.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 24 Mei 2010

Selamat Jalan Pak Long... Kami Bakal Menyusurimu...


Arwah Pak Long Huri (paling kanan) bersama saudara mara ku... satu-satunya gambar arwah yang ada dalam simpananku...


Hatiku berbungga berjaya menyiapkan tugasan yang diamanahkan Ust Zulqarnain setelah lebih 4 hari bertungkus lumus bersama barisan sahabat…

Begitu lapang rasanya dada…

Langkah ku atur bertenaga menuju ke Masjid Kampung Laut untuk bersama para jemaah lain menunaikan kewajipan asar petang itu…

Sedang hampir menyempurnakan wudu’, handphone di dalam poket seluarku mengelupur tanpa suara meminta-minta dijawab panggilan…

Ku gapai seketika.. Bimbang jika ada urusan kecemasan…

Terpapar nombor 019-90088** yang memang tidak asing bagiku..

Tidak perlu untuk disimpan nama pemilik nombor itu kerana ianya telah tersemat di minda…

Panggilan daripada ayahanda…

“Barangkali ayah call semula setelah semalam panggilanku tak dijawabnya..” Fikirku cubaanku menghubungi ayah untuk bertanyakan khabar Pak Long Huri yang kemalangan semalam…

Ku biarkan handphone itu menyepi sendiri..

“Lengkapkan berwudu’ dulu..” getus hatiku..

Sekali lagi handphone di dalam poket seluarku tidak senang duduk..

Lantas panggilan itu dijawab…

“Assalamualaikum… Man.. ayah ni..” suara garau dihujung talian memperkenalkan diri..

“Waalaikumussalam… Ye.. Kenapa ayah?” Soalku pantas yang memang tidak banyak berceloteh dengan ayahanda…

“Erm…Pak Long Huri… Pak Long dah habis nyawa..” Terang ayahku..

“Innalillahi wa inna ilaihi…..” kata-kata itu terbit tanpa dipinta berpenghujung lafaz agak lemah…

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Penghujung asar itu.. saat mengaminkan doa bersama jemaah lain.. Wajah Pak Long Huri berkali-kali menerjah mindaku… Mengusik hati ini..

Dia antara orang yang kukagumi..

Perjuangan bersama PAS tetap utuh walau pernah ditukarkan jauh ke Manjung berpisah dengan keluarga kerana aktif dalam PAS….

Kisah-kisah silamnya acap kali juga dikongsikan bersama ketika zaman arwah dalam Pemuda PAS Kawasan… Begitu mengujakan…Bercakap soal pembinaan diri sebagai mujahid dan seumpamanya.. Arwah tak lokek bercerita bahkan turut berceloteh kebiasaannya seusai solat maghrib…

Bahkan arwah turut banyak membantu kami (BAKRIS) bermula awal penubuhan sehingga kini.. sokongan dan dorongannya terlalu beerti…

Waktu antra maghrib dan isyak begitu terisi dengan kehadirannya beserta Pak Ngah Radzi dan Pak Cik Min… Mereka bagai murabbi kami anak-anak muda di desa…

Paling terkesan di hatiku sehingga kini adalah cadangannya supaya penulis mengendali dan menyeliakan usrah anak-anak muda di desa tidak terlaksana..

“Mai la….kita pakat-pakat buat usrah… tumpu kat anak-anak Air Terap dulu peringkat awal ni takpe…” Cetus arwah lalu dilontarkan kepadaku dan Imran, sepupuku…

Imran memandangku dan begitulah jua ku…

“InsyaAllah… Pak Long la naqib ye.. hehe..” pantas aku galaskan tanggjawab yang hampir dititipkan buatku dan Imran kepada arwah Pak Long… Mengelak..

“Ish! Pak Long dah tua dah… mata pun tak berapa nampak… Mika (kamu semua) la… Pak Long boleh turut tengok dan tegur je la…”

“Sayang kalau kita biar budak-budak ni.. adik-adik mika jugak…”

Perbualan ini masih baru.. kira-kira semasa awal cuti semester baru-baru ini..

Bukanlah tidak ingin mengendalikan usrah.. tetapi faktor jarak dan masa begitu membatasiku… jarang benar diri ini pulang ke desa.. tuntutan tanggungjawab di kampus bagai merantai jasad ini di sini…

Pernah dahulu cubaan dilakukan usrah, namun terputus-putus dan tidak lama memandangkan masing-masing sedara mara belajar jauh..

Meskipun merah mata ini tidak kelihatan lagi, pedihnya masih terasa…

Kehilangannya begitu terkesan padaku sekalipun dia adalah sepupu kepada ibuku.. Hubungan kekeluargaan kami agak rapat.. Tidak seperti sesetengah orang yang sudah tidak mengenali sepupu mereka…

Pemergiannya akibat kemalangan jalan raya semalam lalu dipanggil Ilahi sekitar hampir waktu asar tadi pastinya menghilangkan seri kampung ini..

Dalam parti.. pemergiannya pasti dirasai apatah lagi beliau merupakan Setiausaha PAS Kawasan Gerik yang juga mantan YDP PAS Kawasan Gerik… Nama Hj Ahmad Damanhuri amat tidak asing lagi…

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<

Kepada ahli keluarga dan semua saudara mara… Ayuh! Kita sematkan kesabaran dan keredhaan atas kehendak-Nya ini.. InsyaAllah mudah-mudahn kita akan berada dari kalangan hamba-hambaNya yang sabar…

Memberontak atau menafikan ketentuan-Nya ini hanya akan menambah rugi buat kita bahkan murkaNya..

M.Long, Abg Yeh, Kak Dayah, Kak Elie, Mina dll… Eratnya kasih Ilahi pada kalian kerana menguji kalian dengan orang yang rapat dengan kalian apatah lagi beliau ialah ketua keluarga… InsyaAllah.. Besar ganjaranNya..

Maaf juga kerana Man tak dapat pulang jenguk… Man dah berusaha untuk pulang, tapi gagal… Man di sini diuji dengan sedikit musibah yang menggagalkan usaha Man untuk pulang…

Pak Long… Mudah-mudahan Pak Long tenang di sana bersama-sama orang yang soleh..

InsyaAllah suatu hari nanti Man akan membimbing usrah.. tapi Man tak berani janji bila, di mana dan siapa mereka yang akan bersama….

Man sedih sangat.. tak sangka mudah juga rupanya air mata ni mengalir..

Pertama kali rasanya Man menangisi sebuah perpisahan yang pasti seperti ini…

Man di sini dah usahakan semampu Man untuk Pak Long..

Pasti Pak Long tau apa yang kami dah buat di sini atau mungkin Pak Long akan diberitahu kelak…

Nukilan Hati

Yang bakal menuruti jejakmu..



0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template