.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 28 Disember 2009

Ijtima` Ulama' Muda Negeri Kelantan 2009: Merintis Penerusan Kepimpinan Ulama'















Alhamdulillah Setinggi-tinggi syukur kepada-Nya yang msih lagi memberikan kekuatan kepada penulis untuk merakamkan secubit pengalaman yang dicedok seharian semalam di Kelantan Trade Centre sebagai medan ilmu yang ternyata begitu berbaloi buat penulis yang menghadirkan ke program tersebut. Syukur juga pada-Nya kerana masih lagi memelihara iman dalam jiwa ini walau senipis bawang sekalipun.

Adalah tujuan penulis mengarapkan cebisan perkongsian ini sebenarnya hanyalah sebagai intipati buat mereka-mereka yang punyai cita-cita untuk mewarisi kepimpinan ulama'. Penulis sendiri terasa benar kekerdilan diri bilamana menghadiri program ini bahkan merasa jauh sekali kelayakan untuk mewarisi kepimpinan ulama'. Penulis juga berharap agar sebarang penulisan baik sebelum ini, sekarang mahupun akan datang tidak menjejaskan imej ulama' muda bagi mereka-mereka yang layak. Pada penulis, masih terlalu jauh untuk diletakkan imej tersebut pada diri penulis. Apa pun, keinginan untuk menjadi yang terbaik pastinya penulis sematkan dalam jiwa penulis yang daif ini.

















Perjalanan Program


Program yang diberi nama Ijtima` Ulama` Muda Negeri Kelantan 2009 itu telah bermula kira-kira sekitar 9.oo pagi dengan ucapan aluan pengerusi majlis seterusnya ucapan aluan oelh YABrs Abd Aziz Yunus selaku Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan, dan ucaptama oleh YABhg Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man sebagai tokoh ulama' yang tidak asing lagi di Malaysia. Ucaptama tersebut kemudiannya telah dikupas dalam Muzakarah Ucaptama oleh Tuan Hj Mohamad Mustafa (ADUN Demit) dan YBrs. Ust Tuan Saripudin Tuan Ismail (penerima Anugerah Tokoh Ulama' Muda 2009 di Konvensyen Belia Kelantan 2009 yang lalu & tenaga pengajar di Pondok Moden). Muzakarah tersebut berakhir lewat jam 12.00 tengahari dan kemudiannya diteruskan dengan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz sendiri. Majlis perasmian yang berakhir melewati zohor itu kemudiannya disambung dengan Wacana Ilmiah seusai solat zohor berjamaah dan makan tengahari dengan membariskan panelis yang hebat iaitu YB j Mohd Ammar Nik Abdullah (EXCO Kelantan), Dr.Azahar Yaakub (UTM) dan Dr. Abd Basit (Pensyarah KIAS & Mursyid Pondok Sungai Durian). Wacana yang berakhir juga hampir melewati asar itu diteruskan dengan bacaan resolusi oleh YB Ust Abd Latif (ADUN Mengkebang) dan ucapan penutup oleh YB. Tuan Hj Abdul Fattah Hj Mahmood (EXCO Kelantan).

Sebenarnya pada awalnya penulis berhasrat untuk mengarapkan secara panjang lebar dan menghuraikan tentang apa yang telah dikupas bermula dari pagi hingga petang majlis tersebut. Namun, barangkali tidak ramai yang sanggup membacanya. Maka cukuplah penulis ringkaskan secara kasar apa yang perlu diberi perhatian semua.



Persiapan Bakal Ulama'

Berdasarkan penelitian penulis daripada apa yang dikupas, dibincang serta ditelaah oleh pengucaptama, para panelis, pengkritik dan pencadang, maka penulis beranggapan bahawa antara keperluan persediaan para ulama' pelapis ialah:

1.Keakraban hubungan dengan Allah SWT.

2.Menitikberatkan soal hukum bagi diri sendiri (mewajibkan bagi dirinya apa yang sunat bagi orang awam dan mengharamkan bagi dirinya apa yang makruh bagi orang awam)

3.Menguasai semua bidang ilmu agama (Usuluddin, Syariah dll) secara mendatar serta mempunyai sesuatu bidang ilmu yang dikhususkan dan didalami secara serius sehingga mampu melahirkan golongan ulama dalam bidang tertentu seperti ulama' ekonomi, ulama' falak syarie (astronomi), ulama' seni, ulama pelancongan, ulama pertanian, ulama' sukan dan lain-lain.

4.Menguasai pelbagai bahasa (ilmu alat).

5.Berada di dalam jemaah

6.Menzahirkan ilmunya (pendirian).

7.Tidak membazirkan masa dengan membincangkan perkara cabang atau polemik tidak logikal yang dicetuskan.

8.Terkehadapan dalam mengemukakan alternatif kepada permasalahan ummah.

9.Kepelbagaian bentuk pendekatan dalam kebersamaan masyarakat.

10.Terjun dalam semua bidang (ekonomi, seni, sukan, perubatan dll).


Pandangan Penulis

Secara kasarnya penulis berpuas hati dengan apa yang telah diaturkan oleh pihak penganjur dan tokoh-tokoh yang ditampilkan dilihat mampu mengupas dan mengolah dengan cukup berkesan. Bahkan penggabungkan bentuk pemikiran akademik, pondok, profesional dan seumpamanya yang telah ditampilkan oleh para pengupas turut menterjemahkan intipati yang terbaik buat para peserta. Kesemua slot yang diaturkan ternyata begitu rancak diperbincangkan dan jarang sekali berlaku dalam majlis ilmu yang perbincangannya boleh disifatkan agak berat.

Penulis juga ingin memuji keberadaan beberapa orang tokoh sepanjang program tersebut yang nyata begitu komited dan serius dalam soal ini sepert YB Hj Fattah Mahmood (EXCO Kelantan), YB Dr. Fadzli (EXCO Kelatan), YB Abe Uji (ADUN Manek Urai), YB Mohamad Mustafa (ADUN Demit), YB Baihaqi (ADUN Pasir Tumboh), YB Ust Abdul Latif (ADUN Mengkebang), Dr.Johari (Ketua Eksekutif KIAS) dan lain-lain.

Apa pun, antara beberapa perkara yang perlu diteliti baik bagi pihak kerajaan negeri dan kita semua adalah:

1.Kemungkinan pertembungan peranan Ulama' Muda dengan Ulama' sedia ada.
Sebenarnya perkara ini turut disentuh secara tidak langsung oleh Dato` Tuan Ibrahim dan disentuh secara serius oleh YAB TGNA.
Suka bagi penulis untuk mencadangkan penggabungan kedua-dua generasi ini dalam satu medium bagi membentuk kesatuan sekaligus mengelakkan perselisihan atau pertembungan peranan.

2.Kajian semula terhadap sistem pendidikan.
Bagi penulis , sememangnya sistem pendidikan Malaysiaa perlu dikaji semula. Apa pun dalam konteks kemampuan kerjaan negeri, sistem pendidikan YIK perlu diterliti semula yang mana kini dilihat tidk lagi bertujuan melahirkan gologan pelajar yang alim, sebaliknya hanya untuk melahirkan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan.

3.Perlunya kewujudan medium bagi menggerakkan ulama'/pelapis.



Apapun penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana terus membuktikan kepada rakyat betapa kesungguhan mereka dalam memastikan penerusan kepimpinan ulama' yang pastinya memartabatkan Islam itu sendiri. Usaha yang dilihat begitu terkedepan berbanding kerjaan negeri lain ini seharusnya dijadikan contoh oleh kerajaan negeri lain dalam membuktikan keseriusan mereka melahirkan pewaris kepimpinan yang benar-benar mahu memelihara Islam. Mudah-mudahan segala perit jerih ini mendapat keredhaan-Nya.



Buat Pembaca

Penulis merasakan, garis lorongan yang diberikan ini tidak semestinya untuk diterjemahkan secara praktikal oleh golongan ulama' pelapis sahaja. Bahkan kita sebagai ummat Islam sebenarnya seharusnya cuba dan berusaha menerapkan nila-nilai tersebut apatah lagi bagi kalian yang sememangnya berlatarbelakangkan pendidikan agama. Mudah-mudah perkongsian ini akan dimanafaatkan.

0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template