.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Rabu, 8 April 2009

SAAT AKU DITALKINKAN …


“Apakah aku sudah menghampiri maut? Aku takut!” Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi Izrail datang. Sedetik lagi malaikat maut datang. Aku di ambang sakaratul maut, setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Hari berganti hari keadaanku semakin tenat. Tubuhku kaku seperti mayat di atas katil, di salah sebuah hospital yang aku sendiri tidak tidak tahu mengapaku ditempatkan disini. Sebelum itu, yang aku ingat aku sedang memandu kereta ayah, lalu bertembung dengan lori balak. Tapi selepas itu, aku tidak ingat apa-apa. Pandanganku kabur, tidak dapat ku pastikan siapakah orang yang berada disekelilingku. Aku terasa dadaku teramat berat dan bahagian pinggangku sudah tidak berasa apa-apa lagi, derita sungguh! Nafasku sesak, tiba-tiba tanganku dipegang kuat...

“Mengucap sayang! Mengucap…Asyhadu Alla Ilaha IllaLlah…” Ucapan itu dibisikkan ke telingaku disertai dengan tangisan. Itu suara ibu. Manusia yang pernah mendodoikanku semasa kecil. Manusia yang pernah menyuapkan nasi ke mulutku. Manusia yang pernah memberi seyumnya serta yang pernah merotanku kerana degil… “Bagaimana dengan keadaannya doktor?” Aku amati suara itu, pasti itu suara abang. Mungkin abang baru sampai. “Tenat”, jawab doktor ringkas. “Itu” kata doktor. Abang, jangan berserah kepada takdir sahaja. Kita perlu usaha. Sudah seminggu aku terlantai di wad, kenapa baru sekarang abang menjengah? Datanglah ke sini, aku ingin berbicara denganmu. Datanglah…Tapi mataku… Semakin gelap. Adakah aku sudah…? Tidak! Aku tidak mahu buta. Aku masih ingin melihat dunia ini. “Sabarlah dik, banyak-banyak ingatkan ALLAH. “Abangkah yang bersuara itu?” Apa yang aku tanggung ini tidak semudah yang kau lafazkan, abang. Tolonglah adikmu ini. Tolong bukakakan mataku. “Tekanan darahnya amat rendah”. Sayup-sayup kedengaran suara doktor. Kedengaran ibu menangis teresak-esak. Ibu, kau hanya mampu menangis sahaja, bila tiba saatnya kita akan berpisah. Tapi, ibu… Aku tidak mahu berpisah denganmu. Tolonglah ibu, selamnatkanlah daku”.

Yasiin… Bacaan yasiin terngiang-ngiang di telinagku. Aku tahu itu suara abang. Tetapi kenapa aku diperdengarkan dengan bacaan itu. Apakah aku sudah menghampiri maut? Aku takut! Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi Izrail datang. Sedetik lagi malaikat maut datang. Aku di ambang sakaratul maut…Aku semakin tegang dan semakin sendat nafas di dada. Ketika itu, aku tidak ingat apa-apa lagi. Aku tidak kenal siapa di sekelilingku tapi yang pastinya sekarang, aku berdepan dengan sakaratul maut. “Tolong ibu! Tolonglah aku, aku takut”. Tapi rintihanku tidak dipedulikan. Apa mereka sudah pekak? Aku dilambung resah, gelisah dan penuh kesah, keluhan dan rintihan. “ Dahaga, haus dan panas…” Tapi tiada siapapun yang peduli. Nenekku datang. “Nenek…”. Kau dahaga cu, kau lapar cu, mahu air? Ini gelas penuh air madu, kalau cucu mahu masuk syurga, minum air ini”. “Ibu…”, ibuku datang, ibu menggoyangkan buah susunya. “Ini ibumu, air susu ini membesarkan mu. Buangkan Islam, matilah dalam agama Yahudi…”. “Ayah… Kau datang ayah…”. “Marilah dalam agama Kristian anakku. Matilah dalam agama Nasrani . Itulah agama yang membantu kau masuk ke syurga”. “Nenek… Ibu… Ayah… Suara kaukah tadi? Kenapa kau berubah laku? Atau suara syaitan yang ingin memurtadkan aku?

“Mengucap sayang, mengucap. Asyhadu Alla Ilaha IllaLlah…”. Ucapan itu diajukan sekali lagi di telingaku. Itu suara ibu. Tapi lidahku sudah menjadi kelu. Manusia-manusia berjubah hitam datang... “Mari ikut kami!” Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa bersama mereka payung hijau, “Mari ikut kami!”. Cahaya putih datang, datang kilatan hitam, datang sinaran kuning, cahaya merah datang. “Apa ni, apa ni? Akulah Sakaratul maut...”. Kedinginan menjalar, merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut dan kini seluruh jasadku diselimuti sejuk.


Dan kemudian datanglah malaikat maut di hujung telingaku. “Hai jiwa yang keji! Keluarlah kamu dari kemurkaan ALLAH…”. Aku tersentak. Rohku berselerak didalam tubuhku. Lalu, Inna LilLahi Wa Inna Ilaihi Raji`uun... Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang dan menghemburlah bangkai yang sebusuk-busuknya. Tiba-tiba bau busuk menusuk hidungku, seperti bau sampah yang amat busuk, “Apa yang busuk ni? Tak adakah orang yang mengangkat sampah hari ini? Ah, busuknya, hanyirnya, hancingnya…”. “Assalamu `Alaikum”. Siapa yang memberi salam tu? “Aku”. “Kau siapa wahai pemuda?” Seorang lelaki tercegat di hadapan katilku. Aku tidak pernah melihat orang yang sehodoh, sekotor dan sebusuknya di dunia ini. Rambutnya tidak terurus, baju yang dipakai lusuh berlumut, kuning, coklat dan entah apa-apa warna lagi, dari lubang hidung, telinganya dan mulutnya terdapat nanah dan darah pekat sedang mengalir. Tanpa dipedulikan… jijik, loya, aku rasa... teramat loya melihatnya. “Kau tak kenal aku?” “Tidak, jawabku tegas. Mana mungkin aku kenal kau sehodoh dan sejijik ini”.

“Aku sahabatmu, kau yang membuatku begini hari-hari”. “Bohong!” Aku menjerit sekuat hati. Biar semua penghuni wad ini mendengarnya. “Aku tak kenal engkau! Lebih baik engkau pergi dari sini”. “Akulah amalanmu yang keji…” Aku terdiam, aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. “Ya!” Aku teringat kini, semuanya pernah ku dengar, yang ku pelajari dulu. Segala dosa dan keburukan yang kita lakukan didunia akan dijelmakan sebagai suatu makhluk yang teramat hodoh dihadapan kita dialam barzakh nanti. Oh! Tuhan aku banyak dosa. Aku memang lalai, cuai dan lupa dengan segala nikmat yang telah Engkau kurniakan. Solatku kerana kawan, bukannya ikhlas keranaMu. Pergaulanku bebas, tak kenal mahram ataupun tidak. Tapi itu semua telah berlalu dan sudah terlambat untuk bertaubat. Apa yang harus aku lakukan. Surah Yasiin yang abang pegang diletakkan diatas dahiku. Aku melihat kak Long dan kak Ngah menangis. Aku juga melihat mata abah bengkak. Tiba-tiba badanku disirami air. “Air apa ini?” “Tolong! Sejuk! Kenapa air ini berbau kapur barus. Tolong jangan tekan perutku dengan kuat, sakit! Kenapa ramai orang melihatku? Aku malu…malu…malu!” Aku diusung kesuatu ruang. Aku lihat kain putih dibentangkan lalu aku diletakkan diatas kain putih itu. “Nanti, tunggu! Jangan bungkus aku, kenapa kalian semua buat aku macam ini? Tolong, rimas…panas…”. Kemudian aku diletakkan kembali. Beberapa orang termasuk tuan imam menyembahyangkanku. Kelihatan ayah dan abang berada disoff yang pertama.

Tapi, kenapa aku disembahyangkan? Bukankah aku boleh sembahyang sendiri? Aku teringat kata-kata ustazku dulu… “Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”. Dan kini baru aku sedar aku sudah tidak mampu lagi untuk mengangkat takbir, ruku`, sujud dan tahiyyat. Aku diangkat perlahan-lahan kemudian diletakkan didalam kotak kayu. “Kotak apa ini?” Aku diusung oleh enam orang termasuk ayah dan abang. Aku diusung setapak demi setapak. “Al-Fatihah…” Kedengaran suara tuan imam. Kelihatan ibu, kak Long, kak Ngah dan lain-lain mengekoriku dari belakang. Tapi kemana dibawanya aku? Nun jauh disana… Kelihatan tanah perkuburan kampungku. “Kesitukah aku dibawa mereka? Tolong jangan turunkan aku, aku takut!” Setibanya ditanah perkuburan, kelihatan satu liang yang bersaiz sama dengan jasadku kosong menanti. Beberapa tangan memegangku dan aku diturunkan kedalam liang itu. “Perlahan-lahan!”, aku terdengar suara tuan imam memberitahu. “Tolong keluarkan aku dari sini! Aku seram!”. Kini aku berada didalam liang sedalam enam kaki, sedikit demi sedikit pasir dan tanah menutupiku. “Tanah apakah ini?, “Aduh! Sakitnya badanku ditimbusi tanah”. “Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji`uun… Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali”. Kedengaran bacaan talqin dari tuan imam. “Sesungguhnya mati itu benar, alam barzakh itu benar, titian Sirat itu benar, syurga dan neraka itu juga benar…” Sayup-sayup aku terdengar tuan imam terus membaca talqin, tetapi makin lama makin hilang. Pandanganku makin lama makin kabur dan terus tidak kelihatan. Tubuhku terasa telah ditimbusi sedikit demi sedikit oleh pasir dan tanah yang dilemparkan keatasku. Terasa semakin gelap dan… aku kini keseorangan. “Nanti! Nanti! Tolong! Tolong ayah, ibu! Jangan tinggalkan aku seorang. Aku takut! Gelap! Panas! Tolong!.

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template