.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Ahad, 27 Disember 2009

Ucaptama Ijtima` Ulama` Muda Kelantan 2009


PERANAN ULAMA` MUDA DALAM MEREALISASIKAN KONSEP ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Oleh:
YABhg Dato` Tuan Ibrahim bin Tuan Man


Pendahuluan

Istilah Ulama` merupakan istilah yang digunakan oleh Allah dalam wahyu-Nya, lantaran itu ia tidak boleh dibuat takrifan baru yang bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Wujudnya usaha-usaha musuh-musuh Islam dan golongan juhala yang cuba mendifinasikan ulama` dalam istilah yang bertentangan merupakan pencabulan terhadap maksud sebenar.

Namun apa yang lebih penting ialah sejauh mana istilah itu dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan kini; kerana gagasan besar belum cukup mencerminkan hakikat yang sepatutnya andainya ulama` itu gagal meletakkan dirinya pada fungsi sebenar yang dikehendaki oleh Islam.


Pengertian Ulama'

Perkataan ulama' merupakan kata jamak dari kalimah 'alim, yang bermaksud orang yang benar-benar mengerti dan mendalami hakikat sesuatu, atau orang yang berilmu.

Di dalam al-Quran terdapat dua kali perkataan ulama digunakan, dan kedua-duanya merujuk kepada golongan yang mendalami agama. Menurut Dr Hamka merujuk kepada surah Fatir:28 yang bermaksud

"Hanya sanya mereka yang takut kepada Allah ialah ulama` (orang yang berilmu agama)."

hanya mereka yang ada ilmu sahaja yang takut kepada Allah, dan ilmu tersebut mestilah mencapai makrifah kepada Allah dengan melalui pelbagai keadaan keilmuan yang berasas kepada aqidah. Maka apa jua ilmu yang dibina atas asas ini mampu mendokong rasa gerun dan takut kepada Allah. Kerana itu, musuh-musuh Islam cuba memisahkan kesemua alat dengan tauhid, agar lahir golongan berilmu tetapi tidak bertaqwa. Seperti ilmu sains, fizik, kimia, geografi, astronomi, geologi dan lain-lain denga terpisah asas tauhid, maka ia tidak akan melahirkan insan bertaqwa; walaupun ia mampu menjadi pakar dalam bidangnya.

Menurut Ibn kathir "Tidak lain orang yang takut kepada Allah hanya ulama' yang telah mencapai matlamat makrifah, iaitu mengenal Tuhan, menilik hasil kekuasaan-Nya dan kebesaran-Nya."

Imam Malik berkata "Ulama" bukanlah kerana banyak menghafal riwayat hadith, bahkan ilmu ialah nur yang dinyalakan Tuhan di dalam hati.

Lantaran itu, ulama` dikenali dengan keilmuannya, ketegasan berpegang kepada prinsip Islam dan memelihara diri dari terjebak did alam perkara syubhah, mereka juga dikenali dengan pengorbanan, ihad dan kesungguhan mereka menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran. Di dalam hal inilah Rasulullah SAW menegaskan:

"Apabila muncul bidaah-bidaah (penyelewengan) di kalangan umatku, maka wajiblah orang yang berilmu (ulama`) menzahirkan ilmunya (pendiriannya yang benar), kalau dia tidak melakukannya, mala baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. Tidak akan diterimaa sedekahnya dan kebaikan amalannya."

Berdasarkan amaran itu, para ulama' mempunyai tanggungawab yang besar bagi menyelamatkan kemurnian Islam. Oleh kerana beratnya amanah ini, maka para ulama` mestilah mempunyai persiapan diri dan jamaah bagi memastikan amanah ini dapat dilaksanakan.


Ulama` dan Jamaah

Terdapat banyak hadith yang berupa peringatan agar kita menggabungkan diri dalam jemaah Islam kerana "kambing bersendirian lebih mudah dibaham serigala". Maka ulama` sehebat manapun tidak mungkin dapat menghadapi gelombang pelbagai gerakan musuh bagi menghancurkan kekuatan Islam. Ulama' bersendirian terdedah kepada fitnah yang besar dan lebih mudah diperalatkan untuk kepentingan musuh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan orang-orang kafir sebahagian menadi pelindung bagi yang lainnya. Jika kamu tidak melakukan demikian, nescaya terjadilah bencana di muka bumi dan kebinasaan yang besar." (Al-Anfal:73)

Bahkan wujudnya istilah `ijmak ulama' dalam sumber hukum memperlihatkan adanya ikatan di kalangan ulama' walaupun kedudukan tahap ijtihad seseorang mujtahid boleh berbeza; tetapi penyatuan atau penggabungan para ulama' lebih utama diperlihatkan kepada masyarakat.

Kedudukan ulama' dalam masyarakat merupaka pengiktirafan kepada institusi ulama'; namun kita perlu sedar bahawa musuh tidak berupaya membuang peranan ulama' tetapi mereka telah berjaya mengecilkan peranan ulama' yang hanya berlegar di sekitar masjid, pondok-pondok pengajian, madrasah dan perbincangan pula dalam lingkup persoalan agama yang sangat terhad. Dengan istilah lain, para ulama' telah berjaya diletakkan dalam kepomping yang sempit dan dihadkan peranan mereka yang sebenar dalam masyarakat dan negara. Lalu muncullah para juhala mengambil peranan mengelirukan ummah dengan pelbagai fatwa yang karut dan menyesatkan. Rasulullah menegaskan;

"Sesungguhnya Allah tidak menahan ilmu dari manusia dengan mencabut ilmu secara mengejut, tetapi dengan mematikan para ulama' sehingga bilamana tiada lagi tersisa para alim, lalu manusia melantik orang jahil sebagai pimpinan mereka, lalu ditanya dan dia memberi fatwa tanpa ilmu pengetahuan, mereka sesat dan menyesatkan." (Muttafiqun alaihi)

Apa yang menarik untuk direnungi dalam hadith ini ialah kaitan ulama' dengan umara'. Bilamana ulama' sudah tidak ada, lalu manusia melantik orang yang jahil sebagai pimpinan; seolah-olah selagi ada para ulama', merekalah sepatutnya mernerajui kepimpinan ummah. Kerana ummah perlu satu petunjuk yang jelas dalam memandu kepimpinan negara. Hala tuju jelas yang tidak bertentangan dengan kehendak Ilahi mampu dipandu oleh para ulama'. Inilah hakikat dalam sejarah keagungan Islam di mana ulama' memimpin, bukannya dipimpin. Namun persoalan besar ialah apakah ulama' telah memainkan perannan tersebut dan apa peranan ulama' muda dalam memperkasakan agenda perubahan ini?


Peranan Ulama' Muda Dalam Menerajui Perubahan

Persolan utama ulama' muda ialah membina keyakinan diri serta mengangkat keyakinan ummah kepada peranan sebenar ulama' sebagai pimpinan ummah. Ulama muda' mestilah menyediakan persiapan utama kelayakan untuk menerajui perubahan ini. Ianya termasuklah persiapan keilmuan, menguasai ilmu alat bagi menyaingi kemampuan golongan bukan ulama'. Peranan ini bukan sahaja ucapan, tetapi ummah ingin melihat kemampuan ulama' menampilkan diri di tengah masyarakat bagi menjuarai perjuangan memartabatkan Islam.

Maka dalam mendepani cabaran ini para ulama' tentulah mampu mengemukakan alternatif berkesan bagi menyelesaikan masalah semasa. Lantaran itulah mereka juga mestilah menguasai fiqh semasa dalam bentuk baru, yang bukan hanya berlegar sekitar fiqh ibadah sahaja. Ia mencakupi fiqh awlawiyat, fiqh ikhtilaf, fiqh perbandingan dan lain-lain. Jelasnya ummah sangat memerlukan penyelesaian Islam dalam kemelut yang mereka hadapi. Kini ulama' muda diharapkan mempersiapkan diri mengemukakan jalan-jalan penyelesaian bagi masyarakat. Ulama' bukan hanya menyatakan tidak boleh, tetapi turut mencadangkan penyelesaianya.

Ulama' muda sangat-sangat diharapkan menjadi pelapis utama kekuatan jemaah Islam, lantaran itu mereka perlu berada di hadapan dalam perjuangan; menampilkan diri, bukan sekadara ada di barisan belakang perjuangan, apatah lagi menjadi pengkritik. Ulama' dengan penguasaan nas dan kemampuan istinbat perlu berani menyatakan kebenaran Islam. Hari ini gologan juhala cuba menadi juara dalam persoalan agama dengan mengeluarkan fatwa yang menyesatkan.

Ulama' merupakan benteng memperteguhkan perkara makruf dan mencegah kemungkaran. Bahkan Rasulullah SAW sangat bimbang seandainya berlaku 3 perkara kepada ummat baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku sangat bimbang 3 perkara menimpa ummatku. Iaitu kesalahan ulama', hukuman yang zalim dan hawa nafsu yang dituruti." (H.R.Asy Syihab)

Lebih ditakuti munculnya ulama' su' sebagaimana amaran Rasulullah SAW: "Celaka atas ummatku dari ulama' yang buruk."

Kita sangat bimbang hilangnya thiqah masyarakat kepada ulama'. Ia akan berlaku bilamana masyarakat melihat golongan ulama' rakus dengan duniawi sebagaimana golongan juhala, menjahui masyarakat dan menjadi pengampu kepada pemerintah, atau ulama' yang menghabiskan masa membincangkan perkara furuiyyah dengan mengabaikan perkara utama yang masih belum selesai. Kita tidak seharusnya menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit membincang perkara yang telah diselesaikan oleh ulama' terdahulu; atau perkara yang menadi polemik yang tidak akan selesai. Kerana itu perbezaan pendapat merupakan rahmat Allah selama mana kita memelihara adab-adab ikhtilaf.

Lantaran itu ulama muda' diharapkan menjadi benteng mempertahankan kedaulatan Islam dengna memelihara amalan fardhiyyah, menjaga hubungannya dengan Allah dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh lidahnya.

Ulama' muda juga harus terjun dalam gerak kerja politik dengan memastikan kefahaman Islam yang syumul dapat difahami dan dihayati. Fenomena sekularisme di luar masid hampir selesai, nmaun ia masih kukuh masjid. Lantaran itu, ulama' mesti memainkan peranan memandu ummah dalam menjelaskan sistem politik Islam, kepimpinna dan syarat-syaratnya, tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat, ciri-ciri pemimpin yang mesti dipilih serta berani menegur pemerintah yang zalim. Dalam erti kata lain bukan hanya menegur kaki udi, tetapi uga pemimpin yang meluluskan lesen perjudian. Bukan hanya menjelaskan dosa meminum arak, tetapi juga turut sama menjelaskan dosa pemimpin yang meluluskan penjualan arak secara berleluasa itu.

Ulama' muda juga berperanan mengembalikan kuasa kepada Islam agar ianya dihormati dan digeruni. Benarlah kata-kata Saidina Uthman (Mafhumnya) "Mana-mana yang tidak boleh disempurnakan oleh al-Quran, akan disempurnakan oleh kuasa politik." Lantaran itu, ulama' mestilah menguasai fiqh siasah dengan berusaha menjinak masyarakat kepada politik Islam dalam dakwahnya, mnejauhi pendekatan keras yang tidak bertempat. Perhatikanlah panduan Allah kepada Nabi Musa sewaktu ia diminta datang kepada Firaun bersama Nabi Harun:

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia melampaui batas, maka bercakaplah dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau meraasa gerun kepada azab Allah." (Surah Toha:43-44)

Inilah juga yang diingatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Maka dengan rahmat Tuhanmulah (Ya Muhammad SAW) engkau menjadi lemah lembut dalam dakwahmu, sekiranya engkau bersikap keras dengana mereka, tentulah mereka akan melarikan diri darimu."

Sebahagian pendakwah lebih suka mengambil pendekatan menyerang daripada menerang; lantaran itu ia akan menghakis simpati dan kesediaan menerima di kalangan masyarakat; khususnya gologan uhala. Lantaran itu uslub dakwah mestilah diteliti agar menepati apa yang disarankan oleh Allah:

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah, tauladan yang baik dan mujadalah dengan cara lebih baik."

Oleh kerana sasaran kita adalah golongan yang luar kefahaman terhadap kewajipan memperjuangan Islam, maka aspek ini perlu diberi perhatian. Tidak mungkin golongan yang dihentam akan bertukar menjadi simpati di saat mana kita memerukan dokonagn dan sokongan mereka.


Beberapa Peringatan Buat Ulama'

Memandangkan kedudukan ulama' yang tinggi dalam pandangan Islam, maka para ulama' hendaklah memberi perhatian kepada status ini; ia bukanlah untuk dibangga dan bukan pula untuk mengambil kesempatan dengan pandangan baik tersebut. Ia tidak lebih sebagai satu mauizah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu menuntut ilmu untuk membanggakannya di kalangan ulama' dan untuk diperdebatkan di kalangan orang bodoh, dan jangan pula menuntut ilmu untuk penampilan dalam majlis (perhimpunan) dan unutk menarik perhatian orang ramai kepada kamu. Barangsiapa melakukan demikian maka baginya neraka...neraka." (H.R.Ibn Majah)

Seseorang ulama' bukan hanya terletak kepada banyaknya ilmu, tetapi juga sejauh mana ia menghayati ilmunya itu. Kerana itu soal keberkatan ilmu yang dapat membentuk perubahan dalaman diri perlu diberi perhatian. Kerana ulama'lah perlu takut kepada Allah; namun bilamana ulama' gagal menjadikan ilmu sebagai suluan cahaya hidupnya; maka ilmu itulah nanti menyesatkannya. Fiman Allah bermaksud: "Dan tidak berpecah belah mereka yang kami berikan kitab, melainkan setelah Kami turunkan kepada mereka kebenaran dan keterangan (Rasul-Rasul)."

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seorang alim apabila mengkehendaki dengan ilmunya keredhaan Allah, maka ia akan ditakuti oleh segalanya, dan jika ia bermaksud dengan ilmunya untuk menegumpulkan harta dunia, maka ia akan bersikap takut kepada segala-galanya." (H.R.al-Dailami)

Lantaran itu persoalan keberkatan ilmu dan menghayati yang ada merupaka elemen penting sebagai jalan-jalan membawa kepada keredhaan Ilahi. Oleh kerana gerak kerja dakwah berhadapan dengan pelbagai mehnah dan ujian yang hebat. Maka para ulama' hendaklah sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah melalui amalan kerohanian, qiamullail, zikrullah, tahajud serta pelbagai ibadat sunat lainnya. Di samping memelihara ilmu yang diberikan oleh Allah. Dalam soal ini Rasulullah SAW bersabda : "Saling berlaku jujurlah dalam ilmu dan jangan saling menyembunyikannya. Sesungguhnya berkhianatan terhadap ilmu lebih dahsyat dari khianat terhadap harta." (H.R.Abu Nuim)


Kesimpulan

Ulama' muda mestilah memainkan peranan lebih besar dalam arus cabaran yang hebat masa kini. Mereka tidak seharusnya berada di alam laian sedangkan umah berada di adalam lain. Kerana itu, ia mestilah mengikuti isu semasa yang berlaku dalam negara serta berusaha untuk mengangkat martabat kepimpinan ulama'; agar ummah sentiasa dalam bimbingan wahyu dan berjalan di atas landasan Islam.




*Telah disyarahkan oleh YABhg Dato` Ibrahim Tuan Man sendiri pada 28 Disember 2009 di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu, Kelantan.

0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template