
.: Anda Suka Blog Ini? :.
.: Komentar Warga FB :.
Isnin, 11 Julai 2011
Ahad, 26 Jun 2011
BERSIH 2.0: Sasterawan Negara dipanggil Polis!!

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.
The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu.
Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih”.
Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat “Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/”.
Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau.
Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi.
Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini.
Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno.
“Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini),” kata beliau dalam mesej Twitternya.
Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis.
“Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!,” kata beliau dalam mesej Twitternya.
Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa “murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.”
“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.
Beliau seterusnya berkata, “kenapa kita tidak boleh memperbaiki situasi?”
“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni,” kata Samad lagi. -TMI
Unggun Bersih →
Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.
“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.
Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.
Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam.
Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.
Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.
Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.
Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.
Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.
Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.
Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”
Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”
(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).
Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID
Dipetik daripada azmieyusoff.blogspot.com
Khamis, 23 Jun 2011
Nota Penting Untuk Semua Peserta BERSIH 2.0

Nota tersebut adalah panduan anda semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.
Tuntutan Bersih 2.0:
- Pendaftaran automatik
- Reformasi undi pos
- Penggunaan dakwat kekal
- Akses kepada media
- Masa berkempen minima
- Pengukuhan perbadanan awam
- Hentikan rasuah

BERSIH 2.0 has been actively advocating for electoral reform but our demands have fallen on deaf ears. Bersih 2.0 feels that, the time has come for those mandated to administer the nation to “listen to the voices of the rakyat”. There is a clamour worldwide for greater democratisation of societies and we would invite those in power to heed those voices.
Perhimpunan Bersih 2.0 is threefold: to further press for the rakyat’s demands for electoral reform, strengthening of public institutions, and to take a stand against widespread corruption at all levels of society. We would like to emphasise that this initiative is spearheaded purely by civil society with every intention of inviting all political parties to join forces with the rakyat to promote and uphold democracy in this country.
Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk mereformasikan pilihanraya.
Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.
*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan *
- Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
- Duit-maksimum RM100 sahaja.
- Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0
- Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
- Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya boleh digunakan.
- Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
- Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
- Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
- Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
- Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
- Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
- Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
- Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
- Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com
*Perkara yang tidak dibenarkan*
- Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
- Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
- Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
- Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
- Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya.
- Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
- Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.
- Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
- Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
- Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
- Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
- Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
- Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.
*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan*
- Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
- Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
- Pastikan anda telah menunaikan 'hajat' sebelum memasuki perhimpunan.
- Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
- Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
- Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
- Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
- Jangan lupa *charge* bateri handphone dan kamera.
- Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan -- Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
- Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
- Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
- Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
- Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula.
- Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik.

*Semasa perhimpunan dan perarakan*
- Ikutilah arahan dari Unit Amal atau *Field Commander* sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada *Field Commander*
- Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan *Field Commander*.
- Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
- Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
- Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
- Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
- Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
- Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
- Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
- Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
- Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
- Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
- Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
- Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
- Rakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.
- Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.
*Selepas perhimpunan*
- Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
- Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan.
- Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan bantuan daripada Unit Amal.
- Jangan tinggalkan apa-apa sampah di tempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
- Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
- Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.
*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 2.0 buat Provokasi*
1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan *Field Commander* Unit Amal.
2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
3. Jangan hampiri mereka.
4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.
*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan*
- Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
- Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan meriam air.
- Duduk jika pimpinan arahkan.
- Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning.
- Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
- Ambil gambar mereka jika sempat.
- Buat laporan Polis jika anda dikasari.
*Apa yang anda perlu buat jika ditahan*
- Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
- Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
- Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
- Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawab dengan ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
- Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab "Masih tengah cari kerja" atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai pelajar. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
- Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
- Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu di luar balai jika anda ditahan.
- Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab "saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja". Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
- Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah terpedaya bila mereka berlembut.
- Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
- Jangan terlalu risau kerana di luar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.
*Apa yang anda buat selepas dibebaskan*
- Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
- Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
- Buat laporan Polis jika anda diberi layanan kasar semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
- Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
- Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
- Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
- Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
- Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
- Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
- Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
- Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.
*Perhatian!*
- Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
- Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
- Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
- Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini
Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.
Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan dan proces implementasi negara kita.
Perhimpunan Bersih berjaya pada 10 November 2007 kerana ketabahan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihanraya, mengkukuhkan perbadanan institusi dan hentikan korupsi.
Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada *Field Commander* atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.
Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.
Sumber DI SINI
Selasa, 31 Mei 2011
~ LELAKI ~
Sabtu, 7 Mei 2011
Himpunan Planet Sepanjang Mei 2011!!

Ok, ok, tajuk itu bunyi macam iklan pulak.
Tapi iklan atau tidak, ia merupakan 'amaran' awal kepada fenomena menarik yang bakal berlaku sepanjang bulan Mei 2011 ini nanti. Ia saya ulangi, SEPANJANG bulan Mei, bukan satu dua hari sahaja!
Kali ini, kita akan disajikan dengan himpunan planet-planet utama (kecuali Zuhal) di dalam kawasan langit yang sama pada awal pagi sepanjang bulan Mei ini. Himpunan planetari kali ini akan melibatkan planet Zuhrah, Utarid, Musytari dan Marikh. Dalam pada itu, Bulan pun akan turut sertai bersama-sama geng planet ini.
Cuma Zuhal je tak masuk dalam senarai kerana ia sekarang berada di langit petang.Kesian kat dia.
Kejadian ini akan berlaku pada awal pagi, sekitar selepas waktu Subuh.
Kawasan langitnya ialah sebelah Timur.
MUAT TURUN PETA BINTANG FENOMENA INI DI SINI
Berdasarkan kiraan beberapa perisian astronomi yang ada, kita boleh lihat bahawa keempat-empat planet ini akan berkumpul di dalam satu kawasan langit, seolah-olah berhimpit-himpit di dalam satu lorong yang sempit. Yang menariknya ialah, kesemuanya senang untuk dilihat dan tidak memerlukan teleskop untuk melihatnya. Hanya dengan menggunakan mata kasar, anda akan disajikan dengan objek-objek cakerawala berenang-renang di angkasa raya!
Fenomena ini juga akan menunjukkan dengan jelas bahawa planet-planet sentiasa berubah-ubah kedudukannya di langit, berbanding dengan bintang-bintang yang ada disekelilingnya.
Jika anda lihat betul-betul, anda akan dapati planet Zuhrah (Venus) dan Utarid akan bergerak perlahan-lahan merapati ufuk langit, manakala Musytari dan Marikh akan semakin tinggi setiap hari. Bulan pula bergerak laju ke arah timur.
Semua pergerakan ini akan dapat dilihat jika anda mencerapnya setiap hari. Jangan pula anggap dengan mencerap pada satu hari tu, tiba-tiba anda dapat lihat planet itu bergerak-gerak ke atas atau ke bawah! Pergerakan objek-objek ini amat perlahan dan dengan hanya pemerhatian setiap hari sahaja yang dapat menunjukkan pergerakannya di langit.
Lebih menarik lagi, gunalah kamera DSLR yang anda ada tu, dan rakamkan fenomena ini. Ia amat mudah dirakam dan tidak perlu guna zoom lens. Kanta standard 18mm pun sudah memadai. Anda hanya perlu bermain-main dengan waktu dedahan dan aperture sahaja. ISO kekalkan sekitar 200 atau 400 kalau nak nampak cantik dan kurang noise.
Jika anda dah ambil gambar, jangan lupa kongsikan bersama-sama di FalakOnline!
Selamat Mencerap dan Jom Teropong!
Sumber drp Falak Online
Ahad, 1 Mei 2011
Berbalas Sumpah Laknat-Ust Zaharuddin

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat-syarat tertentu, bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya. Apabila itu dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan inti yang dikatakannya kepada Allah. Tindakan itu menjadikan inti yang didakwa atau bantah itu mempunyai suatu ‘weight’ menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh di dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat umat Islam.
Ramai yang bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang-orang politik dengan bermotifkan politik tentunya. Sebenarnya, eloknya sokongan yang diinginkan tidaklah digunakan mana-mana kaedah-kaedah Islam sebagai platformnya. Ada yang berusaha untuk menjadikan satu peraturan dalam hukum Islam iaitu sumpah dengan nama Allah sebagai senjata dalam politik kepartian. Bagi saya,itu kurang sihat.
Bagi mereka yang sudi membaca dan menyelak lembaran artikel ini, saya nasihatkan agar membaca dengan tenang sehingga habis sebelum membuat sebarang tanggapan dan komentar. Itu perlu bagi mendapatkan gambaran jelas kandungan artikel ini.
WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?
Kembali kepada isu terkini iaitu ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Dato’ Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya.
Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.
Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-
1. TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.
2. TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur 6-7)
Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.
3. MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-
فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت
Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)
Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).
Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi’e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)
Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li’an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.
4. Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.
WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH
Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.
Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?
KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH
Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah. Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-
Hadis Nabi :-
لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر
Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kaedah Fiqh :
الأصل برآءة الذمة
Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.
Dan satu lagi kaedahnya :
اليقين لا يزول بالشك
Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.
Juga satu prinsip yang berbunyi
ان الشك يفسر لمصلحة المتهم
Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)
Berkata Az-Zubaydi
قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك
Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi, Taj Al-Urus)
AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.
Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :
1. Zina dan liwat
Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.
2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.
Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.
3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan
Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.
4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah
Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.
Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-
- IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w
- EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.
LEPAS ‘BAYYINAH’, BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN
Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.
Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)
BAGI KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)
Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-
a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah.
b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana ‘bayyinah’ belum dikemukan oleh pendakwa.
c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato’ Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.
d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.
e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. JUSTERU...
MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam perskitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan
Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat ‘atas pagar’.
Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.
KESIMPULAN
Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa.
Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.
Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan.
Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan ‘al-Yamin al-Ghamus’. Ditanya kepada Nabi apakah ‘Al-Yamin Al-Ghamus’ itu, baginda menjawab :
وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب
Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)
Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).
Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
2 Mei 2011
Isnin, 25 April 2011
Khamis, 21 April 2011
Melukis Menggunakan Pasir
Yang pasti jangan kita lupa semua ini dek adalah kerana hebatnya anugerah akal ciptaan Allah untuk kita...
Lukisan Cahaya
Rabu, 13 April 2011
10 Tips Untuk Tingkatkan Metabolisma Dalam Badan

Ramai yang mengalami masalah berat badan. Bagi mereka yang obese, adalah metabolisma mereka lebih rendah berbanding mereka yang lebih kurus? Hmmm mungkin tapi tahukah anda apa itu metabolisma?
Metabolisma adalah jumlah keperluan tenaga atau kalori untuk fungsi asas badan anda. Pada setiap masa, samada tidur, senaman, mandi dan lain-lain, badan sentiasa membakar kalori. Metabolisma badan anda menentukan penggunaan tenaga badan. Tahukah anda kadar keperluan kalorie seharian anda? Ia tidak sama bagi semua. Ia bergantung kepada umur, jantina, berat badan, tinggi dan kadar aktiviti anda. Kalau nak belajar dengan lebih lanjut, dapatkan melalui eBook ini.
Tip-tip untuk Tingkatkan Metabolisma
Baiklah. Walaupun kadar metabolisma harian badan ataupun BMR (basal metabolic rate) adalah tetap, anda masih boleh amalkan tip-tip berikut untuk naikkan metabolisma badan anda.
-
Makan 5-7 hidangan kecil setiap kali anda makan, sistem penghadaman badan perlu bekerja. Jadi dengan memakan lebih kerap dengan kuantiti yang lebih sederhana, metabolisma badan akan naik. Kalau tidak, metabolisma badan akan menurun dan anda cepat rasa penat dan lesu (seperti bulan puasa).
-
Angkat berat! Tahukah anda bahawa otot membakar lebih kalori setiap hari berbanding lemak? Yup. Jadi katakanlah ada dua insan yang mempunyai jantina, tinggi, umur dan berat yang sama. Tapi seorang mempunyai lebih otot manakala seorang lagi lebih lemak. Siapa akan mempunyai metabolisma yang lebih tinggi? Sudah tentu yang lebih otot! Jadi mulakan senaman angkat berat anda hari ini. Tak kiralah di rumah ataupun di gym!
-
Makanan pedas. Hmm walaupun saya sendiri kurang gemari makanan yang pedas, ayam masak chili dan lain-lain boleh membantu tingkat metabolisma badan. Tapi jaga-jaga dengan pengambilan kalori. Jangan terlebih.
-
Coffee atau caffeine. Tahukah kenapa anda rasa segar dan lebih fokus selepas minum kopi? Ini kerana caffeine dalam kopi meningkatkan metabolisma dan justeru bakar lebih kalorie. Tapi jangan terlebih pulak, nanti susah. Baca disini mengenai baik-buruk coffee dan caffeine.
-
Minum air mineral. Metabolisma badan perlukan banyak air untuk berfungsi dengan baik. Malah air tidak mengandungi apa-apa kalori dan tidak boleh menambahkan berat badan untuk jangksa masa panjang.
-
Makanan tenaga tinggi. Tingkatkan pengambilan makanan bertenaga tinggi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan karbohidrat kompleks.
-
Pastikan kuantiti pengambilan protein cukup. Protein mempunyai rantai kimia yang komplex yang perlukan 30% daripada jumlah kalori sebelum dihadamkan. Contoh: sekiranya anda nyahkan 100 kalorie protein, 30 kalori akan digunakan untuk menghadamkan makanan berprotein tersebut.
-
Elakkan makanan ringkas. Makanan kompleks seperti roti perang, kacang lebih baik. Kenapa? Kerana untuk menghadamkan makanan kompleks, ia perlukan lebih banyak tenaga berbanding makanan ringkas seperti roti putih, gula-gula dan lain-lain.
-
Kardio! Sudah tentu senaman kardio seperti jogging, badminton, berjalan dll dapat membantu tingkatkan keperluan kalori (tenaga) badan dan sekiranya keperluan tenaga badan mengingkat, metabolisma anda akan mengingkat. Amalkan paling kurang 20minit kardio 2-3x seminggu.
-
Suplemen pembakar lemak (fat burner). Pernahkah anda tahu bagaimana suplemen pembakar lemak itu berfungsi? Hmm dan kenapa pulak "bakar" lemak? Kandungan utama kebanyakkan pembakar lemak popular di Malaysia dan dunia seperti Lipo6, JusMate5, Hydroxcut dan lain-lain adalah guarana, caffeine, ma huang dan lain-lain. Objektif ingredient ini bukanlah untuk "bakar" lemak tetapi untuk tingkatkan dengutan jantung, kadar pengederan darah - tingkatkan metabolisma. Adakah ia sesuai? Ah itu bergantung kepada individu. Tetapi seperti mana-mana ramuan, ia tidak membawa hasil yang sama untuk setiap orang.
Kata akhir, untuk tingkatkan metabolisma, yang penting adalah senaman angkat berat, pemakanan seimbang yang kerap dan apa jua aktiviti dalam kehidupan anda untuk tingkatkan penggunaan kalorie.
sumber: iluvislam.com



