.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Khamis, 30 Disember 2010

Petikan Ayat Al-Quran: Doa Mohon Kebahagiaan Rumahtangga

0 ulasan
Sekalipun sudah agak terlewat, saya tetap ingin merakamkan ucapan tahniah kepada sahabat-sahabat yang telah membina teratak masing-masing tahun ini. Bila dihitung, ramai juga sahabat yang telah melangkah alam perkahwinan untuk tahun ini sahaja.

Tahniah sekali lagi dan sekalung doa saya titipkan buat kalian duhai sahabat, moga kalian berteman hidup hingga ke syurga. Mereka yang saya maksudkan ialah:

1. Ust Zainal (mantan Pengerusi JTK) dengan Ustzh Siti Maysarah (Timb.Pengerusi NAS)

2. Mohd Suhaidan (Abe Mat) dengan Kak Azila

3. Syakir Syahid & pasangannya.

4.Kak Siti (Pengerusi KEMADA) dengan pasangannya

5.Ust Zul (Abe Long) dengan pasangannya-pasangan paling terkini mendirikan rumahtangga, 21 Nov 2010.

Maaf kepada jemputan-jemputan yang tidak dapat saya hadiri, apapun doa saya tetap mengiringi langkah kalian.

InsyaAllah bulan 2 dan bulan 5 nanti dua pasangan lagi sahabat saya akan disatukan. Mudah-mudahan kalian semua dirahmati-Nya.


Abe Long dgn K.Long.. =)

Saat lafaz sakinah bermula...

*****************************************************************************************************

Sedikit perkongsian untuk para pembaca, doa untuk kebahagiaan rumahtangga yang dipetik daripada Al-Quran:


Maksudnya : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (al-Furqan 25, ayat 74)

Maksudnya : Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. (an-Naml 27, ayat 19)


Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). (al-Ahqaf 46, ayat 15)

#Untuk amalan,tidak perlu dibacakan daripada awal ayat. Memadai dengan dibaca bermula daripada رَبـَّــنـَــا atau seumpamanya yang bermaksud "Wahai Tuhan kami..." dan maksud-maksud lain yang hampir sama dengannya.

Sabtu, 25 Disember 2010

Iktikad 'Ketuanan Melayu' Menyanggahi Islam

0 ulasan


Oleh
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin



Merujuk kepada isu ‘Ketuanan Melayu’ yang dijadikan isu sekarang, maka di sini saya ingin menyentuh beberapa perkara;



1. Istilah ‘Ketuanan Melayu’ (malay supremacy) adalah istilah yang kabur. Tiada pentakrifan khusus kepada istilah ini. Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.



2. Namun, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘melayu’, ia bermaksud orang melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy). Jika merujuk kepada bahasa bererti orang melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan melayu’. Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia’.

3. Ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan melayu’, kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain. Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.

4. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam. Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.

5. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Ayat ini menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

6. Nabi s.a.w menegaskan lagi dalam hadis baginda:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Inilah prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

7. Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:

“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Ini menafikan ketuanan kaum tertentu.

8. Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.


sumber klik sini.

Khamis, 9 Disember 2010

Last Breath - Ahmed Bukhatir

0 ulasan
Kali ini saya ingin berkongsi sebuah lagu nyayian Ahmed Bukhatir... Lagu ini punyai makna yang tersendiri buat saya.. Setiap kali saya mendengarnya,hati bagaikan dicengkam ketakutan yang amat... kerana takut akan dahsyatnya kematian itu... Inilah lagu yang paling menakutkan saya..

Isnin, 6 Disember 2010

Perutusan Tahun Baru 1432 Hijrah YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abd Aziz b. Nik Mat

0 ulasan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” – Surah an-Nahl, ayat 41-42

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.

Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M




sumber: anakmuaallaf.blogspot.com




 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template