.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Selasa, 3 November 2009

Fasa Pertama Percutianku


Tatkala mentari merah di hujung pandangan, Menyaksikan senja yang dijanjikan,

Aku sedang termanggu di laman rumah-Nya, Menyaksikan kesibukan warga kota,

Bersama kenderaan masing-masing mengasak masa, Kembali pulang ke laman sendiri,

Setelah siangnya dihabisi, Kotak fikiranku bagai ditarik-tarik,

Membuatkanku berimaginasi, Membayangkan saatnya manusia kembali ke dunia abadi,

Apakah sesibuk ini manusia menemui-Nya? Apakah sesibuk ini manusia mencari syafaat baginda? Apakah sesibuk ini juga manusia mengasak, menuntut amalan sesama sendiri?

Senja ini begitu terasa, Mendekatkanku dengan kematian….

Hari ini dah masuk hari ke-8 cuti semesterku, tapi aku masih merantau di laman orang. Esok kemungkinan berangkatlah aku ke desa. Seperti biasa dipermulaan catatan peribadiku, pasti aku nyatakan bahawa penting bagi aku merakamkan sejarah semalam hidupku walau hanya bernilai pada mata ku sahaja.

NAS

Menyingkap kembali permulaan cuti ku.. Hari pertama cuti aku difokuskan kepada Brainstorming Nadi Al-Syariah (NAS) yang merupakan kelab mahasiswa jabatan Al-Syariah di KIAS, ianya masih diawal penubuhan. Alhamdulillah… Program yang bermula seawal 8.00 pagi isnin itu telah dihadiri hamper keseluruhan pimpinan NAS kecuali 3 orang pimpinan muslimin yang berhalangan. Bimbingan dan sokongan daripada beberapa orang pensyarah seperti Ust Zulqarnain juga Penyelaras NAS, Ust Asri Md Daud, Ustazah Nurul Akma, Ust Mahmood Awang, Dr. Abd Basit, Dr. Djamalullail serta termasuklah Ust Hamidi Abd Ghani yang merupakan Ketua Jabatan AL-Syariah ternyata begitu terkesan sebagai suntikan semangat buat sahabat pimpinan. Paling mengagumkanku komitmen sebahagian mereka sepanjang program tidak terabai sekalipun dalam masa yang sama mereka mempunyai tanggungjawab lain.

Program yang berlangsung hampir 2 hari itu tamat kira-kira seusai zohor esoknya dengan ucapan perasmian penutup oleh Ketua Jabatan Al-Syariah sendiri. Mudah-mudahan matlamat untuk melahirkan mahasiswa faqih berjiwa daie sebagaimana yang diharapkannya itu akan tercapai.

PMKIAS

Setelah selesai mengemas Qaah Nawawi yang digunakan NAS, fokus ku beralih kepada Hari Keluarga PMKIAS yang akan bertolak selepas asar nanti. Segera aku minta mengundur diri untuk menyiapkan barangan yang diperlukan… sedikit mengujiku bilamana hampir sebahagian pimpinan PMKIAS muslimin tidak meghadiri program tersebut. Adalah difahamkan bahawa antara tujuan sebenar program ini diadakan juga adalah untuk meningkatkan persefahaman sesama pimpinan, mengukuhkan kesatuan ini dan seumpamanya. Namun malangnya ketidakkanhadiran mereka ini bagiku sedikit sebanyak membunuh tujuan ini. Bukanlah hendak kunafikan mereka yang punyai komitmen lain. Tidak mengapa jika benar tidak dapat dielakkan, tapi mendukacitakan bilamana ada daripada sebahagiannya seolah-olah tidak berminat untuk memberikan komitmen. Bahkan ada yang menjadikan perselisihan sesama mereka sebagai halangan untuk membina kesatuan organisasi. Marah, kecewa, sakit hati dan sebagainya itu biarlah disemadikan di lubuk hati ini. Namun komitmen mereka sebahagian yang lain amatlah kuhargai. Besar maknanya bagiku bilamana melihat kesanggupan mereka untuk bersama-sama mendokong kembali organisasi yang dalam kondisi seserius ini.

Kami akhirnya tiba ditapak program iaitu di Bukit Baka, Machang kira-kira antara waktu maghrib ke isyak dengan dinantikan Abg Di yang merupakan orang yang bertanggungjawab di situ. Banyak yang dibualkan bersamanya. Antara yang difokuskan adalah tentang sebahagian masyarakat yang menjadikan tempat itu untuk tujuan maksiat. Mujurlah Pak Di merupakan orang yang begitu bersemangat menangani masalah ni. Sedikit sebanyak kegiatan maksiat di kawasan terbendung juga. Secara kesimpulannya program ini adalah lebih kepada memperkemaskan organisasi dan aktiviti yang akan dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang. Program yang mengambil masa 3 hari 2 malan ini berakhir pada zohor hari ketiga (khamis). Bagaimanapun kami pulang lewat petang kerana menantikan van untuk mengambil peralatan yang digunakan. Terpaksalah kami menunggu untuk mengelakkan kehilangan barang dan seumpamanya. Seusai solat asar dan bacaan mathurat sementara menantikan kedatangan van, al-akh Muhsin (Bendahari Agung PMKIAS) dalam keadaan tergesa-gesa memberitahu kami akan kewujudan 2 pasangan anak muda menjadikan kawasan perkelahan tersebut bagi melempiaskan nafsu mereka. Kami segera bangkit menuju ke tempat yang dimaksudkan. Kelihatan sepasang daripada mereka dalam keadaan berpelukan manalaka sepasang lagi dengan hal masing-masing. Kehadiran kami sedikit mengejutkan mereka. Untuk beberapa ketika, kami bersama-sama mereka. Berbual-bual bertanyakan latar belakang dan seikit pengisian rohani buat ingatan bersama. Keempat-empat anak muda itu masing-masing berumur antara 16 tahun hingga 19 tahun. Terlalu muda untuk dicemari dosa dan tipuan dunia. Benak fikiranku kembali mengibas bagaimana aku mengadaikan persahabatan demi-Nya. Sehingga kini aku masih didendami. Jalan ini sememangnya sukar, tetapi itulah hakikatnya kerana tidak terasa kemaisan perjuangan itu tanpa dugaan.

Penangan kambing bakar ni masih terasa hingga kini... pening....





PBSM

Ketika dalam perjalanan pulang.. kami bertiga iaitu penulis, al-akh Khairul (mantan S/U Agung PMKIAS) dan al-akh Syed (Presiden PMKIAS) sempat membincangkan beberapa perkara. Antaranya berkenaan transformasi yang perlu direalisasikan dalam memastikan ianya terus memacu mahasiswa/i KIAS seiring dengan arus semasa. Banyak perlu dipinda bermula daripada kaedah pemilihan pimpinan sehinggalah kepada pelaksanaan tanggungjawab pimpinan itu sendiri. Apa yang boleh diperkatakan, ianya memang sesuatu yang agak sukar kerana memerlukan kerjasama semua pihak baik sama ada ahli-ahli PMKIAS, pimpinan itu sendiri mahupun pihak yang ‘menguasai’ PMKIAS secara langsung mahupun tidak langsung yang kadangkala menyulitkan pergerakan PMKIAS bahkan menjadikan PMKIAS proksi kepentingan mereka.

Seusai solat maghrib di sebuah masjid ketika masih lagi dalam perjalanan pulang, Presiden menerima panggilan daripada salah seorang pelajar al-Azhar yang juga bekas pelajar KIAS yang meminta bantuan untuk meminjamkan beberapa peralatan program untuk kegunaan program mereka di Kg Bakong, Gunung, Bachok iaitu Program Bakti Siswa Mesir (PBSM). Program bersifat perkampungan anak angkat itu juga turut disertai segelintir mahasiswi KIAS bahkan antara pengisiannya juga turut membariskan tenaga daripada KIAS iaitu Dr. Johari Mat (ketua Eksekutif KIAS) dan Ust Asri Md Daud (pensyarah KIAS0 ketika forum perdana yang turut dibarisi oleh salah seorang Dr. dari Universiti Malaya. Perjalanan ke tapak program itu begitu menguji kami, beberapa kali kami tersalah jalan dan terpaksa berpatah semula bahkan turut menerima panduan arah yang mengelirukan. Alhamdulillah… pemergian ke sana tidak merugika kerana berpeluang mengenali beberapa orang pelajar al-Azhar yang komited dengan aktiviti sedemikian. Akhirnya kami tiba di kampus kira-kira pada pukul 11.30 malam untuk meneruskan urusan masing-masing.

Tanah Merah

Setelah mengambil kira beberapa perkara, hari Isnin menjadi pilihanku untuk pulang ke desa sementara sehari sebelumnya akan bertolak ke Tanah Merah untuk menyelesaikan beberapa perkara yang maih tertangguh. Perjalanan pada ahad itu sedikit teruji bilamana hampir semua pemandu bas SKMK mogok. Terpaksalah menggunakan teksi dan keretapi sebagai alternatif. Segalanya kembali terkawal.. Alhamdulillah… itulah juga pertama kalinya menaiki keretapi… mungkin itu antara hikmahnya dugaan ini.. hampir tiba waktu maghrib. Minta diri dahulu. Assalamualaikum.




Dinukilkan pada 15.11.09, Ahad, 6.40ptg di Masjid Sultan Ismail Petra Tanah Merah Kelantan.

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template