Cabaran Dakwah Masa Kini
Lebih seminggu lalu, penulis telah berkesempatan menyertai Seminar Cabaran Dakwah Masa Kini pada 22 Mac 2010 yang merupakan anjuran bersama Jab. Dakwah Wal Qiadah KIAS dengan Outreach ABIM Kok Lanas. Antara intipati yang dapat penulis ketengahkan adalah pendedahan kepada para peserta tentang perkembangan dakwah di perkampungan orang asli di Gua Musang, Kelantan. Penulis terkesan dengan cabaran yang dihadapi oleh para pendakwah di sana. Pernah penulis cuba untuk bergiat bersama mereka, malangnya seringkali waktu itu bertembung dengan tanggungjawab lain penulis yang perlu didahulukan. Antara cabaran yang dihadapi adalah bagaimana untuk berusaha menanamkan akidah sebaik mungkin ke dalam hati masyarakat orang asli disamping menangkis dakyah Kristian yang semakin diperhebat. Hati penulis begitu ingin sekali bersama terlibat dalam kerja dakwah ini, namun kekangan tanggungjawab sekali lagi terpakasa penulis akui kian menyelubungi penulis. Sukar untuk mentafsirkan bagaimana menyimpan kehendak hati yang terpaksa dilupakan.
Kita Bersaudara
Alhamdulillah. Awal percutian ini sedikit mengubat kehendak hati apabila penulis berpeluang menyertai program yang melibatkan masyarakat orang asli. 27-29 Mac 2010 lalu menyaksikan penulis telah menyertai bersama bertugas bagi program Outreach XPDC Dakwah Kita Bersaudara di Pos Kemar, Gerik Perak yag merupakan sebuah kampung daripada belasan perkampungan orang asli di pendalaman Gerik , Perak. Program anjuran Sekretariat Kita Bersaudara ini telah menelan tempoh masa perjalanan air hampir 4 jam dengan feri disamping diiringi beberapa buah bot dan kira-kira4-5km perjalanan dari jeti ke tapak program. Berbekalkan kira-kira hampir 50 orang tenaga kerja program ini telah berjaya menarik perhatian lebih 2000 orang asli menurut perkiraan penulis. Pelbagai bentuk aktiviti telah diketengahkan seperti ziarah petugas perubatan, kenduri rakyat, sukaneka dan banyak lagi. Dalam pada itu, untuk buat kali pertamanya Kelab Kita Bersaudara telah dilancarkan dan disempurnakan oleh YB Dato` Seri Nizar, mantan Menteri Besar Perak. Turut hadir bersamanya adalah isteri, anak-anak beserta rombongan beliau. Perjalanan pulang kami sedikit mencemaskan apabila enjin feri tidak dapat dihidupkan sewaktu jarak kami dengan jeti hanya kurang 1km dan terpaksa ditunda dengan beberapa buah bot.
Masyarakat Orang Asli
Memikirkan kerenah masyarakat orang asli, pelbagai kenangan bersama mereka mengusik minda. Pertama sekali yang agak jangal bagi kita apabila sampai di sana ialah terpaksa membiasakan diri dengan kewujudan anjing yang bagaikan kucing pada mereka. Ia berkeliaran di merata tempat, namun tidak menerkam mahupun mengancam sesiapa. Apa pun, masing-masing sentiasa beringat agar tidak disentuh anjing. Masih teringat lagi kenangan semasa bersama adik Hazrol (lebih kurang begitu namanya), 12 tahun yang muntah di dalam kenderaan gara-gara tidak tahan dengan air-cond ditambah pula dengan keadaan kenderaan yang sentiasa terhoyong-hayang dek jalan yang berlubang dan berbukit. Lebih memeningkan kepala apabila terpaksa menjadi salah seorag juri bagi pertandingan karaoke masyarakat orang asli. Tuhan sahaja yang tahu, namun terpaksa hati ini akur demi pendekatan awal buat pertama kalinya aktiviti ini diadakan di Pos Kemar. Pujian harus diberikan juga kepada sahabat yang telah berusaha menghidupkan suasana ilmiah dan Islamik bagi memperkenalkan hiburan yang dibenarkan syarak. Apa pun, bukanlah sesuatu yang sangat sukar dalam mendekati masyarakat orang asli. Jika kena caranya, InsyaAllah dipermudahkan-Nya. Apa yang pasti, pendekatan dakwah perlulah dipelbagaikan mengikut kesesuaian masyarakat disamping memastikan keutuhan prinsip.
Kepimpinan
0 ulasan:
Catat Ulasan