.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Rabu, 8 April 2009

PERUBATAN ISLAM - FALSAFAH DAN AMALAN


PERUBATAN ISLAM - FALSAFAH DAN AMALAN. Oleh :Hamid Arshat Perubatan adalah amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau ugama kerana sesiapa boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam sekitaran. Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud “setiap penyakit ada ubat melainkan penyakit tua dan mati”. Walaupun berbagai jenis ubat telah dicipta oleh manusia, namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca dan ubatnya. Umat Islam juga tidak terkecuali dari diserang dan berbagai usaha dan cara dilakukan untuk merawat penyakit. Rasullullah menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapat ubat bagi setiap penyakit yang dihidapi. Malah Baginda menekankan pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah langkah tertentu. Rasullullah sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat setengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh Baginda berasaskan akidah dan nilai nilai Islam. Mungkin pada zaman itu belum banyak lagi jenis ubat-ubatan yang terdapat untuk merawat berbagai jenis penyakit berbanding dengan ribuan jenis ubat farmasi dan berbagai kaedah rawatan yang ada di pasaran masakini. Zaman Kegemilangan Islam Zaman kegemilangan pemerintahan Islam memuncak diantara tahun 900 hingga 1300 masihi. Pada zaman tersebut “empire” Islam dibawah pemerintahan khalifah telah berkembang dari Asia Barat ke benua Eropah dan bertapak kuat di negara Spanyol, ia berkembang ke negara Russia dan ke Timur di sebahagian negara Cina. Dalam zaman kegemilangan pemerintahan tersebut muncullah para cendikawan dalam bidang ilmu perubatan Islam seperti Al Raziz (tahun 841 - 926), Al Zahrawi (tahun 931 - 1013), Ibnu Sina (tahun 890 - 1037), Ibnu Rusd (tahun 1126 - 1198) dan Ibnu El Nafis (tahun 1208 - 1288). Disamping ilmu dan kemahiran kedoktoran, mereka ini juga mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang keagamaan, astronomi, physics, matematik dan lain lain. Mereka telah mengamalkan ilmu kedoktoran secara saintifik berasaskan ilmu pengetahun tentang perubatan pada ketika itu. Mereka juga telah menemui berbagai jenis ubatan daripada berbagai sumber. Berbagai kaedah rawatan termasuk pembedahan telah digunakan dan disebar luas khususnya oleh Al Zahrawi. Pengasas pengasas perubatan Islam di zaman tersebut telah banyak menjalankan penyelidikan dan telah menulis berjilid-jilid buku teks kedoktoran yang telah diterjemahkan kepada berbagai bahasa Eropah. Malah banyak daripada buku-buku yang ditulis oleh Ibnu Sina, Al Zahrawi, Ibnu El Nafis telah digunakan oleh kolej kolej perubatan di Eropah. Selepas tahun masihi 1300 apabila “empire” Islam runtuh, maka ilmu perubatan Islam juga mengalami nasib yang sama. Sehingga sekarang ini, perubatan Islam tidak mendapat perhatian dunia seperti zaman pemerintahan khalifah dahulu.Definisi Perubatan Islam Tiada kata sepakat tentang definisi sebenar perubatan Islam. Ramai yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut selera atau caragaya mereka sendiri demi untuk mengiktiraf apa yang mereka amalkan adalah perubatan Islam sebenar. Justeru itu terdapat kekeliruan dikalangan orang ramai tentang apa sebenarnya perubatan Islam. Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan dimana terkandong di dalamnya paradigma, konsep, nilai nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Quran dan sunnah Rasullullah. Ia bukannya satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal pengamal tradisional tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan Perubatan Islam perlu memenuhi kriteria kriteria seperti berikut. 1. Ia adalah satu jurusan ilmu dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai untuk semua gulongan ummah tanpa mengira bangsa, ugama atau darjat. 2. Ilmu dan amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan aqidah Islam, dan mereka yang terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan disamping menjadi orang yang beriman dan bertaqwa. 3. Amalan perubatan Islam perlu patuh kepada undang undang syariah Islam khususnya bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin “controversial” dan boleh mengancam hak asasi manusia. 4. Amalan perubatan Islam perlu menyentuh keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek aspek rohaniah, mental dan fisikal. Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja, malah patut melibatkan ahli-ahli keluarga dan masyarakat. 5. Kaedah rawatan untuk pesakit sepatutnya meliputi semua cara termasuklah ubat-ubatan moden, pembedahan, kaedah rawatan tradisional dan patut dimulakan dengan doa. Semua kaedah rawatan patutlah diterima asalkan ia tidak menyebabakan seseorang itu menjadi syirik dan sepatutnya berbagai kaedah rawatan tersebut disepadukan dibawah satu bumbung. 6. Amalan perubatan mestilah berasaskan ilmu perubatan sains yang terkini dan mereka yang terlibat sepatutnya sentiasa menjalankan penyelidikan serta melakukan penulisan agar ilmu kedoktoran ini dapat disebarluaskan kepada semua. Proses pengubatan Setiap pesakit yang datang untuk mendapat rawatan biasanya menderita dengan kesakitan, jiwa dan emosinya tertekan. Ia mengharapkan layanan dan rawatan yang terbaik serta menaruh keyakinan dan harapan yang tinggi kepada doktor serta kakitangan yang terlibat dalam rawatan. Ia seterusnya bertawakal kepada Allah S.W.T. agar penyakitnya sembuh. Dengan harapan dan keyakinan seperti ini, doktor dan kakitangan yang terlibat dalam rawatan pesakit, bukan sahaja perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam bidang rawatan perubatan, ia patut juga mempunyai satu etika dan peradaban yang sesuai untuk melayani pesakit. Ia perlu juga mempunyai keimanan dan ketaqwaan supaya ia dapat meyakinkan pesakit. Di saat saat begini biasanya pesakit bukan sahaja mengharapkan penawar dari berbagai jenis ubatan atau tatacara rawatan, malah ia perlu sokongan emosi dan mental. Ia memerlukan segala-galanya untuk menceriakan diri dan suasana. Ia memerlukan nasihat dan bimbingan. Saat ini jugalah merupakan saat yang sangat berkesan untuk seseorang berdakwah.Etika Doktor Islam Para doktor dan perawat Islam bukan sahaja dikehendaki untuk mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang kedoktoran, malah ia perlu mempunyai ciri ciri dan beradapan serta akhlak yang mulia. Diantara perkara perkara yang penting dalam etika doktor terhadap pesakitnya adalah seperti berikut: 1. Doktor dan para perawat perlulah mempunyai keimanan yang kuat. Ia percaya kepada Allah dan Rasul, melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan menjauhi larangannya. 2. Ia adalah seorang yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi, khususnya dalam bidang perawatan dan mampu mengendalikan masalah dan tabiat manusia. Ia dikehendakki senyum selalu, bersifat sabar, pengampun, adil dan sentiasa mencetuskan keceriaan terhadap pesakit dan keluarga mereka. 3. Ia sepatutnya seorang yang berakhlak mulia, percakapannya lunak dan tingkahlakunya lemah lembut serta bersopan. Doktor dan para perawat mestilah menghayati bahawa hidup dan mati itu adalah hak Allah. Doktor hanya merupakan satu alat untuk mengubati penyakit setakat kemampuannya. Ia tidak berhak untuk memanjangkan nyawa seseorang ataupun menentukan tempoh hidup pesakit tanpa izin Allah. 4. Doktor perlulah menunjukkan tauladan yang baik dengan menjaga kesihatan dirinya. Ia perlu menunjukkan tauladan tentang kaedah kaedah menjaga kesihatan dengan menjauhkan tabiat dan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan. 5. Ia perlu bersifat ikhlas dan benar dalam percakapan, tulisan dan lapuran. 6. Seseorang doktor perlu mempunyai ilmu yang mencukupi tentang perundangan Islam dan fiqah untuk menasihati pesakit pesakit tentang hukum hakam khususnya yang mungkin melibatkan tatacara ujian atau kaedah rawatan. Seseorang doktor perlulah mempunyai sifat tawaduq dan rendah diri, ia tidak ujub, riak ataupun angkuh. 7. Setiap doktor perlulah mengikut kemajuan dan perkembangan ilmu sains perubatan demi untuk melengkapkan dirinya dalam kaedah ujian dan rawatan yang termoden dan terkini. Pelaksanaan Program Perubatan Islam Perlu ditekankan disini bahawa amalan dan perkhidmatan perubatan masakini yang diamalkan oleh semua bangsa dan ugama di seluruh dunia ini memang telah mematuhi apa yang dituntut oleh ugama Islam. Amalan perubatan memerlukan penerapan nilai nilai Islam dalam segala bidang walaupun kita akui tidak boleh mencapai ke tahap pengubatan yang ideal. Namun jika perubatan tidak boleh menyembuhkan, amalan perubatan Islam yang menyeluruh sekurang-kurangnya boleh memberi kepuasan kepada pesakit dan ahli keluarga yang terlibat. Justeru itu beberapa langkah perlu diambil untuk mencapai ke tahap ini. 1) Kurikulum Latihan Kurikulum latihan doktor dan paramedik perlulah dikaji semula untuk menerapkan nilai nilai Islam. Kadar kaedah perubatan yang lain (alternative medicine) perlu juga diajarkan pada para doktor dan perawat yang lain. Ini bertujuan untuk memberi ilmu serta pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap berbagai kaedah pendekatan rawatan. 2) Perkhidmatan Kesihatan Kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan perlulah diubahsuai dengan menerapkan nilai nilai Islam. Penekanan patut diberi kepada pencegahan penyakit dan mempromosikan penjagaan kesihatan diri mengikut panduan ugama serta sunnah Rasullullah. 3) Etika Perubatan Islam Garis panduan etika perubatan Islam perlulah diamalkan oleh semua gulongan perawat termasuk doktor, jururawat, therapist dan kakitangan kakitangan sokongan. Dari masa ke semasa mereka perlulah diingatkan tentang garis panduan etika ini. 4) Rangkaian Hospital dan Klinik Islam Rangkaian hospital dan klinik Islam yang cemerlang perlulah dibina diseluruh negara. Saya percaya bahawa hospital Islam yang mempunyai ciri ciri dan rekabentuk luaran dan hiasan dalaman yang sesuai dengan Islam akan menjadi tarikan kepada orang ramai. Hospital ini juga perlu dilengkapi dengan peralatan moden serta canggih dan dikendalikan oleh para doktor dan perawat yang mahir dan berwibawa yang sentiasa mematuhi garis panduan etika perubatan Islam. Jika rangkaian ini dapat diwujudkan tentulah “credibility” Islam, khususnya dalam bidang ilmu dan amalan kedoktoran akan meningkat bukan sahaja dikalangan orang Islam, tetapi juga dikalangan bukan Islam. 5) Sistem Pengurusan Hospital Islam Satu sistem pengurusan Hospital Islam perlu diwujudkan. Setiap umat Islam sepatutnya berhak untuk mendapatkan rawatan yang tercanggih, terbaik dan terkini bagi mengatasi penyakitnya. Walau demikian rintangan dan kesukaran untuk mendapatkan rawatan tersebut adalah disebabkan oleh masalah kewangan khususnya dikalangan mereka yang kurang mampu. Oleh itu satu skim pembiayaan perlulah diadakan untuk menentukan setiap ummah boleh merasai rawatan yang terbaik. Skim ini boleh dilakukan dengan beberapa cara. Hospital atau klinik Islam yang menjalankan perniagaan secara komersial sepatutnya boleh menyalurkan balik sebahagian daripada keuntongannya untuk membiayai mereka yang kurang mampu. Sumber pembiayaan mungkin juga melalui sedekah dan zakat. Satu tabungan untuk pembiayaan kesihatan perlu diwujudkan dikalangan umat Islam. Saya percaya ramai hartawan, khususnya dikalangan korporat yang ingin menyumbangkan kepada tabungan untuk tujuan menjaga kesihatan ummah.Satu lagi cara untuk mendapatkan sumber kewangan ialah menerusi saham wakaf kesihatan bagi umat Islam. Jika pembeli saham wakaf diberi pelepasan cukai pendapatan, saya percaya ramai akan membeli saham untuk tujuan amal jariah. 6. Insuran Kesihatan Insuran kesihatan bagi umat Islam juga patut dipelopori dan ini boleh dilakukan menerusi potongan gaji, ataupun dilakukan secara mengambil polisi bagi mereka yang bekerja sendiri. Syarikat insuran yang berteraskan Islam seperti Takaful ataupun MNI Takaful, boleh mengambil bahagian dalam rancangan insuran kesihatan Islam. Di zaman khalifah dahulu, banyak hospital hospital yang terbaik didirikan oleh pemerintah Islam untuk tujuan amal jariah, mengabadikan perubatan Islam, serta mengembang ilmu serta amalan perubatan Islam. Disamping itu juga pemerintah boleh memberi khidmat kepada ummah melalui program kesihatan yang terbaik. 7. Penyelidikan, Penulisan dan Penjilidan Untuk menggalakkan percambahan ilmu serta amalan perubatan Islam, satu strategi yang terpenting ialah menggalakkan doktor doktor dan ahli sains perubatan untuk menjalankan penyelidikan secara saintifik ataupun klinikal. Seterusnya hasil penyelidikan dan kajian patutlah dibentangkan dalam seminar seminar ataupun kongres antarabangsa dan kemudian dibukukan dan dijilidkan untuk disebarkan dan diturunkan kepada satu jenerasi yang berikutnya. Dewasa ini doktor doktor dan ahli sains perubatan sains amat ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan penulisan. Untuk mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan Islam, segala usaha patut ditumpukan untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan dan penulisan. Untuk mencapai ke objektif ini, peruntukan kewangan perlu diadakan bagi para penyelidik. Gabungan serta kerjasama dikalangan pakar pakar penyelidikan di negara kita dan juga di seluruh dunia, khususnya dikalangan pakar pakar Islam patut digalakkan dan dipertingkatkan. 8.Usahasama dan gabungan antara negara negara Islam dalam bidang perubatanUntuk mencapai ke tahap cemerlang dalam ilmu dan amalan perubatan Islam, kerjasama dan gabungan dikalangan negara negara Islam adalah sangat penting. Ini boleh dilakukan secara usahasama dalam bidang penyelidikan, perkembangan ilmu, pengurusan hospital, pembiayaan dan mengumpulkan dana dan sumber kewangan untuk projek hospital Islam. Seterusnya mewujudkan usahasama untuk membina kilang untuk mengeluarkan ubat ubat yang halal bagi tujuan kegunaan semua negara negara Islam di seluruh dunia. Semua hospital hospital di negara negara Islam patut juga dirangkaikan supaya dapat bertukar tukar maklumat dan pengalaman melalui program Telemedicine. Rumusan Ilmu dan amalan perubatan telah lama berkembang dan masih lagi maju ke hadapan walaupun banyak lagi isyu isyu tentang punca penyakit dan tentang kaedah rawatan belum dapat diselesaikan. Masanya telah tiba bagi para doktor dan ahli ahli sains perubatan Islam, negara negara Islam, hartawan dan ahli ahli korporat Islam untuk mengembeling tenaga untuk memulakan satu era baru dalam meningkatkan satu lagi sudut perkhidmatan kemanusiaan menerusi perubatan Islam. Penggembilangan tenaga pakar yang disokong dengan pembiayaan dan pengumpulan dana dan tabung kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan amalan perubatan Islam akan mengangkat imej Islam ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan seperti pada zaman khalifah dahulu.

-halaqah.net

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template