.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 26 Julai 2010

Sistem Kelas 1 Jantina Sebagai Alternatif



Sistem Kelas Satu Jantina Sebagai Satu Alternatif
Kiriman : Aedi A. Abdullah [ Dakwah.Info ]
Editor:PenaHalaqah


i ~ Sistem pendidikan negara, sedari dulu lagi, sering menjadi polemik dikalangan ahli politik, pemikir, ahli akademik dan pemimpin mahasiswa. Tidak kurang juga hal ini dibincangkan di peringkat rakyat terbawah (semestinya yang kritikal dan peka).

Antara yang menjadi polemik ialah isu bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah vernacular dan inggeris (yang kemudiannya dikebangsaankan), isu polarisasi kaum dan akhir sekali isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI).

Selepas diajukan oleh seorang teman untuk menulis artikel ini, penulis sedar bahawa perkara ini amat jarang disinggung oleh mana-mana pihak. Kalau terbit pun di mana-mana akhbar atau majalah, ianya bersifat terpencil dan tiada kesinambungan. Mungkin masyarakat menganggap perkara ini, yakni kelas satu jantina hanyalah satu bentuk ‘genre’ dalam sistem pendidikan negara.

ii ~ Di Malaysia, kelas satu jantina hanya diamalkan di sekolah-sekolah elit berasrama penuh seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Tunku Kurshiah dan sebilangan kecil sekolah harian.

Penulis percaya, kecemerlangan sekolah-sekolah ini saban tahun , selain daripada faktor tradisi, guru dan pelajarnya, turut dibantu oleh system kelas satu jantina. Ini bukanlah kata-kata kosong yang semberono. Ini ialah kata-kata ini didokong dengan fakta.

Pada tahun 2007, Dr. Leonard Sax, Pengarah Eksekutif National Association for Single Sex Public Education (NASSPE) dan juga seorang ahli psikologi telah membuat kajian mengenai perbandingan antara system kelas konvensional (co-education) dengan system kelas satu jantina bagi pelajar gred 4 di Woodward Avenue Elementary School, Florida. Laporannya yang bertajuk ‘Single-Sex vs. Coed: The Evidence’ menyatakan sebanyak 86% daripada pelajar lelaki dan 75% daripada pelajar perempuan yang mengikuti kelas satu jantina mencapai tahap proficient dalam peperiksaan FCAT (Florida Comprehensive Assesment Test) berbanding 37% daripada pelajar lelaki dan 5% sahaja daripada pelajar perempuan yang mengikuti kelas konvensional.

Penulis sendiri agak terkejut semasa membaca laporan ini. Jurang peratusan peperiksaannya amat besar! Tetapi, system ini bukanlah mengenai peratusan markah dan bilangan A semata-mata. Sistem ini juga berjaya menjadikan suasana pembelajaran menjadi lebih selesa dan menyeronokkan.

Dalam satu temubual rawak yang dijalankan majalah Reader’s Digest dengan pelajar yang mengikuti system ini mendapati pelajar perempuan boleh menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas dan tidak lagi malu untuk mengangkat tangan bertanya. Pelajar lelaki pula menyatakan pembelajaran menjadi lebih pantas dan tugasan berkumpulan adalah lebih mudah tanpa pelajar perempuan. Guru-guru juga melahirkan rasa senang hati apabila kehadiran pelajar lelaki semakin bertambah. Pelajar-pelajar ini juga sudah jarang mengangkat tangan meminta time out!

Pelajar juga tidak lagi perlu memikirkan perkara-perkara remeh, persepsi pelajar lain misalnya. Sebagai contoh, pelajar lelaki tidak lagi perlu memikirkan cara untuk menarik perhatian dan dikagumi pelajar perempuan. Ianya memang kelihatan seperti memandang rendah daya intelek pelajar, dan tentulah bukan semua pelajar bersikap begini, tetapi inilah yang sentiasa berlaku. Robert Kennedy, dalam artikelnya The Pendulum Has Swung mengatakan, “Boys have always felt a need to impress girls in the classroom. Girls usually feel as though the boys are always teasing them. Surely there is enough time in college and in later life to deal with social and other kinds of intercourse”. Hal ini turut dinyatakan dalam majalah Reader’s Digest (dalam satu temu bual rawak yang sama).

Pengalaman singkat penulis sebagai sukarelawan di sebuah pusat tuisyen percuma juga memberi kesedaran. Penulis dan beberapa lagi sukarelawan ditempatkan di kelas darjah 6. Bagi menangani masalah keragaman pelajar-pelajar ini, kumpulan pelajar telah dibentuk berdasarkan jantina mereka. Pelajar perempuan yang lebih banyak bertanya mendapat guru yang lembut dan berkemahiran memberi penjelasan, manakala pelajar lelaki yang yang kebiasaannya agak nakal dan playful diserahkan kepada guru yang agak tegas dan bijak mengawal keadaan.

Akhirnya perjalanan kelas menjadi lebih teratur. Pembelajaran menjadi lebih lancar dan tiada lagi rungutan tidak puas hati pelajar. Rupa-rupanya, kami telah melaksanakan system kelas satu jantina, walaupun secara tidak sedar!

iii ~ Namun adakah boleh kita sewenang-wenangnya mengandaikan kecemerlangan dapat ditingkatkan dengan hanya mengasingkan kelas perempuan dan lelaki? Tentulah tidak. Sistem ini tidak dipraktikkan dengan sendirian. Ianya menuntut beberapa keperluan lain yang perlu dilaksanakan dan dipenuhi.

Dalam satu temubual, Dr. Sax menganjurkan beberapa syarat dan criteria bagi pelaksanaan system ini. Secara umumnya, guru-guru yang ditugaskan hendaklah terbukti berkemahiran dalam metode pengajaran satu jantina. Tambahnya lagi, pembabitan ibubapa secara langsung juga diperlukan bagi menjamin kejayaan system ini.

Selain itu, suasana bilik belajar haruslah bersesuaian. Pendek kata, segala hal yang yang berkaitan seperti cara komunikasi guru, pendekatan dan suasana pembelajaran mestilah bersesuaian dengan jantina sasaran.

Manusia diciptakan oleh Allah swt dengan fitrah semula jadi. Perempuan dan lelaki masing-masing mempunyai ciri dan dinamika tersendiri dan juga saling melengkapi. Perempuan secara UMUMnya berperawakan lebih lembut dan santun. Lelaki KEBIASAANnya pula lebih agresif. Walaupun ada pihak mendakwanya sebagai satu gender stereotype, tapi ini ialah hakikat yang sukar disanggah. Istilah ‘feminin’ dan ‘maskulin’ wujud disebabkan ini lah!

Oleh itu, cara-cara untuk berinteraksi dengan kaum Hawa semestinya berbeza jika dibandingkan dengan kaum Adam. Menggunakan cara perantaraan adam semasa berinteraksi dengan hawa, kalau berjaya sekalipun, tentulah gagal meninggalkan kesan yang mendalam. Dengan penjelasan inilah, system kelas satu jantina wujud dengan penuh relevan, sekurang-kurangnya sebagai alternative kepada system kelas konvensional yang sedia ada.


Dipetik daripada halaqah.net

0 ulasan:




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template