.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 30 November 2009

Sains Islam Melampaui Metafizik-Mekanisma


Ini merupakan wawancara tentang Sains Islam bersama dengan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, pensyarah sains matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Wawancara ini sebenarnya merupakan sebahagian dari beberapa wawancara sama yang turut diedarkan kepada beberapa tokoh yang lain. Dan, himpunan dari jawapan wawancara ini akan disiarkan secara berperingkat bagi bacaan khalayak.

Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail al-Faruqi?

Secara umumnya, tiadalah maksud yang agak berbeza berkenaan istilah-istilah yang datang dari tiga kebudayaan itu, iaitu Rom (scientia/science/sains), Islam (al-’ilm/ilmu) dan Inggeris (knowledge). Semua perkataan tersebut merujuk kepada perkataan Melayu “(penge)tahu(an)”. Namun, kalau diambil secara mengkhusus, malah mungkin secara falsafah, memanglah sedikit sebanyak berbeza. Ada istilah yang merangkum hal-hal metafizik dan ada pula yang hanya hal-hal fizis dan alamiah.

“Islamization of knowledge” paling tepatnya, saya rasa, adalah “pengIslaman sains/pengetahuan”. Tapi masih boleh guna masukkan “ilmu” kalau merujuk kepada ilmu-ilmu semasa sahaja.

Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?

Gagasan tersebut bermula tatkala Persidangan Pertama Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977. Kini telah berlanjutan kepada persidangan yang ke-6, yang terakhir di Afrika Selatan. Al-Attas mendakwa dalam bukunya “Islam and Secularism” bahawa beliaulah yang pertama menukilkan gagasan tersebut. Namun, yang popularnya adalah gagasan yang diasaskan oleh Ismail al-Faruqi menerusi bukunya “Islamization of Knowledge” terbitan IIIT. Sayyed Hossein Nasr pada peringkat awal lebih menumpukan kepada hal-hal berkaitan bukti sejarah dalam Tamadun Islam yang menyokong gagasan tersebut. Tema sejarah ini juga diikuti oleh muridnya Osman Bakar, dan murid kepada Osman Bakar, iaitu Mat Rofa Ismail dan Abdul Latif Samian. Kalau tak silap saya, berdasarkan beberapa buku yang telah saya telaah pada tahun 1990-an dulu, PengIslaman Ilmu/Sains merujuk kepada gerakan mentafsirkan Ilmu/Sains semasa kini agarnya selaras dengan Falsafah Ilmu/Sains Islam, yang bertunjangkan kepada Al-Quran dan Hadith. Istilah yang lebih mengelirukan itu, iaitu Sains Islam, juga sepatutnya bermaksud takrif demikian, tapi banyak kali disalahertikan kepada merujuk hanyalah hal-hal berkaitan ilmu-ilmu yang diajarkan di Fakulti Pengajian Islam, atau ilmu-ilmu Fakulti Pengajian Islam yang diajarkan kepada mahasiswa/i fakulti yang lain. Itulah keherotan pengertian yang kini tampak berlaku di UIAM, USIM, KUIS dan beberapa institusi pendidikan tinggi yang lain.

Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?

Kerja-kerja yang memadankan sains semasa dengan (sains) Islam tersebut memanglah perlu pada peringkat permulaannya sahaja. Itu lebih baik daripada hanyalah menggali sejarah sains Islam. Sebab, sekurang-kurangnya sudah diusahakan mentelaah secara umum/popular tentang sains semasa, yang tidak langsung dilakukan oleh sejarawan sains Islam. Tapi, kemudiannya kajian-kajian teliti haruslah dilakukan terhadap kedua-dua data tersebut sehinggalah boleh ditunjukkan yang sains semasa itu selaras dengan (sains) Islam. Ini sebenarnya, kalau ditelusuri, memerlukan seseorang menilai, memperbaiki, mengkritik malah mungkin menghapus juzuk-juzuk sains semasa agar selaras dengan maklumat-maklumat dalam al-Quran. Kerja-kerja inilah yang tidak dilakukan oleh golongan Bucaillisme. Tapi, tidak cukup orang juga untuk lakukan kerja-kerja sukar itu.

Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?

Semua itu berpunca daripada tidak cukupnya tenaga untuk melakukan kerja-kerja lanjutan menyelaraskan sains semasa dengan (sains) Islam. Tenaga-tenaga yang adapun masihlah terpesona dengan penemuan-penemuan ala Bucaillisme. Saya percaya bahawa persoalan-persoalan dasar berbentuk metafizik, ontologi, epistemologi dan logik, yang mendasari sains semasa kini masihlah boleh diubah agar mengikuti sains Islam. Contohnya adalah kegagalan Frege-Russell dan Hilbert meletakkan Matematik Tulen agar berteraskan Logik. Persoalannya, apakah Logik yang baru, yang lebih baik daripada Logik lama, untuk membangunkan Matematik Tulen? Logik Binaan/Konstruktif Brouwer nampaknya beberapa kali menjawab persoalan tersebut, tapi gagal juga, apabila berjaya ditunjukkan bahawa Logik Brouwer itu hanyalah Logik Russell peringkat kedua. Soalan yang langsung di sini adalah apakah Logik Islam?

Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Buddha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain? Benarkah begitu?

Ketika Islam dahulu adalah penaung kepada ilmu dunia, mereka tidak menamakannya sebagai Sains Islam. Ketika itu, Eropah pula memanggil sains mereka sebagai Sains Kristian. Contohnya adalah buku Summa Theologia karangan St Thomas Aquinas, yang merupakan adaptasi kepada buku Ilya Illumuddin karangan al-Ghazzali. Apabila ditanyakan kepada beliau oleh pengikut-pengikut beliau tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa beliau sedang mengKristiankan Ihya. Juga buku Divine Comedy karangan Dante yang digelar Gospel ke-5 itu, yang merupakan versi Kristian bagi hadith-hadith Isra Mikraj. Adalah salah mengatakan bahawa Barat akan menamakan sains mereka sebagai Sains Kristian, sebab Barat bukanlah Kristian. Barat Moden dan Barat Pascamoden adalah pembebasan daripada Kristian, Yahudi dan apa-apa bentuk agama, malah metafizik. Zaman Thomas Aquinas, mereka tidak menggelar diri mereka sebagai Moden.

Peletakkan nama tersebut adalah untuk membezakan dua juzuk sains yang jelas berbeza. Barat akan mahu sains mereka dipanggil sains sekular. Sebab itulah yang sebenarnya dilakukan oleh mereka, iaitu membuang juzuk metafizik dalam sains. Itu sebab, kalau kita mahu sains mereka, kita kena gelar negara kita ini Malaysia Sekular, atau seperti Turki Sekular. Dalam negara sekular, agama boleh juga wujud, tapi boleh hanyalah berperanan sebagai peribadatan sahaja. Macam kitalah sekarang, kejap masuk makmal mengesahkan Teori Evolusi Darwin yang menentang kewujudan Tuhan, kemudian bila waktu sembahyang Zuhur pergi Masjid UKM untuk sembahyang, lepas tu masuk makmal semula sambung kerja. Agama pada kita hanyalah sembahyang, puasa, zakat, haji dan beberapa perkara mudah yang lain. Di masa Aristotle dulu, agama Yahudi juga wujud. Tapi apa yang dimaksudkan oleh sarjana Yahudi-Yunani bernama Philo dari Alexandria tentang Sains (Yahudi) tidaklah sama dengan apa yang dimaksudkan oleh Aristotle tentang Sains (Yunani). Di Amerika sekarang, sains yang cuba dibangunkan oleh saintis kristian dinamakan Sains Kristian, saingan kepada Sains Sekular. Tapi, namanya selalu sahaja dipanggil sebagai Sains Penciptaan.

Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Beberapa hal berkaitan mekanisma menjelaskan sesuatu perkara yang menyentuh matematik, statistik, fizik, kimia, sains komputer, biologi dll, dan itu semua mungkin sahaja tidak berbeza dalam sains sekular dan sains agama/theis (Islam, Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dll). Itulah maksud sekular itu, iaitu memahami mekanisma sesuatu sehinggakan boleh dijelaskan bahawa mekanisma itulah sahaja yang wujud. Sebelum daripadanya tiada, dan kalaupun ada, tidak mengambil bahagian dalam mekanisme itu. Itulah maksud Darwin, Newton, Frege dan lain-lainnya. Kalangan ahli Matematik Barat Moden, kalau tidak silap saya, hanyalah Leibniz yang tidak sekular menerusi notanya bertajuk “Metaphysical foundation of Mathematics”. Sains Theis/Agama mestilah berbeza dalam hal ini. Maksudnya ada peranan yang jauh lebih teras berbanding hanyalah mekanisma. Tapi boleh sahaja dimaksudkan, tambah sahajalah kepada mekanisma itu, maka sains sekular menjadi sains theis/agama. Namun, dalam satu dua kes terpencil, bolehlah semudah itu, namun secara umumnya tidaklah sedemikian. Teori Penciptaan Kristian bukanlah hanya menambahkan Pencipta kepada Teori Evolusi Darwin. “Peranan yang dasar” inilah beserta “mekanisma”nya itulah yang perlu diusahakan dikaji dalam Sains Agama.

Definisi sains yang dikemukakan oleh Dr. Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?

Prof Shaharir merujuk kepada makna sains Barat Moden dalam petikan di atas, yang saya panggil mekanisma tadi. Sudah saya nyatakan tadi juga bahawa PengIslaman Sains bukanlah bermaksud secara umumnya melekatkan “metafizik” kepada “mekanisma”. Prosesnya mestilah lebih daripada itu, iaitu menilai dengan jitu kedua-dua aspek tersebut sebelum dikatakan kedua-duanya selaras. Berkaitan kaedah pula, sememangnyalah mudah menyukat sesuatu yang pada peringkat mekanisme sahaja. Itu sebab disepakati umum. Dan amat sukarlah menyukat yang lebih daripada itu, yang metalogik dan intuisi katakan. Isu emperikal ini sebenarnya bukanlah ditimbulkan oleh Yunani mahupun Barat Moden, tetapi yang pertama kali mengusulkannya adalah Ibn al-Haytham. Tetapi al-Haytham masihlah mendokong Sains Islam, begitu juga Roger Bacon yang menyalin konsepnya tetapi masih mendokong Sains Kristian, berbanding Francis Bacon yang menyalinnya tetapi menukilkan Sains Sekular.

Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan, di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?

Sains Islam akan memberikan paradigma baru berfikir dan membentuk suatu sains baru kepada masyarakat dunia. Ini sepertimana yang pernah pertama kali dilakukan oleh al-Kindi 1200 tahun yang lepas, dan diteruskan oleh saintis-saintis Muslim lainnya. Jika kita terus melanggan Sains Barat ini, tanpa ada usaha untuk membetulkannya, kerugian paling ketara kepada kita adalah kita akan mengkesampingkan hal-hal yang lebih tinggi daripada hal-hal mekanisma, seperti bahasa, budaya, sistem nilai, agama dan lain-lainnya. Kita sudah nampak ini berlangsung dalam negara kita, apabila kita mengkesampingkan Bahasa Melayu dalam pengajaran Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah dan IPT. Sarjana-sarjana Barat sendiri semenjak Kiekergaard telah mengkritik bentuk sains Barat yang dibawakan oleh Hegel, yang beliau katakan sebagai “mengkesampingkan hal-hal kemanusiaan”. Kritik ini diteruskan oleh Nietzsche, Husserl, Heidegger, Sartre, Derrida dll, yang bernaung bawah Gerakan Fenomenologi. Walaupun kritik mereka tidaklah setinggi kritik keagamaan, namun kelihatannya bahawa Sains Barat meminggirkan juga hal-hal kemanusiaan. Metafizik Moden yang dinukilkan oleh Heidegger itu sebenarnya menjawab hal-hal kemanusiaan yang dipinggirkan dalam Sains Moden.

Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?

Halangan utama adalah amat kurangnya tenaga kerja dalam usaha menjayakan agenda ini. Mencari tenaga kerja pula bukanlah mudah, kerana bakal tenaga tersebut sebenarnya terlatih sudah dalam Sains Barat. Apa-apapun usaha mestilah diteruskan bagi mengumpulkan cukup tenaga untuk meneruskan agenda ini.

sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=5082.0

0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template