.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Rabu, 21 Januari 2015


Detik Kelahiran Anak Sulung : Catatan Seorang Suami


“Entah macam mana la aku nanti… risaunya! Aku dah la mabuk darah..huhu..” Sesekali aku melepaskan kerisauan yang berserabut di fikiranku pada rakan sepejabatku mengenangkan tarikh jangkaan isteriku bersalin lebih kurang seminggu sahaja lagi… “Jangan hang pengsan pulak Luqman oi…” Balas rakan pejabatku..
Waktu berlari membawaku melepasi jam 4.10 petang, sementara menanti waktu pejabat tamat jam 4.30 petang aku meneliti senarai kehadiran peserta program di daerah Hulu Perak baru-baru ini… Tiba-tiba telefon bimbitku berdering.. Kelihatan pada paparan skrin panggilan daripada PA (Partner Akhirat). “Assalamualaikum.. abang, keluar darah..” Risau aku berkemuncak. “Banyak ke sayang? Sakit tak? Tunggu abang balik sekarang..” Bagaikan terapung tubuhku, tidak berpijak pada karpet pejabat lagi.. Antara kerisauan yang membuak dan kegembiraan bakal menjadi bapa.. Aku pantas mengemas alatan pejabat dan mengapai kunci kereta…
………………………………………………………………………………………………..
Disebabkan horn kereta rosak, aku tak berupaya mengila memandu melanggar lampu merah seperti ketika aku menemani Arifahmi, rakan kampus sewaktu menghantar seorang muslimat ke hospital tengah-tengah malam yang mengalami masalah kesihatan dalam program mingggu suai kenal kampus.. Kecut perut aku dibuatnya… Pengalaman yang tak manis untuk dikongsi itu tak pernah aku lupa..
………………………………………………………………………………………………..
Kami tiba di perkarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh kira-kira jam 6.00 petang.. Kami tidak terus masuk ke dalam, sebaliknya berjalan-jalan dahulu di laman hospital sebagai ikhtiar supaya proses bersalin lebih lancar.. Sementara itu mulut isteriku tak pernah kosong dengan kurma dan ubat hemopati yang kami amalkan sejak di awal kehamilan lagi.. Usai menunaikan solat maghrib di surau hospital, kami mula masuk mendaftar.. “Saya nak temankan isteri saya waktu bersalin..” Bicaraku pada nurse yang menguruskan pendaftaran walaupun dalam hati mengerutu menantikan detik cemas itu.. Memikirkan betapa isteriku memerlukan aku di sisinya pada saat genting itu, aku gagahkan juga memenuhi permintaan isteriku untuk melalui saat itu bersama..
“Encik tunggu di luar dulu, doktor nak check jalan dulu… Kalau dah boleh masuk bilik bersalin nanti kami panggil encik..” Pinta nurse tersebut…
………………………………………………………………………………………………..
Jam di tangan telah menghampiri 10.00 malam, hati aku mula diburu kerisauan.. Telefon bimbit aku tak henti-henti menjerit.. Sekejap ada orang call, sekejap ada sms.. Sesekali aku memaksa roti ke mulutku agar bertenaga dek hanya berbuka puasa dengan kurma dan air mineral sahaja tadi.. Seleraku mati dirobek kerisauan…“Dah dekat 2 jam kat dalam.. nurse tak panggil aku ke..? Isteri aku tengah bersalin ke..?” Mindaku terus diasak-asak.. Aku mundar mandir di hadapan pintu kaca yang memisahkan ruang menunggu.. Walaupun aku boleh menenangkan diri dengan memenuhi hobi membacaku, namun aku tinggalkan segala bahan bacaan di dalam kereta agar aku tidak selesa menunggu diluar membiarkan isteriku sendirian kesakitan di dalam..

Aku bangkit masuk ke kaunter dek tidak tahan lagi bersabar menunggu tanpa khabar… “Nurse, isteri saya masuk dalam pukul 8.00 tadi.. Macam mana keadaan isteri saya?”. Hati aku meminta penjelasan…
“Maaf encik, kitaorang tengah sibuk… Tunggu kejap lagi.. Kitaorang tengah ada bla..bla..bla…” Kasar nada jawapannya dengan wajah yang agak stress dan aku hilang fokus pada alasannya. Aku kembali duduk untuk cuba memahami kesibukan mereka yang bertugas di situ.. Sekejap doktor berlari ke sana ke mari.. Sekejap nurse ke sana ke mari… Ada juga pesakit yang datang dengan darah yang mengalir membasahi lantai.. Disebabkan itu aku hanya bertanya selepas 2 jam isteriku masuk tanpa khabar susulan… Aku terus mundar mandir dan sesekali berubah tempat duduk membetulkan lenguh badan sambil memerhatikan gelagat manusia sekeliling.. Ada yang dah terbaring atas kerusi, ada yang menunggu macam rombongan pengantin,riuh rendah dengan kerenah kanak-kanak.
Kira-kira setengah jam kemudian, aku dipanggil masuk dan kelihatan kelibat isteriku setia menanti berpakaian hospital… “Doktor cakap, dah 4cm bukaan pun sayang masih boleh senyum lagi..hehe..” Aku tekun mendengar dan melayan perkongsiannya walau hatiku diombak kerisauan… “Tadi ada doktor lelaki Cina nak check tapi sayang cakap dah ada doktor perempuan check tadi… So, doktor tu tak jadi check..”  Pertemuan itu berakhir seketika seusai aku meninggalkan sedikit bekalan makanan dan barangan bayi kepada isteriku sementara menunggu bukaan lebih besar lagi.. Aku sekali lagi menjadi penghuni setia ruang menunggu…
………………………………………………………………………………………………..
Walaupun telah mengenakan jaket, sejuk aircond yang mengigit tulang tubuhku masih terasa.. Ruang menunggu semakin lengang, yang tinggal hanya suami-suami yang ‘kehilangan’ isteri.. Ada ketika aku bertegur sapa dengan mereka… Mendengar perkongsian kisah-kisah mereka.. Seketika aku terlelap terduduk… Aku menunggu dan terus menunggu.. Televisyen yang tadi memecah kesunyian ruang menunggu juga telah ditutup membiarkan kami sang penunggu diulit sepi… Jam kini telah melangkau 1.20 pagi… Tiba-tiba aku ternampak kelibat isteri ditolak berkerusi roda melintasi ke pintu sebelah.. Debaran itu semakin kuat dirasa… Aku mula tidak senang duduk… Kira-kira 10 minit kemudian nurse muncul disebalik pintu kaca itu… “Suami kepada Puan Umairah…” Panggilan nurse itu pantas ku jawab lalu aku bingkas bangun.. Aku kemudiannya dibawa ke bilik bersalin…
Setibanya aku di bilik bersalin, kelihatan ada 2 orang nurse di sisi isteriku yang sedang menderita menahan sakit… “Sekarang baru 6cm, doktor cakap kena tunggu buka sikit lagi baru boleh teran…” Jelas isteriku kepada aku.. “Abang…tadi masa kat diorang letak kat dewan bersalin… ada akak tu bersalin sebelah sayang (dipisahkan dengan langsir)..  Takutnya dengar akak tu bersalin…” Lontaran ketakutan itu cuba ku jinakkan dengan bicara yang tenang… Sesekali dia tenang terbaring tapi sakit yang kerap menyerang lebih akrab menemani kami malam itu… Deritanya isteriku hanya Allah yang tahu.. Doa dan zikir senantiasa membasahi bibir… Malam itu terasa amat panjang untuk dihabiskan detik-detik masa… Sesekali doktor datang melakukan pemeriksaan.. Setiap kali itulah aku difahamkan belum ada tanda-tanda boleh bersalin… Kami masih perlu menunggu.. Ada ketika kedengaran kata-kata semangat doctor dan nurse dari bilik sebelah… “Kuat lagi…kuat lagi… Awak kena buat macam ni..” Yang akhirnya disusuli dengan tangisan bayi.. Psikologi isteriku pastinya sedikit terganggu dengan jeritan kesakitan pesakit lain.. Sekali lagi sang suami perlu berperanan menenangkan… Kedinginan aircond yang merajai bilik bersalin itu memaksa isteriku berselimut  sehingga 3-4 lapis selimut.. Sesekali aku terlelap di sisi katil.. Namun jika dihitung lenaku keseluruhan malam itu tidak lebih dari setengah jam sahaja…
Masa kini merangkak merapati lebih kurang jam 5.00 pagi.. “Aku makan la roti tu… Nanti penat puasa kalau tak sahur..” Entah kali ke berapa isteriku memujuk seleraku yang hilang… Tika sahur dihujung waktu itu aku memaksa menolak-nolak roti sejuk dan kurma ke mulut… Tiba-tiba seorang nurse muncul di pintu bilik… “Encik…sekejap lagi encik boleh solat subuh di surau (di ruangan menunggu), dalam pukul 6.30 pagi lebih kurang doktor nak check… Kalau kami tak panggil encik pukul 8.00 pagi, encik minta je kat kaunter untuk masuk..” Pinta nurse itu menagih tindakan susulanku dan dia terus berlalu meneruskan tugasannya yang lain… Aku kebuntuan memujuk isteriku, meyakinkannya aku akan kembali sepertimana dipinta nurse tadi.. Isteriku berkeras tidak mahu ditinggalkan sendirian.. Aku akhirnya akur dengan keperluanku untuk setia di sisi isteriku.. Bersolatlah aku di dalam bilik bersalin…
…………………………………………………………………………………………

Kesakitan terus menerus mengasak susuk lemah isteriku yang sejak malam tadi lagi… Doktor memberikan isyarat bahawa proses seterusnya boleh dimulakan… Dengan dibantu lebih sepuluh bahkan mungkin belasan orang nurse wanita, membantu memotivasikan isteriku.. Ada yang mengajarkan berselawat, berzikir dan seumpamanya.. Ada yang memperbaiki kaedah-kaedah proses kelahiran agar lancar… Akhirnya setelah berhempas pulas sehabis kudrat menyempurnakan fitrah melahirkan seorang cahaya mata, kira-kira jam 9.04 minit pagi bertarikh 4 Julai 2014 lahirlah seorang zuriat lelaki yang kami namakannya Muhammad Mujahid bin Mohamad Luqman. Alhamdulillah…



Ketika Aidilfitri 1435H/ 2014M

0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template