.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Rabu, 26 Mei 2010

Kuasa Politik & Kuasa Agama

0 ulasan

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’ atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau ‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ’senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teks al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w:

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w:

“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya…

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…

Dipetik daripada drmaza.com

Jom!! Semak Arah Kiblat Dengan Kaedah Paling Tepat!!!

0 ulasan

Istiwa Matahari atas Kaabah

[ DISKUSI ] Sekali lagi matahari dan bumi berada pada kedudukan yang cukup unik, dan sudut yang cukup tepat dan sesuai bagi umat Islam untuk menyemak kembali arah kiblat kita.Pada jam 5.16 PM , 28 Mei 2010 nanti (Jumaat ini), Matahari berada tegak di atas Kabaah di Masjidilharam Mekah.

Fenomena yang dikenali sebagai istiwa matahari ini merupakan satu anugerah Allah SWT yang diberikan kepada manusia di Bumi untuk kembali mengingati kebesaran dan kekuasaanNya mentadbir pergerakan apa yang ada di langi dan bumi untuk kegunaan manusia umumnya.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal""(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

(Surah Al-Imran: Ayat 190-191). RujukanTafsir Qur'an Per Kata: Dr.Ahmad Hatta, MA.

Ada yang bertanya, mengapa bersusah-payah berjemur tengah panas mencari kedudukan kiblat, lebih baik guna kompas.

Jawapan agak mudah. Kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi. Namun, jika ada sumber medan magnet yang berdekatan (seperti besi, tv dll) , penunjuknya akan terpesong dan menunjuk ke arah lain. Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun.

Ini semua kerana jaminan Allah SWT yang telah diberikan dalam ayat Quran di bawah:

“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari kedua-duanya itu beredar (yasbahun) dalam falaknya.” (Surah al-Anbiya: 33)

“Dan bukan matahari mendahului bulan dan bukan juga malam mendahului siang. Mereka beredar (yasbahun) dalam falak sendiri.” (Surah Yaasin: 40)

Maka itu, buanglah perasaan ragu-ragu anda. Teknologi yang sedia ada ini semuanya berasal daripada keadah ukuran yang dibuat oleh ilmuwan terdahulu.

Dr.Baharuddin Zainal (UDM) menjelaskan di dalam artikel "Arah Kiblat: Isu Istiwa Adzam" di laman web UDM, bahawa kaedah falak tradisional ini lebih 'mesra pengguna', dan mudah untuk dipraktikkan. Malah kaedah istiwa matahari ini telah diketahui lebih 3000 tahun dahulu!

Kembali kepada fenomena yang akan berlaku Jumaat ini, tepat pada jam 5.16 PM, matahari akan bergerak dan berada pada kedudukan tepat di atas Kaabah. Jika kita berpeluang berada di Masjidilharam ketika itu, kita akan lihat Kaabah (serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya, seolah-olah tidak ada bayang-bayang.Ketika itu, waktu di Mekah ialah 12.16 tengahari.

Oleh itu, pada saat itu, jika kita di Malaysia pandang ke arah matahari, bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

Cara untuk menentukan kedudukan ini ialah dengan menggunakan bayang-bayang tiang atau dinding bangunan atau apa-apa yang tegak 90 darjah sebagai panduan. Garisan bayang-bayang yang terhasil akan terarah tepat ke Mekah.

Pada tahun 2007, saya telah menghantar sebuah powerpoint menunjukkan kaedah mudah menentukan arah kiblat tersebut. Alhamdulillah, saya dapati selepas itu, ia telah ditukar format di PDF oleh hamba Allah yang tidak diketahui dan tersebar luas dari tahun ke tahun. Semoga Allah SWT merahmati usaha sesiapa sahaja yang menyebarkan maklumat itu untuk kebaikan semua.

Jika berminat, boleh juga muat turun di SINI.

Bahkan telah dimuatkan juga sebelum ini secara ringkas dalam blog ini di SINI dan SINI.

Oleh itu, jangan berlengah lagi. Jom kita periksa sekali lagi arah kiblat pada 28 Mei ini.

NOTA: Fenomena yang sama akan berulang pada 16 Julai 2010, jam 5.28 PM.Wallahualam




Dipetik dan diubahsuai daripada Falak Online

Isnin, 24 Mei 2010

Selamat Jalan Pak Long... Kami Bakal Menyusurimu...

0 ulasan
Arwah Pak Long Huri (paling kanan) bersama saudara mara ku... satu-satunya gambar arwah yang ada dalam simpananku...


Hatiku berbungga berjaya menyiapkan tugasan yang diamanahkan Ust Zulqarnain setelah lebih 4 hari bertungkus lumus bersama barisan sahabat…

Begitu lapang rasanya dada…

Langkah ku atur bertenaga menuju ke Masjid Kampung Laut untuk bersama para jemaah lain menunaikan kewajipan asar petang itu…

Sedang hampir menyempurnakan wudu’, handphone di dalam poket seluarku mengelupur tanpa suara meminta-minta dijawab panggilan…

Ku gapai seketika.. Bimbang jika ada urusan kecemasan…

Terpapar nombor 019-90088** yang memang tidak asing bagiku..

Tidak perlu untuk disimpan nama pemilik nombor itu kerana ianya telah tersemat di minda…

Panggilan daripada ayahanda…

“Barangkali ayah call semula setelah semalam panggilanku tak dijawabnya..” Fikirku cubaanku menghubungi ayah untuk bertanyakan khabar Pak Long Huri yang kemalangan semalam…

Ku biarkan handphone itu menyepi sendiri..

“Lengkapkan berwudu’ dulu..” getus hatiku..

Sekali lagi handphone di dalam poket seluarku tidak senang duduk..

Lantas panggilan itu dijawab…

“Assalamualaikum… Man.. ayah ni..” suara garau dihujung talian memperkenalkan diri..

“Waalaikumussalam… Ye.. Kenapa ayah?” Soalku pantas yang memang tidak banyak berceloteh dengan ayahanda…

“Erm…Pak Long Huri… Pak Long dah habis nyawa..” Terang ayahku..

“Innalillahi wa inna ilaihi…..” kata-kata itu terbit tanpa dipinta berpenghujung lafaz agak lemah…

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Penghujung asar itu.. saat mengaminkan doa bersama jemaah lain.. Wajah Pak Long Huri berkali-kali menerjah mindaku… Mengusik hati ini..

Dia antara orang yang kukagumi..

Perjuangan bersama PAS tetap utuh walau pernah ditukarkan jauh ke Manjung berpisah dengan keluarga kerana aktif dalam PAS….

Kisah-kisah silamnya acap kali juga dikongsikan bersama ketika zaman arwah dalam Pemuda PAS Kawasan… Begitu mengujakan…Bercakap soal pembinaan diri sebagai mujahid dan seumpamanya.. Arwah tak lokek bercerita bahkan turut berceloteh kebiasaannya seusai solat maghrib…

Bahkan arwah turut banyak membantu kami (BAKRIS) bermula awal penubuhan sehingga kini.. sokongan dan dorongannya terlalu beerti…

Waktu antra maghrib dan isyak begitu terisi dengan kehadirannya beserta Pak Ngah Radzi dan Pak Cik Min… Mereka bagai murabbi kami anak-anak muda di desa…

Paling terkesan di hatiku sehingga kini adalah cadangannya supaya penulis mengendali dan menyeliakan usrah anak-anak muda di desa tidak terlaksana..

“Mai la….kita pakat-pakat buat usrah… tumpu kat anak-anak Air Terap dulu peringkat awal ni takpe…” Cetus arwah lalu dilontarkan kepadaku dan Imran, sepupuku…

Imran memandangku dan begitulah jua ku…

“InsyaAllah… Pak Long la naqib ye.. hehe..” pantas aku galaskan tanggjawab yang hampir dititipkan buatku dan Imran kepada arwah Pak Long… Mengelak..

“Ish! Pak Long dah tua dah… mata pun tak berapa nampak… Mika (kamu semua) la… Pak Long boleh turut tengok dan tegur je la…”

“Sayang kalau kita biar budak-budak ni.. adik-adik mika jugak…”

Perbualan ini masih baru.. kira-kira semasa awal cuti semester baru-baru ini..

Bukanlah tidak ingin mengendalikan usrah.. tetapi faktor jarak dan masa begitu membatasiku… jarang benar diri ini pulang ke desa.. tuntutan tanggungjawab di kampus bagai merantai jasad ini di sini…

Pernah dahulu cubaan dilakukan usrah, namun terputus-putus dan tidak lama memandangkan masing-masing sedara mara belajar jauh..

Meskipun merah mata ini tidak kelihatan lagi, pedihnya masih terasa…

Kehilangannya begitu terkesan padaku sekalipun dia adalah sepupu kepada ibuku.. Hubungan kekeluargaan kami agak rapat.. Tidak seperti sesetengah orang yang sudah tidak mengenali sepupu mereka…

Pemergiannya akibat kemalangan jalan raya semalam lalu dipanggil Ilahi sekitar hampir waktu asar tadi pastinya menghilangkan seri kampung ini..

Dalam parti.. pemergiannya pasti dirasai apatah lagi beliau merupakan Setiausaha PAS Kawasan Gerik yang juga mantan YDP PAS Kawasan Gerik… Nama Hj Ahmad Damanhuri amat tidak asing lagi…

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Kepada ahli keluarga dan semua saudara mara… Ayuh! Kita sematkan kesabaran dan keredhaan atas kehendak-Nya ini.. InsyaAllah mudah-mudahn kita akan berada dari kalangan hamba-hambaNya yang sabar…

Memberontak atau menafikan ketentuan-Nya ini hanya akan menambah rugi buat kita bahkan murkaNya..

M.Long, Abg Yeh, Kak Dayah, Kak Elie, Mina dll… Eratnya kasih Ilahi pada kalian kerana menguji kalian dengan orang yang rapat dengan kalian apatah lagi beliau ialah ketua keluarga… InsyaAllah.. Besar ganjaranNya..

Maaf juga kerana Man tak dapat pulang jenguk… Man dah berusaha untuk pulang, tapi gagal… Man di sini diuji dengan sedikit musibah yang menggagalkan usaha Man untuk pulang…

Pak Long… Mudah-mudahan Pak Long tenang di sana bersama-sama orang yang soleh..

InsyaAllah suatu hari nanti Man akan membimbing usrah.. tapi Man tak berani janji bila, di mana dan siapa mereka yang akan bersama….

Man sedih sangat.. tak sangka mudah juga rupanya air mata ni mengalir..

Pertama kali rasanya Man menangisi sebuah perpisahan yang pasti seperti ini…

Man di sini dah usahakan semampu Man untuk Pak Long..

Pasti Pak Long tau apa yang kami dah buat di sini atau mungkin Pak Long akan diberitahu kelak…

Nukilan Hati

Yang bakal menuruti jejakmu..



Sabtu, 22 Mei 2010

Pesanan Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi Buat Para Mujahid

0 ulasan

“Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdullillah hi wassalatu wassalam ala sayidina Muhammad Rasullullah saw.
“Marilah kita sama-sama menganalisakan nota-nota ini:

Pertama sekali Jihad Fi sabillilah bukanlah peperangan yang biasa, tetapi sesuatu yang dilakukan dengan niat yang khas dan untuk suatu sebab yang tertentu. Jihad bermakna berjuang pada jalan Allah, mempertahankan agama-Nya dan menghadapi musuhmusuhNya, bukan hamba-Nya. Apabila Rasulullah saw ditanya oleh seorang lelaki yang bertempur dengan matlamat membalas dendam saudaranya, serta seorang lagi lelaki yang bertempur hanya untuk disanjungi ramai (dianggap berani). Pemuda yang ketiga bertempur hanya untuk
mengumpulkan kekayaan; yang mana satukah di antara mereka akan menerima ganjaran Allah swt? Maka Rasulullah saw menjawab,

“Yang bertempur untuk “meninggikan” kalimat Allah (mentauhidkan Allah), dianggap sebagai seorang yang berjuang pada jalan Allah.”

Berdasarkan apa yang telah disebut, kita sebagai orang Islam tidak harus terlalu mementingkan hal duniawi; perbuatan yang kita lakukan haruslah semata-mata kerana Allah swt. Kita harus melalui beberapa peningkatan disiplin kerohanian melalui pendidikan Islam dapat membersihkan agama Allah swt dan sebagai ganjaran, Allahswt akan membersihkan kita untuk agama-Nya.

Kedua, adalah ganjaran duniawi atau pun keuntungan, di mana seorang Mujahid memperolehi kemenangan dan kebolehan untuk berjaya dalam kehidupan. Penganut–penganut yang alim akan mendapat manfaat daripada ganjaran duniawi ini; mereka berhak mendapatkannya dalam perjuangan mereka di jalan Allah swt, tanpa menghiraukan segala kehilangan yang mungkin dihadapi. Ganjaran yang diterima mereka amat lumayan sekali. Golongan yang sebegini telah disebutkan Allah di dalam Al-Qur’an:

الَّذِين أُخْرجُوا مِنْ دِيَا ِرهِمْ ِبغَيْر حَقٍّ ِإلاَّ َأ ْن يَقوُلوا رَبُّنَااللهُ وَلوْ َ لا دَفْعُ اللهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ ِببَعْض َلهُدِّمَتْ صَوَامِعُ

وَبيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجدُ يُذْكرُ فِيهَا اسْمُ اللهِ َ كثِيرًا وَليَنْصُرَنَّ اللهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ِإنَّ اللهَ َلَقويٌّ عَزِيزٌ.

َالَّذِينَ ِإن مَّكَّنَّاهُمْ ِ فى ْالأَرْض َأَقامُوا الصَّلَوَة وَءَاتَوُا الزَّكَوَة وَأمَرُوابالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَن الْمُنْكِر وَللهِ عَاقِبَةُ ْالأُمُور


“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al-Hajj :40-41)

Dalam ayat yang telah disebutkan di atas, dapat difahami bahawa Allah swt mendorong kita untuk menentang
pencerobohan dan mempertahankan peraturan yang telah diatur oleh para nabi yang diutuskan sebelum Nabi
Muhammad saw. Dalam ayat yang lain, Allah swt melarang kebinasaan
sepertimana firman-Nya yang berbunyi :

وَ َلا تُلْقوا ِبَأيْدِيكمْ ِإلى التَّهْلُكةِ وَأحْسِنُوا ِإنَّ اللهَ َ يُحِبُّ
الْمُحْسِنينَ


"Dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukaimereka yang berbuat baik." (al-Baqarah :196)

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ليَسْتَخْلِفنَّهُمْ ِ فى ْالأَرْض كمَا اسْتَخْلفَ الَّذِينَ مِنْ َقبْلِهمْ
وَليُمَكِّنَنَّ َلهُمْ دِينَهُمُ الَّذِى ارْتَضَى َلهُمْ وَليُبَدِّلنَّهُمْ مِنْ
بَعْدِ خَوْفِهمْ َأمْنًا يَعْبُدُونَنى َ لا يُشْرِكون ِ بى شَيْئا وَمَنْ كَفرَ بَعْدَ َذلِكَ فَأوَلئِكَ هُمُ الْفاسِقون


“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (an-Nurr : 55)

Ketiga, Allah swt tidak akan memberi kekuasaan kepada seseorang itu kecuali dia telah mengalami pelbagai kesengsaraan, rintangan dan kesusahan. Allah swt berbuat demikian untuk menguji keikhlasan mereka dan untuk membezakan antara yang baik dan yang jahat. Ini merupakan ujian yang dilalui oleh seseorang; dan dengan menjalani ujian ini, ia dapat mengeratkan lagi perhubungan itu dengan Allah swt. Ini merupakan suatu pelajaran di mana setiap rasul harus pelajari dan ia juga adalah suatu pelajaran bagi mereka yang berjuang setiap zaman.

Imam As-Syafie pernah ditanya tentang manakah yang lebih baik antara kesengsaraan dan kejayaan; Dia menjawab:

"Bolehkah kejayaan itu dikecapi tanpa kesengsaraan?"

Allah swt telah menguji Nabi Yusuf a.s. kemudian menyelamatkannya daripada kesengsaraannya; Allah swt juga telah mengangkat kedudukannya dan menepati janjiannya. Sebagaimana yang diterangkan:-

وَكذلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ ِ فى ْالأَرْض يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاءُ
نُصِيبُ ِبرَحْمَتِنَا مَنْ نَشَاءُ وَلا نُضِيعُ َأجْرَ الْمُحْسِنينَ

“Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Yusuf : 56)

Kejayaan serta ganjaran dunia yang dicapai tanpa keringat tidak akan berkekalan. Tetapi, perjuangan yang ditempuhi dengan penuh keteguhan oleh hamba-hamba Allah swt dengan penderitaan, kesedihan dan kesabaran yang mereka lalui akan menyelamatkan mereka daripada kebimbangan mereka dan diakhiri dengan kemenangan.
Wallahu a’lam”

p/s: Terjemahan petikan Fatwa – ‘Disiplin Kerohanian: Prasyarat untuk Jihad’(Dr. Yusuf al-Qaradawi) dari Fatwa Bank.
http://www.islam-online.net/fatwa


dipetik daripada oasislam.blogspot.com


FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template