.: Anda Suka Blog Ini? :.

.: Komentar Warga FB :.

Isnin, 24 Ogos 2009

Kebangkitan Syabab??!


Ana tidak berhasrat untuk mengulas panjang kedua-dua berita di bawah ini. Hanya meningalkan kepada kalian dengan persoalan apakah ini suatu permulaan kebangkitan golongan syabab yang pernah menjadi tulang belakang kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu??


MPMN bantah konsert cemar Ramadhan

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) membantah tindakan kerajaan membenarkan konsert Michael Learns to Rock (MLTR) diadakan pada 5 September nanti kerana berpendirian bahawa ia akan mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang sedang diraikan seluruh umat Islam.

Pengerusi MPMN, sdr. Ridzuan Mohammad berkata, “Tindakan kerajaan yang membenarkan penganjuran konsert ini seolah-olah tidak menghiraukan langsung sensitiviti umat Islam di Malaysia dan kesucian bulan Ramadhan”.

“Kebenaran mengadakan konsert itu adalah berlawanan dengan pendirian kerajaan Malaysia sebelum ini yang menjanjikan sambutan kemerdekaan tahun ini yang sederhana kerana menghormati bulan Ramadhan” ujar beliau lagi.

Beliau juga mengajak dan menyeru umat Islam di Malaysia khususnya mahasiswa membantah konsert ini sebagai tanda cintakan Islam dan memuliakan bulan Ramadhan.

Konsert MLTR akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highland sebagai sebahagian siri jelajah konsert ‘Eternity’ untuk mempromosikan album ketujuh mereka dengan judul berkenaan.-mahasiswakini


Pemuda PAS bantah konsert rock

Pemuda PAS membantah keras keputusan kerajaan membenarkan kumpulan Michael Learns To Rock (MLTR) mengadakan persembahannya di Genting Highlands awal bulan depan.

Konsert ini "penghinaan besar" kepada umat Islam dan negara ini kerana ia diadakan pada bulan Ramadhan, kata ketua dewan itu Nasrudin Hassan hari ini.

"Pemuda PAS mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini.

"Di mana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan penghinaan besar terhadap umat Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda PAS juga, tambahnya, "tidak teragak-agak untuk mengarahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah konsert tersebut daripada terus berlangsung" sekiranya ia tetap diadakan 5 September ini.

Beliau turut menyeru Pemuda Umno serta pertubuhan-pertubuhan Islam lain seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyertai demonstrasi Pemuda PAS.

Konsert Eternity Tour 2009: Live in Malaysia itu disifatkan boleh melalaikan dan merosakkan moral umat Islam.

"Pastinya konsert ini akan membawa umat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka," kata Nasrudin lagi.

Beliau berkata konsert berkenaan juga tidak sesuai diadakan tidak lama selepas sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos yang seharusnya diraikan dengan majlis tahlil dan forum patriotisme.

Nasrudin juga mahu Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti menyatakan pendirian mereka terhadap “pesta maksiat” anjuran Star Planet Sdn Bhd.

Jelasnya, badan-badan berkenaan perlu menunjukkan peranan mereka supaya dapat "membersihkan bumi Malaysia dari maksiat dan mungkar tajaan kerajaan Umno/BN."

Kumpulan rock balada yang popular dengan lagu 'That's Why You Go Away', 'Paint My Love' dan 'Sleeping Child' itu akan mengunjungi Malaysia sebagai sebahagian siri jelajah konsert 'Eternity' untuk mempromosikan album ketujuh mereka dengan judul berkenaan.

Malaysia dan Singapura dua negara di luar Denmark yang akan dikunjungi MLTR.

Kumpulan berkenaan telah membuat konsert jelajah sekitar Denmark sejak Jun dan kembali semula berkonsert di negara berkenaan pada tahun depan.

-malaysiakini.com

0 ulasan:

FOM Ads
Photobucket



 

BICARA TINTA Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template