestilah diumumkan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa melindungi apa-apa perkara material atau dengan tujuan melindungi mana-mana pihak yang terlibat. Nama-nama orang yang terlibat seharusnya disiarkan untuk pengetahuan umum. Ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak cuai di masa hadapan terutamanya apabila membuat projek-projek yang melibatkan kanak-kanak.

Anggota Jawatankuasa Ad Hoc Siasatan Tragedi Kuala Dipang :

1) YB V.Sivakumar (ADUN Tronoh) – Pengerusi

2) YB Thomas Su (ADUN Pasir Pinji) - Ahli

3) YB Chang Lih Kang (ADUN Teja)- Ahli

4)YB Drs Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) - Ahli

Methodologi Siasatan

1) Melawat tapak kejadian dibuat oleh Jawatankuasa bersama-sama dengan pihak media.

2) Melawat dan bertemu dengan pihak Majlis Daerah Kampar

3) Melawat Pejabat Tanah dan Daerah dan bertemu dengan Pegawai Daerah Kampar.

4) Melawat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan, bertemu dengan Pengarah PPD Kinta Selatan.

5) Melawat Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Perak, bertemu dengan Pengarah JPS Perak.

6) Menyiasat di Pusat Ko-kurikulam, Jabatan Pelajaran Negeri Perak di Pulau Pangkor.

7) Bertemu dan mendapatkan maklmat lengkap dengan ketiga-tiga keluarga mangsa.

8) Melawat tapak kejadian bersama jurutera pakar struktur.

9) Membuat survey tanah dengan tenaga pakar jurukur tanah yang bertauliah.

10) Membuat ujian tanah ‘soil test’

11) Membuat siasatan awam di Hotel Grand Kampar untuk memberi peluang kepada orang ramai memberi maklumat tambahan dan cadangan-cadangan berkaitan.

12) Membuat laporan secara progresif hasil siasatan dari masa ke semasa melalui media.


Kelemahan Dari Segi Keselamatan


1) Tidak cukup kakitangan untuk menyelia dan menjaga keselamatan murid-murid yang mengambil bahagian dalam Kem 1Malaysia di Kuala Dipang. Hanya 23 orang guru bertugas pada hari kejadian tersebut untuk menguruskan 298 orang murid. Bilangan guru adalah terlalu sedikit untuk menjaga keselamatan sejumlah murid yang besar di tempat yang tidak selamat. Secara logiknya bererti sejumlah 13 oang dijaga oleh seorang guru dan ini menunjukkan satu penyeliaan yang agak besar oleh seorang guru dan boleh membawa pelbagai resiko.

2) Pada masa kejadian itu berlaku, kawasan itu gelap gelita. Tidak ada ‘spotlight’ dipasang untuk keselamatan. Ini merupakan satu lagi kecuaian pihak penganjur yang tidak mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk menjamin keselamatan kanak-kanak. Ini juga merupakan satu daripada punca kematian 3 orang kanak-kanak yang tidak dapat dilihat dengan jelas apabila mereka lemas dan dihanyutkan. Jika terdapat ‘spotlight’ cerah yang dipasang di tempat kejadian, mungkin ketiga-tiga murid itu juga telah dapat diselamatkan.

3)Tidak ada seliaan atau kawalan yang baik di jambatan itu oleh pihak penganjur. Penggunaan jambatan itu mestilah diseliakan dengan menentukan kapasiti iaitu bilangan murid yang boleh menaikinya pada satu ketika. Ia sepatutnya diselia dengan cukup teliti pada setiap masa. Kawalan yang ketat seharusnya dibuat untuk murid-murid yang menaiki jambatan. Sekurang-kurangnya seorang penyelia seharusnya ditempatkan di situ untuk memastikan murid-murid tidak menaiki jambatan itu secara beramai-ramai atau berebut-rebut di atasnya.

4)Program ini diatur secara tergesa-gesa. Perancangan yang baik tidak dibuat dan nampaknya seperti satu projek paksaan yang mendesak pihak-pihak tertentu untuk mengadakan program ini dengan segera sebelum hujung tahun untuk menghabiskan perutukan projek ini. Dalam keadaan kesuntukkan masa, satu perancangan rapi tidak dibuat untuk menjaga keselamatan murid-murid yang mengambil bahagian.

5)Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam Kem 1Malaysia Kuala Dipang tidak diberi ‘life jacket’ untuk keselamatan. Ia ada disimpan di tempat kejadian tetapi tidak diberikan kepada kanak-kanak tersebut. Hanya apabila jambatan runtuh, ‘life jacket’ dibawa keluar dan dicampak ke arah kanak-kanak yang terjatuh ke dalam sungai.

6)Guru-guru didapati tidak terlatih untuk mengendalikan kem-kem seperti ini. Mereka bukanlah pakar untuk mengendalikannya. Dalam keadaan cemas, mereka terbukti tidak tahu dan tidak boleh bertindak dengan serta merta. Adalah wajar untuk menggunakan tenaga terlatih untuk menganjur dan menyelia program-program seperti ini.

7) Tidak ada doktor yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program Kem 1Malaysia. Sedangkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini boleh berlaku seperti jatuh sakit, tercedera, lemas, digigit serangga atau dipatuk ular.

8) Tidak ada anggota keselamatan seperti Bomba ditugaskan di tempat Kem 1Malaysia. Bot-bot keselamatan seharusnya telah ditempatkan di sungai tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif.

9) Bot-bot bomba juga tidak dilengkapkan dengan alat lampu yang sesuai. Pegawai-pegawai bomba menggunakan lampu suluh untuk mencari mangsa di sungai. Ini juga satu bentuk kecuaian dan tidak menepati standard keselamatan yang meyakinkan.

10) Bantuan Pertolongan Kecemasan (First Aid) tidak disediakan. Program Kem 1Malaysia yang dianjurkan secara besar-besaran tetapi penyediaan bantuan kecemasan tidak diberi keutamaan. Pihak Bulan Sabit Merah atau St John Ambulan Malaysia sepatutnya ditempatkan di situ dari mula hingga akhir program. Tetapi pihak penganjur telah mengabaikannya. Ini juga menampakkan kecuaian pihak penganjur.


Cadangan-cadangan Jawatankuasa


1) Memberhentikan semua projek Kem 1Malaysia dengan serta merta sehingga masalah kes ini diselesaikan dan isu keselamatan boleh ditangani.

2) Projek Kem 1Malaysia untuk pelajar-pelajar sekolah hanya boleh diadakan jika pihak penganjur boleh menanggung semua liabiliti. Selagi, pihak penganjur tidak berani untuk menanggung risiko, pihak ibubapa juga berhak untuk tidak mengambil risiko untuk menghantar anak-anak mereka mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti yang bahaya.

3) Tidak memasukkan klausa ‘disclaimer’ dalam borang keizinan/kebenaran ibubapa untuk mnghantar anak-anak mereka mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang bahaya.

4) Menutup Pusat Latihan Ko-Kurikulum Kuala Dipang dengan serta-merta dan tidak membuka semula di masa hadapan.

5) Membayar pampasan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa. (Jumlahnya akan ditentukan oleh peguam keluarga mangsa)

6) Semua pihak yang terlibat dalam pembinaan jambatan secara cuai dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum secara setimpal.

7) Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih berhati-hati dan menguatkuasakan undung-undang terhadap semua aktiviti-aktiviti pembinaan haram yang melibatkan projek kerajaan.

8) Keselamatan harus diberi keutamaan apabila menganjurkan apa-apa program yang melibatkan orang ramai terutamanya kanak-kanak.

9) Program seperti ini perlu dilaksanakan oleh tenaga pakar yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman aktiviti lasak seperti Angkatan Tentera dan Pihak Bomba.

10) Perlukan kawalan yang lebih rapi kerana ia melibatkan jumlah pelajar yang ramai. Gerak geri setiap murid yang dibawa untuk program seperti ini perlu diberi perhatian yang secukupnya. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa perhatian kerana mereka masih kanak-kanak dan memerlukan panduan dan tunjuk ajar daripada orang dewasa.

11)Diminta supaya pihak SPRM menyiasat kes ini dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang niat untuk menutup kes atau menyelamatkan mana-mana pihak yang terlibat. Kewibawaan SPRM sekali lagi akan diuji oleh rakyat Malaysia kerana terdapat bukti-bukti yang kukuh penyelewengan dalam pembinaan jambatan atau titi gantung ini.

12)Memberi ruang kepada pihak Pakatan Rakyat untuk membawa usul tergempar mengenai tragedi Kuala Dipang di persidangan Dewan Rakyat kerana perkara ini merupakan isu kepentingan awam dan ianya perlu disegerakan. Usul perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dalam persidangan yang berlangsung secepat yang mungkin.

13) Diminta supaya pihak media tidak memutar belitkan fakta berkaitan dengan insiden ini. Liputan yang sewajarnya perlu diberi untuk membolehkan keluarga mangsa mendapat keadilan yang sewajarnya. Tambahan pula, sebarang usaha untuk melemahkan kes ini, ataupun menimbulkan isu-isu yang boleh memesongkan tumpuan perlu dihentikan dengan segera. Media diminta untuk melaporkan maklumat ataupun fakta-fakta yang benar. Contohnya, Utusan Malaysia melaporkan bahawa kejadian itu berlaku akibat kesalahan pelajar itu sendiri kononnya seperti yang dilaporkan “ budak-budak mengoyang dan mengenjut jambatan tersebut” (Utusan Malaysia 28 Okt). Ada juga akhbar yang menuduh ibubapa mengugut guru-guru.

14)Diminta supaya pihak Kementerian dan Jabatan Pelajaran menyelaraskan dan menyesuaikan semua borang-borang berkaitan dengan program atau aktiviti-aktiviti yang dijalankan dibawah penyeliaan mereka. Adalah tidak wajar untuk membenarkan pihak sekolah untuk membuat borang mereka sendiri untuk memastikan keseragaman dan tidak menimbulkan isu-isu yang kontroversial.

15) Ibubapa harus diberi penjelasan dan maklumat yang lengkap sebelum sesuatu aktiviti dijalankan di luar kawasan sekolah. Mereka harus mengetahui matlamat program, dimana ianya dijalankan, aspek keselamatan dan lain-lain lagi. Ibubapa seharusnya diberi kebebasan yang sepenuhnya untuk menentukan samada mereka membenarkan anak mereka mengambil bahagian atau pun tidak. Pihak sekolah tidak boleh menggunakan sebarang ugutan terhadap anak murid atau pun ibubapa untuk memaksa mereka mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang dijalankan di luar kawasan sekolah masing-masing.

16)Memastikan segala kemudahan asas disediakan sebelum apa-apa aktiviti dijalankan untuk murid-murid sekolah. Kemudahan bilik mandi, tandas, air dan sebagainya perlu dipastikan terlebih dahulu. Jawatankuasa difahamkan bahawa wujudnya masalah kekurangan air di Kem 1Malaysia di Kuala Dipang. Ini menyebabkan pihak penganjur mengumumkan bahawa murid-murid lelaki tidak dibenarkan untuk mandi pada hari kejadian tersebut.

17)Kesesuaian tempat juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya sebelum menjalankan apa-apa program bagi kanak-kanak sekolah. Isu keselamatan perlu diutamakan. Selain daripada itu, perkara-perkara lain juga perlu dipertimbangkan. Dalam siasatan awam yang dijalankan, ada isu ditimbulkan oleh beberapa pihak yang menyatakan bahawa tempat perkhemahan di Kuala Dipang merupakan kubur orang asli pada suatu ketika dahulu. Perkara ini perlu disiasat selanjutnya untuk mendapat kepastian.

18) Daripada hasil siasatan, didapati ramai ibubapa tidak mahu anak mereka menyertai atau mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seperti ini. Mereka terpaksa menghantar anak-anak mereka kerana desakan daripada anak mereka dan juga oleh pihak sekolah. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Pihak ibubapa seharusnya diberi kuasa penuh untuk membuat keputusan tanpa gangguan daripada pihak penganjur.


Kesimpulan

Laporan Jawatankuasa akan diserahkan kepada peguam dan pihak-pihak tertentu untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.


sumber: http://speakforperak.blogspot.com/2009/11/laporan-jawatankuasa-ad-hoc-siasatan.html

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template